Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong Baru Malaysia

Ali Nufael
2019.01.31
Kuala Lumpur, Malaysia
190131-MY-SultanAbdullah1000.jpg Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar membalas tabik hormat Rejimen Askar Melayu di Raja di Parlimen semasa sambutan rasmi sebelum menuju ke Istana Negara bagi majlis upacara mengangkat sumpah, 31 Jan. 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-16 menggantikan Sultan Muhammad V dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di ibu negara Kuala Lumpur.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan Malaysia hanya selama dua tahun, sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam sistem penggiliran lima tahun di kalangan sembilan raja Melayu.

Semasa meletak jawatan Sultan Muhammad tidak memberi sebab sebenar keputusan baginda berbuat demikian dan kemudiaannya Majlis Raja-raja melalui mesyuarat khasnya telah memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut sistem penggiliran raja-raja, Sultan Pahang telah ditentukan untuk menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Kelantan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, turut melafaz sumpah untuk meneruskan jawatannya sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Adat istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di Balairung Seri dibuat di hadapan Raja-Raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Jemaah menteri, dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman Malaysia.

Sultan Abdullah, 59, dimahsyurkan sebagai Sultan Pahang Keenam pada 15 Jan lalu bagi menggantikan ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah yang gering.

Baginda yang dilahirkan pada 30 Julai, 1959 di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang dan ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang semasa berusia 16 tahun dan merupakan putera kedua dalam dunia, yang memegang status Tengku Mahkota selama 45 tahun selepas Prince of Wales iaitu Putera Charles.

Mendapat pendidikan tinggi di England, Baginda sangat aktif dalam bidang sukan dan pernah memegang beberapa jawatan penting seperti ahli jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa(FIFA) dan presiden Persatuan Hoki Asia serta pernah berkhidmat sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dari 2014 hingga 2017.

Sultan Abdullah berkahwin dengan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac, 1986 dan dikurniakan empat putera dan lima puteri.

Menurut agensi berita nasional Bernama, hanya 43 buah negara di seluruh dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Malaysia adalah salah satu negara tersebut.

Di samping itu, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.

Terdahulu itu, Sultan Abdullah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Khamis bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah di Istana Negara.

Baginda menaiki pesawat khas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan rombongan diraja tersebut mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada kira-kira 9.10 pagi.

Setibanya di Kompleks Bunga Raya, baginda kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dari Kem Wardieburn Kuala Lumpur yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota diketuai Kapten Abdul Munir Mohani@Che Omar.

Sejurus selepas itu, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat menaiki kenderaan rasmi negara ke Dataran Parlimen bagi sambutan rasmi sebelum menuju ke Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar semasa sambutan rasmi sebelum menuju ke Istana Negara bagi majlis upacara mengangkat sumpah, Kuala Lumpur, 31 Jan 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]


Hubungan baik dengan kerajaan

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Ahmad Marthada Mohamed berkata, kerajaan baru Pakatan Harapan dan Yang di-Pertuan Agong mampu bekerjasama dengan baik walaupun kedua-dua entiti itu baharu sahaja menjawat kedudukan penting.

"Sesiapa sahaja yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong, perlu bekerjasama dengan kerajaan sedia ada tidak kira kerajaan apa sekalipun."

"Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, jadi siapa yang menjadi Yang di-Pertuan Agong itu tidak menjadi isu besar. Kerajaan baharu dan Yang di-Pertuan Agong mampu bekerjasama dan saya tidak melihat itu satu masalah," kata Ahmad Marthada.

Penggiliran kali pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong adalah berdasar kekananan takhta pemerintahan, bermula dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak yang berakhir pada 1994.

Konvensyen itu terus dijadikan panduan dalam penggiliran kedua yang menyaksikan enam daripada sembilan Raja-Raja Melayu ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, dengan Sultan Abdullah sebagai calon yang menaiki takhta tertinggi negara dalam penggiliran kali ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.