Follow us

Misteri Menyelubungi Peletakan Jawatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur & Selangor, Malaysia
2019-01-06
E-mel
Komen
Share
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V memberi tabik hormat ketika lagu kebangsaan berkumandang pada pembukaan sesi parlimen ke-14 di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 17 Julai 2018.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V memberi tabik hormat ketika lagu kebangsaan berkumandang pada pembukaan sesi parlimen ke-14 di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 17 Julai 2018.
[AP]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V turun daripada takhta pada Ahad, umum pegawai istana negara tanpa memberikan sebarang alasan bagi peletakan jawatan yang julung kali dilakukan oleh seorang sultan dalam sejarah negara selama 61 tahun.

Peletakan jawatan sultan berusia 49 tahun itu, yang merupakan Yang di-Pertuan Agung Malaysia ke-15 dan juga sultan atau pemerintah negeri Kelantan, berkuat kuasa serta-merta, kata istana dalam satu kenyataan.

Ia tidak memberikan sebarang butiran mengenai siapa yang bakal menggantikan Sultan Muhammad V, yang hanya menaiki takhta pada Disember 2016 di bawah sistem penggiliran monarki Malaysia.

“Istana Negara ingin memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 6 Januari selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, merujuk kepada baginda menggunakan gelaran penuhnya dalam bahasa Melayu.

Peletakan jawatan itu berlaku beberapa hari selepas laporan dalam media serantau yang membuat spekulasi bahawa Yang di-Pertuan Agong mungkin mengundurkan diri selepas berkahwin dengan seorang wanita rakyat Rusia di luar negara pada akhir November.

Baginda telah menghantar sepucuk surat kepada setiausaha Majlis Raja-Raja bagi memaklumkan keputusan baginda untuk turun daripada takhta, kata Wan Ahmad Dahlan.

Majlis Raja-Raja terdiri daripada sembilan pemerintah tradisional dan empat gabenor. Mereka mewakili 13 negara dalam persekutuan Malaysia, yang memilih seorang Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh selama lima tahun dan bergilir-gilir menaiki takhta.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan paying penyatuan dalam kalangan rakyat,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu sambil menambah bahawa Sultan Muhammad V telah membuat persiapan untuk kembali ke negeri asal baginda bagi “melindungi rakyatnya” dan berusaha demi kehidupan mereka yang lebih baik.

“Baginda juga bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaaan aman dan harmoni,” kata Wan Ahmad Dahlan.

190106-MY-Mahathir-620-inside.jpeg

Mahathir Mohamad (kiri) mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia di hadapan Sultan Muhammad V, Yang di-Pertuan Agong Malaysia,  di Istana Negara di  Kuala Lumpur, 10 Mei 2018. [Bernama melalui Reuters]

Timbalan PM:  ‘Saya berasa sedih’

Sultan Muhammad V telah dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia, sebuah negara berbilang kaum yang mempunyai populasi berjumlah hampir 32 juta orang dengan majority penduduknya adalah penganut agama Islam berbangsa Melayu, dalam satu istiadat pada 24 April 2017, empat bulan selepas menaiki takhta.

Pada awal November 2018, baginda telah bercuti selama dua bulan untuk “menjalani rawatan perubatan,” yang menyaksikan Sultan Perak, Nazrin Shah, mengambil alih takhta sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong, kata pihak istana ketika itu.

Semasa ketiadaan Sultan Muhammad V, media asing melaporkan bahawa baginda telah mengahwini seorang ratu cantik Rusia yang telah memeluk agama Islam, Oksana Voevodina, dalam satu majlis perkahwinan berhampiran Moscow pada 22 Nov. Baginda adalah bujang sebelum menaiki takhta.

Pada 29 Nov, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu mengenai perkahwinan yang dilaporkan itu dan tidak menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara tersebut, menurut laporan. Mahathir kemudian mengesahkan kepada media bahawa baginda telah kembali dan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Pada 31 Dis, Sultan Nazrin Shah secara rasmi menamatkan tugas baginda sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Setakat ini, sehingga lewat Ahad malam (waktu tempatan), perdana menteri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu. Jurucakap Mahathir tidak memberikan maklum balas segera terhadap soalan BeritaBenar.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu pemberita pada petang Ahad bahawa kabinet “baru sahaja dimaklumkan” mengenai peletakan jawatan itu menerusi satu kenyataan rasmi oleh Istana Negara.

“Bagaimanapun, saya berasa sedih kerana baginda adalah Yang di-Pertuan Agong ketika kami mengambil alih kuasa. Baginda adalah Yang di-Pertuan Agong yang menyaksikan majlis mengangkat sumpah jawatan perdana menteri baharu ketika pertukaran kerajaan yang bersejarah,” kata Wan Azizah, wanita pertama yang memegang jawatan sebagai timbalan PM di Malaysia, sambil menambah bahawa beliau menghormati keputusan sultan itu.

Beliau merujuk kepada pilihan raya umum tahun lepas yang menyaksikan gabungan parti pembangkang  Pakatan Harapan menyingkirkan gabungan Barisan Nasional daripada kuasa buat pertama kali dalam sejarah negara.

“Yang Dipertuan Agong juga adalah orang yang memberikan pengampunan kepada suami saya [Anwar Ibrahim],” kata timbalan perdana menteri itu ketika bercakap kepada media di luar sebuah majlis di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, negeri Selangor.

Di bawah perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi persekutuan  dan pasukan bersenjata.
Beliau juga adalah Ketua Agama Islam di negeri asalnya, dan di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Di bawah Perkara 153 perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong juga hendaklah melindungi kedudukan istimewa orang Melayu serta peribumi Sabah dan Sarawak, selain kepentingan sah komuniti lain, menurut maklumat yang disiarkan di laman sesawang milik kerajaan dan Majlis Raja-Raja.

Selain itu, baginda merasmikan pembukaan sesi parlimen dan mempunyai kuasa untuk melantik anggota kabinet serta memberi pengampunan diraja.

Selepas seorang pemerintah telah berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda tidak boleh bertanding untuk pemilihan semula sehinggalah semua sultan negeri lain telah bertanding di bawah sistem penggiliran itu.

Yang di-Pertuan Agong boleh meletak jawatan dengan menulis kepada Majlis Raja-Raja dan juga boleh disingkirkan daripada jawatan oleh sultan lain.

Sultan Muhammad V berada di atas takhta ketika baginda memberikan pengampunan yang membolehkan Anwar Ibrahim, seorang pemimpin kanan pembangkang yang telah dipenjarakan oleh kerajaan terdahulu atas satu pertuduhan liwat, dibebaskan daripada tahanan dan kembali berkecimpung dalam politik. Anwar, suami Wan Azizah, adalah bakal perdana menteri berikutnya.

Lihat Laman Penuh