Sultan Pahang Diisytihar Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Perak Kekal Timbalan

Ali Nufael & Noah Lee
2019.01.24
Kuala Lumpur, Malaysia
190124-MY-Pahang-Royals-1000.jpg Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, 15 Januari 2019.
[Jabatan Penerangan Malaysia/AFP]

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan ini.

Pemilihan baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas), yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di Istana Negara pada Khamis.

Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan rasmi Istana Negara.

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dipilih bagi menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa pada 6 Jan lalu selepas memegang tampuk pemerintahan Malaysia sejak 13 Dis 2016.

“Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini (Khamis) dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan Darul Naim,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

Dalam kenyataan itu, Syed Danial berkata bahawa keputusan mesyuarat itu turut dimaklumkan kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Sultan Abdullah, 59, dimahsyurkan sebagai Sultan Pahang Keenam pada 15 Jan lalu bagi menggantikan ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah yang gering.

Sultan Abdullah dilahirkan pada 30 Julai, 1959 di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang dan ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang semasa berusia 16 tahun.

Baginda merupakan putera kedua dalam dunia, yang memegang status Tengku Mahkota selama 45 tahun selepas Prince of Wales iaitu Putera Charles.

Sultan Abdullah merupakan anak keempat dan anakanda lelaki sulung Sultan Ahmad Shah dan Permaisuri Tengku Afzan Tengku Muhammad.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Clifford di Kuala Lipis pada 1965 sebelum menyambung pendidikan di Sekolah Kebangsaan Ahmad di Pekan dari 1966 hingga 1969.

Pada 1969, baginda berpindah ke Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaaan St Thomas sehingga 1974.

Selepas itu, baginda menyambung pengajian di Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, United Kingdom dan Davies College, London dari 1975 hingga 1977.

Sultan Abdullah kemudian melanjutkan pelajaran di Royal Military Academy Sandhurst, UK selama setahun bermula dari 1978 dalam bidang Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi.

Baginda, yang aktif dalam bidang sukan, merupakan ahli jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa(FIFA) dan  presiden Persatuan Hoki Asia serta pernah berkhidmat sebagai  presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dari 2014 hingga 2017.

Sultan Abdullah berkahwin dengan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac, 1986 dan dikurniakan empat putera dan lima puteri.

 



Kenderaan rasmi yang membawa Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meninggalkan Istana Negara selepas berakhirnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Kuala Lumpur, Malaysia, 24 Jan, 2019. [S.Mahfuz/BeritaBenar]

Sistem penggiliran

Sementara itu, pakar perlembagaan Shamrahayu A.Aziz memberitahu BeritaBenar bahawa pemilihan Yang di-Pertuan Agong kali ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Majlis Raja-raja telah memutuskan untuk meneruskan sistem penggiliran dan bukannya sistem kekananan.

“Tiada apa yang memeranjatkan kerana Majlis Raja-raja telah bersetuju untuk menggunakan sistem penggiliran di mana Sultan Pahang yang sepatutnya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Kesemua ini dilakukan berdasarkan perlembagaan. Majlis Raja-raja tidak menggunakan sistem kekananan kerana menghormati sistem penggiliran, yang jelas menunjukkan negeri mana yang layak untuk menjadi Yang di-Pertuang Agong yang seterusnya,” jelas Shamrahayu.

Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara yang dipilih setiap lima tahun dari kalangan sembilan Raja-raja Melayu yang masih memerintah di negeri masing-masing.

Negeri-negeri yang masih diperintah oleh Raja-Raja Melayu ialah Selangor, Perak, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis manakala lima negeri lain berada di bawah bidang kuasa Yang Di-Pertua Negeri.

Penggiliran kali pertama pe­lantikan Yang di-Pertuan Agong adalah berdasar kekananan takhta pemerintahan, bermula dengan Nege­ri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak yang berakhir pada 1994.

Konvensyen itu terus dijadikan panduan dalam penggiliran kedua yang menyaksikan enam daripada sembilan Raja-Raja Melayu telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, dengan Sultan Abdullah sebagai calon yang menaiki takhta tertinggi negara dalam penggiliran kali ini.

Khabar gembira

Pengumuman mengenai pemilihan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja nyata mengundang rasa gembira dalam kalangan orang ramai termasuk ahli perniagaan Mohd Faiz Omar, 28.

“Saya amat gembira sebagai rakyat Malaysia. Negara kita yang kaya dengan sejarah melihat satu lagi sejarah negara. Sama-samalah kita berdoa agar upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong berjalan lancer dan meriah,” katanya.

Ahli perniagaan, Dong Quiwwin dari Perak, pula berkata bahawa pemilihan Sultan Abdullah sememangnya menggembirakan dan harus diraikan.

“Kami gembira dan bangga kerana baginda kini adalah Sultan Pahang dan akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pula,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.