Follow us

Yang di-Pertuan Agong Letak Jawatan

Nani Yusof & Hadi Azmi
Washington & Kuala Lumpur
2019-01-06
E-mel
Komen
Share
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V menyampaikan ucapan pembukaan semasa istiadat perasmian Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur, 17 Julai, 2018.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V menyampaikan ucapan pembukaan semasa istiadat perasmian Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur, 17 Julai, 2018.
[AP]

Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa Ahad, demikian menurut Istana Negara dalam satu kenyataan tanpa memberi sebab kenapa Baginda mengambil keputusan itu.

Sultan Muhammad V merupakan Sultan Kelantan ke-29 ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016 dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia, Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata Seri Paduka Sultan Muhammad V memaklumkan mengenai perkara berkenaan secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

"Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad itu.

Kenyataan itu menyebut Wan Ahmad Dahlan sebagai berkata, baginda berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

Sultan Muhammad V menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Kedah.

Baginda bercuti sejak November lalu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan yang berakhir 31 Disember lalu.

Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun kerana Malaysia menggunakan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja dengan tempoh takhta selama lima tahun bagi setiap Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada Ahad itu juga menyebut, "Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat”.

"Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini.

"Kepada rakyat Malaysia, Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaufat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni."

Sultan Muhammad V telah diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur dan kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan yang ke-16 pada 6 Oktober 1985 dan dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009.

Pada 13 September 2010 Baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 dan seterusnya pada 13 Disember 2011, Baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja.

Sisi humor

Pada Julai lepas, Yang di-Pertuan Agong dilihat cuba mengendurkan suasana tegang semasa persidangan Parlimen apabila memulakan titah ucapan sambil tersenyum dan memberitahu semua Anggota Parlimen supaya ‘jangan lari’.

Sultan Muhammad V yang berusia 48 tahun itu menampilkan sisi humor baginda semasa merasmikan istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen negara selepas pakatan pembangkang mengejutkan dunia dengan kemenangan besar pada pilihan raya dua bulan lalu.

Kerajaan Malaysia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, kini diterajui Pakatan Harapan (PH), yang mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei, dengan meruntuhkan kuasa politik dominan yang kukuh buat pertama kalinya sejak negara memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1957.

"Ahli-ahli yang berhormat sekalian, sila duduk dan jangan lari,” titah Seri Paduka kepada 222 Anggota Parlimen itu, yang nampaknya merujuk kepada insiden pembangkang daripada BN dan PAS yang bertindak keluar dewan pada masa itu.

Persidangan Parlimen Ke-14 menyaksikan perubahan peranan dengan BN kini menduduki barisan pembangkang selepas PH menamatkan pemerintahan 60 tahun gabungan parti itu.

Beberapa bulan sebelum itu, Sultan Muhammad V juga telah berkenan memberi pengampunan kepada Anwar Ibrahim, sekali gus membuka laluan kepada ahli politik yang dipenjarakan itu kembali menceburi politik, satu syarat peralihan bagi membolehkan beliau mengambil alih kuasa politik, kata Perdana Menteri baharu Mahathir Mohamad.

“Dalam perbincangan kami dengan Yang di-Pertuan Agong, baginda bertitah bahawa baginda berkenan untuk memberi pengampunan serta-merta kepada Anwar Ibrahim,” kata Mahathir pada Mei lepas.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 70 tahun yang telah dipenjarakan sebanyak dua kali, dibebaskan beberapa hari selepas pakatan pembangkang yang disertainya meraih kemenangan mengejut dalam pilihan raya umum sekali gus menyumbang kepada kejatuhan politik Perdana Menteri Najib Razak.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, mengikut nasihat Lembaga Pengampunan… telah mengisytiharkan bahawa rayuan untuk pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta Anwar Ibrahim telah diperkenan,” kata Wan Ahman Dahlan Abdul Aziz, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam satu kenyataan.

Lihat Laman Penuh