Muhyiddin Berdepan Rintangan, Agong Zahir Parlimen Boleh Bersidang Semasa Darurat

Sekiranya sesi perundangan itu diadakan, ia akan membuka laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, kata para penganalisis.
Ray Sherman & Hadi Azmi
2021.02.24
Kuala Lumpur
Muhyiddin Berdepan Rintangan, Agong Zahir Parlimen Boleh Bersidang Semasa Darurat Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memakai pelitup separuh muka ketika berdoa pada istiadat pembukaan Parlimen, di Kuala Lumpur, 18 Mei 2020.
[Jabatan Penerangan Malaysia/AFP]

Parlimen Malaysia boleh bersidang dalam keadaan darurat, zahir Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sambil bertitah bahawa baginda akan mendapatkan nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai tarikh yang sesuai untuk berbuat demikian, dengan para penganalisis melihat langkah itu bakal memberi rintangan kepada perdana menteri yang tidak dipilih rakyat itu.

Penganalisis di Malaysia melihat langkah mengadakan persidangan Parlimen boleh membuka laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, yang memegang tampuk pemerintahan tanpa dipilih melalui pilihan raya umum sejak Mac tahun lalu, dengan ramai yang berpendapat bahawa beliau telah kehilangan sokongan majoriti.

Susulan daripada pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari, Muhyiddin mengumumkan bahawa persidangan Parlimen digantung dengan tindakan itu menerima kritikan meluas pembangkang. Namun, pada Rabu, Seri Paduka bertitah tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat berdasarkan peruntukan peraturan darurat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada Rabu.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,” kata kenyataan Istana Negara itu.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.”

Peruntukan peraturan darurat itu telah ditafsir secara berbeza dalam spektrum politik Malaysia terutamanya sama ada Parlimen boleh digantung ketika darurat.

Selain itu, ketika Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkan darurat sehingga 1 Ogos, adalah tidak jelas sama ada beliau membincangkan mengenai keputusan untuk menggantung Parlimen dengan baginda. Sehingga malam Rabu, persoalan itu masih belum terungkai.

Malaysia adalah negara raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara. Namun, kedudukan baginda sebahagian besarnya merangkumi hal ehwal istiadat dan baginda memerintah selaras dengan nasihat kerajaan.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa baginda memperkenan pengisytiharan darurat "hanya sebagai langkah proaktif untuk mengekang penularan COVID-19," kata Fadil.

Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip berkenaan, kata jurucakap istana itu.

Semasa Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan darurat, perdana menteri itu kehilangan sokongan dua Ahli Parlimen pada ketika itu yang menyebabkan beliau tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Pembangkang dan ahli-ahli sebuah parti dalam gabungan kerajaan pimpinan Muhyiddin mendakwa langkah perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bertujuan mengelak pilihan raya umum diadakan - dalam situasi di mana beliau telah kehilangan sokongan majoriti - dan merupakan cubaannya untuk terus berkuasa.

Perdana menteri menolak dakwaan itu dengan menyatakan bahawa bukan niatnya untuk mengelak pilihan raya, dan memberi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja pandemik itu dapat dibendung.

Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dan pemimpin parti-parti Pakatan Harapan menyatakan bahawa mereka mendukung penuh hasrat Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen kembali diadakan, dan mendesak Muhyiddin supaya berbuat demikian pada Mac.

"Ini juga merupakan pendirian Pakatan Harapan serta majoriti Ahli Parlimen bahawa pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi semasa Darurat berkuat kuasa," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

“Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik COVID-19, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara. "

"Pasti ada usul undi tidak percaya"

Sekiranya persidangan Parlimen diadakan, pasti ada usaha untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Sekiranya parlimen kembali bersidang, pasti ada usul untuk undi tidak percaya," kata Tunku Mohar kepada BeritaBenar.

James Chin, pakar politik Asia di University of Tasmania, bersetuju dengan pendapat itu dan menyatakan bahawa akan ada usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin sekiranya persidangan Parlimen diadakan.

"Langkah terbaru ini merupakan rintangan bagi Muhyiddin," katanya kepada agensi berita Agence France-Presse.

Bridget Welsh, saintis politik di Universiti Nottingham di Malaysia, berkata beliau tidak boleh mengulas mengenai hasrat Yang di-Pertuan Agong semasa mengeluarkan kenyataan mengenai Parlimen boleh bersidang setelah lebih sebulan digantung.

"Kita memang tahu bahawa ahli-ahli Pakatan Harapan dalam jawatankuasa Yang di-Pertuan Agong serta ramai kalangan rakyat menggesa supaya Parlimen kembali bersidang bagi menjadi pemeriksa kepada kerajaan dan menyumbang kepada perbincangan lebih meluas mengenai masalah yang dihadapi negara ini," kata Welsh kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada Pakatan Harapan pimpinan Anwar dan jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong semasa darurat dengan keanggotaannya merangkumi penggubal undang-undang kerajaan dan pembangkang.

"Muhyiddin, bagaimanapun, mempunyai masa sebelum Parlimen kembali bersidang kerana pelan pemberian vaksin kepada rakyat baru sahaja bermula. Pilihan raya boleh diadakan tetapi ia bergantung kepada keadaan COVID-19, ”kata Welsh.

Muhyiddin mungkin mempunyai peluang untuk melonjakkan populariti dirinya dengan kempen imunisasi itu, kata Welsh, namun ia bergantung kepada seberapa baik ia dilaksanakan.

Pada Rabu, Muhyiddin menjadi yang pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 di negara itu ketika pihak berkuasa kesihatan memulakan fasa pertama program imunisasi itu yang bermatlamat memberi suntikan vaksin kepada 500,000 pekerja kesihatan dan petugas barisan hadapan.

Sehari sebelum itu, Khairy Jamaluddin, menteri yang memantau program vaksinasi berkenaan, memberitahu Channel News Asia bahawa Malaysia mungkin bersedia menghadapi pilihan raya umum selepas separuh daripada 32 juta penduduknya telah diberi suntikan vaksin tersebut. Ia mungkin berlaku pada September, katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.