Krisis COVID-19: Pemimpin Parti Politik Malaysia Mengadap Yang di-Pertuan Agong

Pemimpin pembangkang memohon kepada Yang di-Pertuan Agong tidak memanjangkan tempoh Darurat.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-06-09
Share
Krisis COVID-19: Pemimpin Parti Politik Malaysia Mengadap Yang di-Pertuan Agong Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim melambai kepada pemberita di hadapan Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur, 9 Jun, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menerima mengadap beberapa orang pimpinan parti politik dari kerajaan dan pembangkang, ketika kekecewaan memuncak terhadap apa yang dikatakan sebagai kegagalan Putrajaya dalam mengekang penularan wabak COVID-19 meskipun negara telah diletakkan di bawah Proklamasi Darurat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas pertemuannya dengan Sultan Abdullah berkata Seri Paduka menekankan kepadanya bahawa Baginda perlu mengikut nasihat Perdana Menteri sama ada untuk melanjutkan lagi perintah darurat selepas 1 Ogos ataupun sebaliknya, seperti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya memberikan pandangan bahawa meneruskan Darurat akan menyebabkan kerugian kepada negara, dan situasi semasa COVID-19 akan membawa akibat kepada ekonomi terutama kepada rakyat, dan saya melihat bahawa semua langkah yang diambil tidak memerlukan Darurat.

"Jadi, saya telah merayu kepada Tuanku untuk mengurangkan pemanjangan seboleh mungkin, yang mana Tuanku dengan tepatnya berkata bahawa kita mesti menurut undang-undang raja berperlembagaan dan mengikut nasihat diberi perdana menteri," kata Anwar kepada media yang berkumpul di luar pagar Istana Negara.

Artikel 40(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat diberikan kabinet atau menteri yang bertindak dengan kebenaran kabinet, kecuali perkara selainnya yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan.

Anwar turut memberitahu antara topik lain yang dibincangkan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong adalah mengenai pembukaan semula parlimen.

Awal tahun ini, Anwar bersama beberapa pemimpin pembangkang lain telah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong membatalkan pengisytiharan darurat serta meminta persetujuan Baginda untuk mengizinkan Parlimen bersidang kembali setelah Dewan Rakyat itu ditangguhkan apabila Proklamasi Darurat diisytiharkan dengan alasan membendung pandemik koronavirus.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pemimpin yang tidak terpilih oleh rakyat melalui pilihan raya di Malaysia, telah mengenakan sekatan perjalanan ‘lockdown’ sepenuhnya di seluruh negara di tengah-tengah melonjaknya kes COVID-19 baru-baru ini.

Bagaimanapun Timbalan Speaker Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen dari UMNO, parti rakan gabungan Muyhiddin, adalah antara pemimpin yang mahu Dewan Rakyat terus bersidang kerana katanya kerajaan boleh meletakkan rakyat di bawah perintah berkurung tetapi tidak boleh meletakkan proses demokrasi di bawah perintah berkurung.

Pada Januari, Muhyiddin mengumumkan Darurat untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 sehingga 1 Ogos atau sehingga pandemik COVID-19 dapat dikawal dan dengan perisytiharan tersebut, sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak berlangsung, sehingga pada satu masa yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bertemu pemimpin lain

Terdahulu itu, pada pagi Rabu, Yang di-Pertuan Agong telah menerima mengadap Muhyiddin selama kira-kira sejam di Istana Negara bermula 8 pagi.

“Mesyuarat pra-kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” demikian muatnaik di laman media sosial Facebook Istana Negara.

Selepas menerima mengadap Anwar, Yang di-Pertuan Agung juga mengadap dua lagi pemimpin pembangkang daripada PH, iaitu Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik Lim Guan Eng pada kira-kira pukul 2 petang diikuti Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, sejam selepas itu.

Guan Eng berkata pertemuan dengan Seri Paduka merupakan sinar buat rakyat yang dinafikan hak mereka untuk bersuara selepas parlimen digantung mengikut peruntukan di bawah Proklamasi Darurat.

"Tuanku ialah harapan kerana sekarang parlimen tidak bersidang, tak ada ruang untuk rakyat suarakan masalah mereka," kata Lim selepas pertemuan tersebut.

Mohamad yang merupakan pemimpin terakhir pada Rabu mengadakan pertemuan dengan Baginda memberitahu antara tajuk perbincangan semasa pertemuan dengan Seri Paduka adalah isu mengenai Parlimen.

"Saya memohon supaya Parlimen dibuka semula, dan bersidang seperti di United Kingdom, di mana ketika mereka berada di tengah-tengah keadaan pandemik yang teruk, Parlimen mereka bersidang lebih kerap kerana rakyat mahu tahu apakah rancangan kerajaan bagi menangani COVID-19," kata Mohamad sambil menambah keadaan adalah sebaliknya di Malaysia.

"Bukan seperti di sini, COVID makin memburuk, dan parlimen kekal tutup," kata beliau.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong dijadual bertemu dengan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang merupakan pengerusi parti Pejuang, sebuah parti politik yang baru ditubuhkan maakala pada Jumaat Baginda akan bertemu pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perbincangan secara virtual bersama pemimpin-pemimpin parti komponen Gabungan Parti Sarawak yang memerintah negeri Sarawak pula akan diadakan pada 14 Jun.

Sementara itu, penganalisa politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi memuji langkah Al-Sultan Abdullah yang cuba mendengar keluhan rakyat.

"Rakyat ingin meminta supaya institusi raja dan juga Agong, untuk bertindak sesuatu demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," Awang Azman memberitahu BenarNews.

Malaysia merekodkan sebanyak 6, 239 kes jangkitan harian COVID-19 dengan jumlah kumulatif melebihi 634,000 manakaka seramai 3,611 kematian dicatatkan akibat pandemik berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh