Agong Perkenan Tamatkan Darurat di Sarawak, Pilihan Raya Negeri Bakal Diadakan

Yang di-Pertuan Agong menyuarakan kebimbangan mengenai risiko peningkatan penularan pandemik COVID-19 jika Pilihan Raya Negeri diadakan.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-11-03
Share
Agong Perkenan Tamatkan Darurat di Sarawak, Pilihan Raya Negeri Bakal Diadakan Seorang wanita berkerusi roda mahu mengisi kertas undinya semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda di Kuala Lumpur, 9 Mei, 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu membuat keputusan "sukar" apabila memperkenankan penamatan proklamasi darurat bagi negeri Sarawak, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara. Keputusan tersebut sekaligus mencetuskan keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri yang telah ditangguhkan sejak Jun.

Seri Paduka Baginda telah menyuarakan kebimbangan baginda mengenai risiko peningkatan penularan virus COVID-19 disebabkan pilihan raya berkenaan, namun bersetuju dengan nasihat dari Perdana Menteri "bagi memenuhi keperluan demokrasi".

"Maka, setelah menimbang permohonon Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

"Perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan dikeluarkan pemangku Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini.

Pilihan raya negeri di Sarawak sepatutnya telah diadakan lebih awal selepas Dewan Undangan Negerinya mencapai tempoh matang pada Jun lepas. Menurut perlembagaan, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terbubarnya dewan tersebut.

Walaubagaimanapun, perkara itu telah terhalang oleh Proklamasi Darurat di seluruh negara yang diisytiharkan pada 11 Januari bagi menangani pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya telah memperkenankan satu lagi perintah darurat khusus untuk negeri Sarawak bermula 2 Ogos lalu susulan tamatnya perintah darurat seluruh negara, bagi membolehkan pilihan raya negeri itu ditunda.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka Baginda memperkenankan penamatan darurat di Sarawak bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan, namun menegaskan bahawa keselamatan rakyat mesti diberikan keutamaan.

"Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih ditahap yang membimbangkan.

"Perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun, ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

"Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik."

Permintaan tamat darurat dikecam

Susulan daripada pengumuman itu, kerajaan negeri Sarawak yang dipimpin Ketua Menteri Abang Johari Openg telah menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak termasuk ahli politik pembangkang, kumpulan masyarakat sivil serta penganalisis politik kerana telah membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menamatkan proklamasi darurat.

Para pengkritik menyifatkan tindakan diambil parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu sebagai merisikokan nyawa rakyat Sarawak yang masih berhadapan dengan bilangan kes COVID-19 yang tinggi.

Mereka juga mendakwa bahawa tindakan GPS itu adalah cubaan untuk mengelak daripada berdepan pengundi muda berusia antara 18 tahun dan 21 tahun yang bakal dibenarkan mengundi tidak lama lagi.

"Apabila tamat sahaja proklamasi darurat, maka Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah terbubar. Jadi, Pilihan raya negeri kena diadakan dalam tempoh 60 hari," menurut Mohd Azizuddin Mohd Sani, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia.

Persatuan pengundi muda yang dikenali sebagai Undi18 dan kumpulan Undi Sarawak dalam satu kenyataan menggesa kerajaan negeri itu memikirkan semula sebarang rancangan untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini.

Kata mereka, pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada tahun ini akan menyebabkan di antara 125,000 hingga 135,000 pengundi muda di Sarawak dinafikan hak mereka untuk mengambil bahagian dalam memilih kerajaan negeri mereka.

"Keputusan untuk mengadakan pilihanraya negeri sebelum implementasi Undi18 adalah satu keputusan pramatang yang menafikan hak orang muda Sarawak," kata kenyataan itu, merujuk kepada penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun yang telah diluluskan Parlimen pada 2019.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuching di Sarawak telah mengarahkan kerajaan persekutuan supaya melaksanakan penurunan had umur berkenaan sebelum 31 Disember 2021, bersama dengan pendaftaran pengundi secara automatik.

"Pandemik COVID-19 juga masih belum berakhir. Sarawak melihat purata 500 kes baru dan 10 kematian setiap hari," tambah Undi18 dan Undi Sarawak.

Anggota Parlimen pembangkang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chong Chieng Jen pula menuduh Ketua Menteri Abang Johari mahukan pilihan raya negeri dibuat segera kerana "terdesak" untuk mengelakkan pengundi muda.

"Abang Jo berada dalam kawasan terdesak untuk mengadakan pilihan raya negeri sebelum hujung tahun ini bagi mengelakkan Undi18, walaupun Sarawak kini berhadapan dengan bilangan kematian COVID-19 yang tertinggi sejak sebulan lepas," kata beliau dalam muatnaik di Facebook.

Saintis politik dan ahli akademik Bridget Welsh menyelar tindakan mengadakan pilihan raya sebelum sebarang penilaian dibuat terhadap pilihan raya negeri di Melaka yang bakal berlangsung kira-kira dua minggu lagi, serta kemungkinan ia mengenepikan para pengundi muda.

"Ini menunjukkan amalan yang tidak demokratik ketika pilihan raya, dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah berterusan melewatkan implementasi pindaan perlembagaan yang telah diluluskan selama lebih dua tahun," kata Welsh di laman media sosial Twitternya, merujuk kepada Undi18.

James Chin, seorang ahli akademik di Universiti Tasmania, turut mempersoalkan tindakan GPS mencetuskan pilihan raya ketika pandemik.

"GPS mesti berasa yakin bahawa mereka boleh mengelak pengundi berusia 18 ke 20 tahun, walaupun ia dilakukan dengan merisikokan penularan wabak secara besar-besaran. Apa pandangan anda?," katanya di Twitter.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh