Yang di-Pertuan Agong Ulang Titah Parlimen Bersidang Secepat Mungkin

Titah terbaharu Al-Sultan Abdullah adalah yang ketiga sejak Februari, menunjukan yang baginda perhatin terhadap penggantungan Parlimen, kata penganalisis.
Noah Lee & Hadi Azmi
2021.06.29
Kuala Lumpur
Yang di-Pertuan Agong Ulang Titah Parlimen Bersidang Secepat Mungkin Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memeriksa kawalan kehormatan semasa pembukaan sesi sidang Parlimen di Kuala Lumpur, Malaysia, 31 Januari 2019.9.
[Reuters]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa sekali lagi bertitah bahawa Parlimen Malaysia mesti bersidang semula secepat mungkin, walaupun tiada tanda-tanda yang Perdana Menteri akan memanggil sidang Dewan Rakyat itu sebelum September.

Istana Negara mengeluarkan kenyataan media memaklumkan titah terbaharu Seri Paduka yang merupakan kedua dalam tempoh dua minggu dan ketiga sejak Februari lalu berhubung sidang Parlimen itu, selepas Baginda menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dan Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun serta timbalan-timbalan speaker pada hari yang sama.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

"Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan," kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan pandangan bahawa semua jawatankuasa pilihan Parlimen perlu meneruskan sesi mesyuarat supaya perlaksanaan mekanisma semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara dapat diteruskan.

Parlimen Malaysia masih belum mengadakan sesi persidangan untuk tahun ini dengan kali terakhir badan perundangan negara itu bersidang ialah pada 14 Disember tahun lepas,  sebelum digantung pada 12 Januari 2021 apabila Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, mengisytiharkan darurat berikutan pandemik koronavirus.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah bahawa Parlimen yang sedang digantung mesti bersidang dengan secepat mungkin dengan Baginda membuat kenyataan itu selepas selesai bermesyuarat dengan Raja-Raja Melayu, yang turut bersetuju mengenai Parlimen dibuka semula dengan segera dengan titah Darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah pada bulan Februari juga menyatakan pandangan bahawa sidang Parlimen boleh diadakan ketika tempoh Darurat.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, yang berada dalam keadaan tidak stabil dan diancam risiko dijatuhkan melalui undi tidak percaya bagaimanapun kelihatan tidak berganjak dengan rancangan mereka membuka Parlimen seawalnya September depan, dengan syarat mencapai beberapa indikasi menangani COVID-19 termasuk penurunan jumlah kes ke satu tahap yang ditetapkan.

PM patut letak jawatan

Susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen sekali lagi membuat desakan supaya Muhyiddin menghormati titah Al-Sultan Abdullah itu dan segera bertindak membuka sidang Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata adalah satu tindakan yang "biadap" dan angkuh untuk memutarbelitkan maksud perkataan 'secepat mungkin' yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, yang boleh difahami sebagai sesegera mungkin.

"Bayangkan satu kerajaan tidak terasa malu dan diaibkan bila Yang di-Pertuan Agong terpanggil memberi gesaan sedemikian, kerana saya yakin Yang di-Pertuan Agong hanya suarakan pandangan majoriti Anggota Parlimen dan majoriti rakyat, yang lebih faham derita dan kesukaran mereka dan tidak angkuh sombong seperti jawapan menteri-menteri dan pimpinan negara kita," kata beliau dalam satu kenyataan yang dibuat melalui sidang video di laman media sosial Facebook secara langsung.

Anggota Parlimen Port Dickson itu juga percaya Al-Sultan Abdullah mahukan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin supaya adanya proses semak dan imbang dalam pentadbiran negara, dan menyatakan bahawa Muhyiddin wajar meletak jawatan sekiranya enggan menurut titah Agong.

"Saya junjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan mendesak supaya kerajaan ini lebih bertanggungjawab. Kalau mereka enggan kerana alasan-alasan tertentu, sewajarnya Perdana Menteri letak jawatan sekarang," kata beliau.

Isyarat besar

Sementara itu, penganalisa politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi memberitahu BenarNews bahawa titah Al-Sultan Abdullah itu adalah satu isyarat besar yang ditunjukkan Tuanku bahawa Institusi Diraja amat serius berkenaan hal pembukaan semula Parlimen.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional masih enggan menurut apa yang diisyaratkan Tuanku itu, ia akan berhadapan dengan kejatuhan reputasi serta kemarahan rakyat.

"Jika kerajaan PN terus cuba melambat-lambat pembukaan Parlimen, ia akan menambahkan kemarahan rakyat. Malah Yang di-Pertuan Agong kini menggunakan seksyen 55 Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat 2021 untuk meminta Parlimen dibuka.

"Dan sekiranya kerajaan PN masih melambatkan tindakan buka Parlimen, ia tidak bermakna berlakunya krisis Perlembagaan, kerana Yang di-Pertuan Agong ada kuasa meminta Parlimen bersidang, bubar atau prorog sepertio dalam perkara 55 dan Akta Darurat 2021," tambah Azman.

Pandangan serupa turut dikeluarkan oleh seorang pakar perlembagaan, yang menyatakan bahawa Darurat memberikan lebih kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk untuk memanggil Parlimen tanpa perlu bergantung kepada nasihat Perdana Menteri.

Menurut peguam Salim Bashir, walaupun Artikel 40 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak melalui nasihat yang diberikan Perdana Menteri selaku ketua kabinet kerajaan, terjemahan undang-undang tersebut bagaimanapun "tidak bersentuhan" dengan kuasa baginda untuk menangguhkan atau memanggil sidang Parlimen ketika Darurat tanpa nasihat Perdana Menteri.

"Kita perlu akur dan sedar akan kewujudan Ordinan Darurat yang dijadikan sandaran undang undang dalam tempoh isytihar Darurat melalui Artikel 150 Perlembagaan. Ordinan Darurat ini berfungsi sebagai undang-undang sehingga ianya dibatalkan oleh Parlimen atau terbatal sendirinya selepas enam bulan tamat tempoh Darurat.

"Dalam meneliti kerelevanan peruntukan ordinan darurat terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat PM, maka wajar kita meneliti Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat, yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menangguh atau memanggil sidang Parlimen pada satu masa dan tarikh yang difikirkan sesuai," kata Salim, yang merupakan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia.

"Dalam keadaan ini, wajar untuk saya mengamati dan mengambil pendirian bahawa peruntukan Ordinan Darurat menjadi tunjang penyelesaian isu kuasa memanggil sidang Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong," tambah beliau.

Seorang lagi penganalisa politik, Azmi Hassan, pula berkata bahawa kerajaan Perikatan Nasional perlu melakukan sesuatu bagi menampakkan kesungguhan mereka bahawa titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mesti dipatuhi dan dihormati.

Kata beliau, ia adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan titah sebanyak tiga kali mengenai persidangan Parlimen.

"Kenapa tiga kali titah Yang di-Pertuan Agong dan juga daripada Majlis Raja-Raja tercetus adalah kerana tidak ada nampak bayang-bayang bahawa kerajaan Perikatan Nasional sedang memulakan langkah untuk mengadakan persidangan Parlimen.

"Ini tidak pernah berlaku di mana Yang di-Pertuan Agong terpaksa melakukan peringatan yang sama sebanyak tiga kali. Seperti yang dikatakan tadi tidak ada langkah bersungguh-sungguh kerajaan untuk membuka persidangan Parlimen.

"Kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya menampakkan kesungguhan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu itu mesti dipatuhi dan mesti di hormati, tapi setakat ini tidak nampak kesungguhan itu," kata Azmi kepada BenarNews.

Beliau menambah bahawa ia adalah sesuatu yang mengecewakan apabila titah Tuanku dan Raja-Raja Melayu tidak dilaksanakan, dan menegaskan bahawa perbuatan itu memberikan satu gambaran yang tidak baik serta memberi kesan terhadap persepsi orang bukan Melayu terhadap Institusi Diraja.

"Ini memberikan satu gambaran yang tidak baik bukan sahaja kepada rakyat Malaysia Melayu yang menjunjung kasih Raja-Raja Melayu, tetapi juga bagaimana pandangan persepsi yang bukan Melayu jikalau kerajaan yang didokong pemimpin-pemimpin Melayu boleh berdolak dalih titah baginda Sultan dan titah Yang di-Pertuan Agong ini menunjukkan satu teladan yang tidak baik,” tambah Azmi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.