Yang di-Pertuan Agong Nasihat PM Adakan Sidang Parlimen Lebih Awal, kata Sumber

Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada September, dijangka diadakan seawal Rabu minggu hadapan, kata sumber yang dekat dengan Istana.
Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-08-11
Share
Yang di-Pertuan Agong Nasihat PM Adakan Sidang Parlimen Lebih Awal, kata Sumber Muhyiddin Yassin melambai kepada para penyokongnya selepas majlis mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia Ke-lapan, semasa kereta rasmi membawanya melepasi pintu keluar Istana Negara, di Kuala Lumpur, 1 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia pada Rabu telah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti yang membentuk gabungan kerajaan Perikatan Nasional, dengan sumber memberitahu yang Muhyiddin Yassin telah dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen lebih awal bagi membuktikan keabsahan kerajaan pimpinannya.

Muhyiddin terdahulu telah mengadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, rutin mingguan Perdana Menteri sebelum mesyuarat pra-Kabinet bagi menyembah maklum, dan berbincang serta mendengar pandangan Tuanku berhubung urusan serta isu-isu berkaitan Kerajaan.

Maklumat terperinci mengenai pertemuan antara Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong termasuk perjumpaan antara Muhyiddin dan pemimpin parti pada lewat petang tidak didedahkan kepada media, tetapi sumber memberitahu BenarNews sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 6 September berkemungkinan diadakan seawal minggu hadapan.

"Difahamkan telah diusulkan semasa pertemuan Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong, supaya persidangan Parlimen dibuat pada 18 Ogos depan,” kata sumber yang rapat dengan pihak Istana, kepada BenarNews, tetapi tidak diketahui pihak mana yang mengusulkan tarikh tersebut.

Susulan daripada pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah pada sebelah pagi itu, Muhyiddin telah memanggil ketua-ketua parti komponen Perikatan Nasional serta parti sekutu ke pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya bagi mengadakan satu perbincangan.

Menurut laporan beberapa media tempatan, mesyuarat tersebut berlangsung selama kira-kira dua jam bermula 5 petang.

Antara yang dilihat memasuki kawasan pejabat Perdana Menteri itu ialah Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Wee Ka Siong, Presiden parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang juga Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Muhyiddin.

Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan, kedua-duanya berada dalam Kabinet Muhyiddin serta Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri mewakili parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui oleh Muhyiddin.

BenarNews cuba menghubungi beberapa pemimpin parti dan pejabat perdana menteri untuk mendapatkan pengesahan tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Kerajaan gabungan Perikatan Nasional mempunyai lima parti komponen, iaitu Bersatu, PAS, Parti Progresif Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, selain parti-parti dalam komponen Barisan Nasional seperti MCA dan dan MIC - parti Kongres India Malaysia serta UMNO - parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang baru-baru ini beberapa Ahli Parlimenya telah menarik balik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, usaha pihak media untuk mendapatkan komen daripada para pemimpin politik yang turut serta dalam mesyuarat tersebut bagaimanapun tidak berjaya.

Sebelum ini lebih 100 Ahli Parlimen pembangkang dan 14 daripada UMNO termasuk dua wakil rakyat Bebas telah mengutuskan surat kepada Al-Sultan Abdullah bagi menyatakan bahawa mereka tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Berdasarkan kiraan jumlah Ahli Parlimen pembangkang seramai 105 orang yang menandatangani surat kepada Seri Paduka Tuanku, berserta 14 Ahli Parlimen UMNO, jumlah mereka yang menyatakan bahawa tidak menyokong Muhyiddin adalah seramai 119 orang iaitu melebihi separuh daripada bilangan keseluruhan Ahli Parlimen yang ada.

Dewan Rakyat ketika ini mempunyai 220 Ahli Parlimen, sekaligus bermakna seseorang Perdana Menteri memerlukan sokongan daripada sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen untuk kekal berkuasa.

Pada 4 Ogos lepas, Muhyiddin mendakwa bahawa dirinya masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan turut memberitahu yang satu undi percaya terhadap kedudukannya akan dibuat semasa sesi sidang Parlimen pada 6 September bagi membuktikan keabsahan kerajaan pimpinan beliau dan Tuanku Al-Sultan Abdullah telah memberikan keizinannya.

Ia bagaimanapun telah mendapat tentangan hebat dari parti-parti politik yang tidak sehaluan dengannya, yang berkata bahawa isu keabsahan kerajaan bukan sesuatu yang patut dilewatkan.

Hilang kuasa

Sementara itu, beberapa penganalisis politik yang dihubungi BenarNews percaya bahawa Muhyiddin berkemungkinan akan kalah jika undi percaya terhadapnya dibuat dalam masa terdekat.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata bahawa Perdana Menteri itu memerlukan lebih banyak masa untuk meraihkan sokongan Ahli-ahli Parlimen bagi mencukupkan bilangan di pihaknya.

"Lebih awal Parlimen bersidang adalah lebih bahaya kepada kedudukan Muhyiddin. Beliau perlukan masa untuk membuat tawaran serta mendapatkan Ahli Parlimen beralih menyokongnya. Yang di-Pertua Dewan Rakyat masih belum mengumumkan sebarang tarikh, jadi ia masih belum rasmi, tetapi sekiranya sesi undian dibuat pada Rabu hadapan, saya tidak rasa Muhyiddin mampu mendapatkan bilangan secukupnya hanya dalam tempoh satu minggu," kata beliau kepada BenarNews.

Akan tetapi, tambah Chin, kekalahan dalam undi percaya tidak bermakna Muhyiddin tidak dapat kekal mengetuai kerajaan. Ini adalah kerana pembangkang juga tidak ada calon yang telah dipersetujui untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Masalah sekarang ialah pembangkang tidak ada seorang calon yang mendapat sokongan mencukupi bagi menggantikan Muhyiddin. Jika Muhyiddin kalah dalam undi percaya, satu sesi undian untuk mencari penggantinya mesti dibuat selepas itu.

"Dan sekiranya tiada sesiapa mampu membentuk majoriti, maka Muhyiddin secara automatik akan menjadi pemimpin sebuah kerajaan minoriti," kata ahli akademik berkenaan.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, Muhyiddin masih boleh mengekalkan gabungan Kerajaan sedia ada walaupun kalah dalam sesi undi percaya, dan ia mungkin adalah perkara kedua terbaik untuk dirinya dalam situasi berkenaan.

"Sekiranya beliau kalah dalam sesi undian, perkara terbaik selepas itu adalah untuk Muhyiddin mengekalkan kuasa di tangan gabungan kerajaan hari ini walaupun ia bermakna bukan dirinya atau BERSATU yang memegang tampuk pemerintahan.

"Kerajaan masih boleh dipimpin gabungan Perikatan Nasional, tetapi diketuai oleh UMNO. Ia adalah yang terbaik boleh dilakukannya (dalam situasi tersebut), untuk terus kekal dalam kuasa tetapi dengan dirinya dan partinya di kerusi belakang."

Malaysia bukan sahaja dilanda krisis politik berpanjangan tetapi juga menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19, dengan negara itu kini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan, serta terus mencatatkan kes harian yang tinggi dan jumlah kematian sehingga mencecah 11,000 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh