Yang di-Pertuan Agong Jamin Sistem Pilihan Raya Berparlimen Terus Dipelihara

S. Adie Zul & Nisha David
2021-04-12
Share
Yang di-Pertuan Agong Jamin Sistem Pilihan Raya Berparlimen Terus Dipelihara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyantuni gelandangan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, 25 Julai, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Dalam satu kenyataan sehari sebelum Ramadan bermula, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa sistem pilihan raya berparlimen Malaysia akan terus dipelihara tetapi kestabilan politik diperlukan ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Parti-parti politik utama di Malaysia kebelakangan ini semakin aktif dalam mempersiapkan gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan selepas pandemik berjaya dikawal.

Kenyataan Al-Sultan Abdullah itu menyusul dua bulan selepas baginda memberi perkenan kepada nasihat Perdana Menteri untuk melaksanakan darurat, langkah yang mengundang kritikan daripada sebahagian daripada rakan parti dalam kerajaan dan pembangkang yang mendakwa tindakan itu adalah taktik untuk melengahkan pilihan raya umum selepas Muhyiddin Yassin dikatakan telah hilang sokongan majoriti dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

“Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak COVID-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi menerusi inisiatif kerajaan, termasuk program imunisasi kebangsaan, demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara,

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan yang mendukung prinsip Keluruhan Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Titah baginda sempena menyambut bulan Ramada 2021 dilihat sarat dengan mesej yang sekali lagi mengingatkan ahli-ahli politik di Malaysia susulan pergolakan politik berterusan disebalik kemelesetan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19 sejak setahun lepas yang memberi kesan langsung kepada rakyat jelata.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong menasihati ahli-ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

“Pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan Istana Negara itu.

Politik bersih, beradab dan berintegriti

Menurut beliau lagi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap kehadiran Ramadan menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang bersih, beradab dan berintegriti.

“Bersempena keberkatan dan kemuliaan di bulan Ramadan, Seri Paduka Baginda juga menasihati ahli-ahli politik negara untuk merapatkan saf berganding bahu menentang penularan wabak COVID-19 demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan berkenaan.

Ujarnya, baginda bertitah bahawa ahli-ahli politik perlu menjadi ‘role model’ kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti,” ujar baginda dalam kenyataan tersebut.

Ini adalah kenyataan kali kedua Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan pergolakan politik dan sebaliknya memberi tumpuan kepada menangani wabak COVID-19 dan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kebajikan rakyat.

Tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ahli politik untuk mengetepikan perbezaan politik bagi memastikan Belanjawan 2021 tatkala Muhyiddin berdepan tekanan daripada UMNO.

Pergolakan politik berterusan

Suhu politik di Malaysia kembali panas apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti terbesar dalam blok perikatan pemerintah pada bulan lalu mengumumkan mahu menarik diri daripada kerajaan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Pada Febuari lalu, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan memaklumkan perhimpunan agung parti bahawa UMNO akan menarik diri daripada Perikatan Nasional menjelang bulan Ogos apabila tempoh darurat bagi menangani pandemik COVID-19 dijadualkan berakhir.

Susulan itu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli-ahli akar umbi parti telah bersetuju dengan usul untuk keluar daripada Perikatan Nasional, mengikut masa yang difikirkan sesuai oleh pimpinan parti.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, para pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan melepaskan jawatan apabila parti membuat keputusan.

Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu turut memberi jaminan kepada ahli-ahli UMNO bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan blok pembangkang.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dikritik apabila satu rakaman perbualan telefon di antara Ahli Parlimen Bagan Dato itu dengan Ketua Pembangkang yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim tular di media sosial.

Kerjasama Bersatu dan PAS

Berikutan tindakan UMNO itu, Bersatu, parti yang dipimpin oleh Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan bersama dengan Parti Islam Semalaysia (PAS) – satu lagi parti komponen dalam kerajaan Perikatan Nasional, menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan erat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Bersatu dan PAS, selaku antara Parti Pengasas Perikatan Nasional, akan menubuhkan satu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi," menurut kenyataan berkenaan.

Jumaat lepas, pembangkang Malaysia yang dianggotai oleh PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Harapan turut mengumumkan bahawa ia bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak pada pilihan raya akan datang dengan terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, seterusnya menamatkan Ordinan Darurat.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tunku Mohar Mokhtar menyifatkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan Al-Sultan Abdullah terhadap tingkahlaku ahli-ahli politik yang terlalu berpolitik sehingga mengetepikan kepentingan rakyat.

Ujarnya, keadaan politik di Malaysia ketika ini adalah sangat teruk dan memberi amaran yang kedudukan ini boleh menjadi lebih meruncing.

“Ini adalah episod paling hitam dalam politik Malaysia, manakala kerajaan sekarang bukan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Ordinan Darurat adalah salah satu contoh bagaimana sistem sedia ada memberi kelebihan kepada mereka yang memegang kuasa,” ujarnya kepada BenarNews.

Beliau berkata ketidakstabilan politik telah mengakibatkan kesan yang amat buruk kepada ekonomi kerana pelabur tidak mempunyai keyakinan terhadap kerajaan.

Ujarnya lagi, keadaan ketidaktentuan ini dijangka akan berterusan sehingga sebuah kerajaan baharu dipilih melalui proses pilihan raya umum.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh