Agong beri amaran Ahli Parlimen jangan ganggu kestabilan politik negara

Parti pembangkang dilihat tiada peluang lagi untuk menumbangkan kerajaan melalui pintu belakang, sebaliknya perlu menunggu pilihan raya akan datang.
Iman Muttaqin Yusof
2024.02.26
Kuala Lumpur
Agong beri amaran Ahli Parlimen jangan ganggu kestabilan politik negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima Titah Diraja daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, 26 Februari 2024.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar memberikan amaran tegas kepada ahli-ahli Parlimen pada Isnin agar mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara dalam titah pertama baginda selepas dipilih menduduki takhta pada 31 Januari lalu selain enggan melayan sebarang tindakan mengganggu-gugat kerajaan sedia ada.

Pakar politik berkata titah diraja semasa istiadat pembukaan Parlimen itu dilihat sebagai sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan melalui pintu belakang atau 'tebuk atap'.

"Saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara. Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

"Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang," titah baginda di Dewan Rakyat.

Malaysia telah melalui pengalaman krisis politik selama beberapa tahun yang menyaksikan berlaku pertukaran tiga perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Meskipun tiada sebuah parti pun berjaya memiliki jumlah kerusi majoriti di Parlimen, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melantik Anwar sebagai perdana menteri pada 24 November 2022 selepas beliau mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan beberapa blok parti dari Sabah dan Sarawak sekali gus menamatkan kebuntuan politik atau Parlimen tergantung.

Pada masa ini pentadbiran Anwar memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi manakala Perikatan Nasional memilih untuk berada di blok pembangkang bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia diketuai bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beberapa bulan lalu, media tempatan melaporkan berlaku beberapa siri percubaan bagi melemahkan kerajaan pimpinan Anwar yang disebut sebagai 'Langkah Dubai', satu perancangan dikatakan melibatkan pembelian sejumlah penyokong kerajaan agar berpaling tadah lalu menumbangkan pentadbiran Anwar yang didakwa didalangi oleh pemimpin pembangkang.

Pemimpin Perikatan Nasional bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut.

ISTIADAT_PEMBUKAAN_PENGGAL_KE3_PARLIMEN_KE15_06.jpg

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini pada 26 Februari 2024.[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Sultan Ibrahim yang diiringi Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut meminta semua Ahli Parlimen agar bersama-sama berganding bahu ke atas kejayaan atau kegagalan negara, memandangkan ia adalah tanggungjawab bersama setiap wakil rakyat dalam berkhidmat kepada rakyat.

"Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan diletakkan di bahu perdana menteri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat kerana Yang Berhormat semua telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka di dalam kerajaan.

"Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, saya berharap semua Ahli Dewan akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup seluruh rakyat," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong yang baharu dilantik itu menegaskan, pemerintahan baginda adalah sama dengan seperti raja sebelumnya yang mengikut Perlembagaan Persekutuan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.

"Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja).

"Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu, agama-agama lain masih dibenar untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini," titah baginda.

Sementara itu, menyentuh soal ekonomi, Sultan Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap bebanan hutang yang semakin besar kerana sejak tahun 1998 iaitu ketika krisis kewangan terbesar negara, kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal.

Baginda berkongsi kebimbangan bahawa cabaran kedudukan kewangan negara itu menyukarkan kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

"Dasar-dasar baharu perlu terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional yang lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh. Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam.

"Saya juga sendiri akan melihat perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan. Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun," titah baginda.

Peringatan

Penganalisis politik berpandangan, titah Yang di-Pertuan Agong itu sebagai peringatan kepada ahli-ahli politik supaya mengutamakan tanggungjawab mereka bagi kebaikan negara Asia Tenggara itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata titah baginda memberikan isyarat kepada semua ahli parlimen terutamanya pembangkang agar melangkah ke depan dan memberikan tumpuan kepada soal urus tadbir.

"Ia merupakan titah yang jelas dan tegas oleh Yang di-Pertuan Agong, khususnya ditujukan kepada pembangkang, menggesa mereka agar bergerak ke depan dan mengalihkan tumpuan kepada isu-isu melibatkan rakyat, pemulihan ekonomi, kestabilan politik dan mengelakkan diri daripada bermain politik.

“Ia juga boleh dianggap sebagai satu amaran keras daripada Yang di-Pertuan Agong agar pembangkang lebih menumpukan kepada pandangan membina daripada asyik memikirkan bagaimana untuk menumbangkan kerajaan.

"Semua isu, termasuk kenaikan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan yang lebih baik dan menangani masalah kemiskinan boleh diselesaikan dengan lebih baik jika tidak berlaku sebarang usaha menggulingkan kerajaan," katanya kepada BenarNews.

James Chin, profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania berkata titah Sultan Ibrahim itu sebenarnya telah menghalang sebarang usaha pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.

"Ia (titah) merupakan berita buruk buat pembangkang kerana mereka selama ini bergantung kepada dokumen akuan bersumpah (SD) sebanyak dua kali iaitu pada 2020 dan 2022 sebagai kaedah untuk menukar kerajaan. Saya fikir mereka berharap dapat melakukan perkara yang sama (ketika pemerintahan Sultan Ibrahim).

“Namun dengan titah Yang di-Pertuan Agong ini, jelas bahawa jalan itu (guna SD) sudah tertutup dan satu-satunya pilihan yang ada adalah dengan mewujudkan gabungan baharu dan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.