Ahli Parlimen Asia Tenggara Minta Malaysia Hentikan Intimidasi Terhadap Ahli Politik Pembangkang

Pihak berkuasa perlu menghentikan segera kesemua bentuk ancaman, dan menggunakan jentera kerajaan untuk menekan dan mengancam suara pembangkang.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.02.01
Kuala Lumpur
Ahli Parlimen Asia Tenggara Minta Malaysia Hentikan Intimidasi Terhadap Ahli Politik Pembangkang Anak muda Malaysia yang menyertai perhimpunan menggesa penahanan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah, di Kuala Lumpur, 22 Jan 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ahli Parlimen Asia Tenggara menggesa Malaysia untuk menghentikan “tekanan” ke atas para penggubal undang-undang pembangkang di negara itu, selepas ada diantara mereka disiasat pihak berkuasa susulan penglibatan mereka dalam satu perhimpunan anti-rasuah baru-baru ini.

Langkah Malaysia menggunakan jentera kerajaan untuk menekan dan mengancam ahli parlimen pembangkang adalah amat merisaukan demikian menurut Ahli Parlimen Filipina, Risa Hontiveros dalam satu kenyataan.

“Adalah membimbangkan apabila Malaysia berterusan mengambil jalan menggunakan jentera kerajaan untuk menekan dan mengancam suara pembangkang, termasuk di kalangan Ahli Parlimen, sebagai sebahagian daripada percubaan untuk mendiamkan mereka,” kata Hontiveros yang merupakan ahli kepada badan Ahli-ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR).

Menurutnya lagi, reaksi kerajaan terhadap protes aman yang sah bagi mendesak kepada akauntabiliti dalam perkhidmatan awam tidak sepatutnya menekan mereka yang berdemonstrasi.

“Mendesak kepada akauntabiliti dan jawapan berhubung dakwaan perbuatan rasuah adalah mustahak dalam amalan demokrasi, dan pihak berkuasa tidak sepatutnya menekan gesaan demikian,” katanya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta pada Isnin.

Tegasnya lagi, kerajaan Malaysia seharusnya membenarkan Ahli Parlimen pembangkang melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

Kenyataan Hontiveros hadir selepas empat Ahli Parlimen pembangkang dipanggil untuk disoal-siasat oleh pihak polis dalam beberapa hari lepas berhubung penglibatan mereka dalam perhimpunan anti-rasuah.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai, di mana kedua-duanya adalah ahli APHR, telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan di Kuala Lumpur.

Mereka dipanggil untuk disoal siasat berhubung satu protes jalanan yang berlangsung di luar bangunan Parlimen negara itu pada 20 Januari lalu, bagi mendesak supaya Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki digantung tugas atas dakwaan salah laku.

Azam berdepan dengan kritikan sejak beberapa minggu kebelakangan susulan dakwaan pemilikan jumlah saham korporat yang besar dalam sebuah syarikat senaraian awam.

Para pengkritik mendakwa pemilikan saham oleh Azam mendedahkan badan anti-rasuah berkenaan kepada risiko pertikaian integriti dan kredibiliti.

Semasa protes jalanan dua minggu lalu itu, anggota sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhimpun di luar bangunan Parlimen untuk menyerahkan petisyen kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, yang antaranya mendesak supaya Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya agensi anti-rasuah digantung tugas dengan serta-merta.

Petisyen lapan perkara itu mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan berhubung pemilikan saham oleh Azam, pindaan terhadap Akta SPRM bagi menambahbaik semak dan imbang, meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di bawah kawalan Parlimen, serta meningkatan perlindungan terhadap mereka yang melaporkan jenayah rasuah.

Selain daripada Fahmi dan Maria, dua lagi pemimpin politik pembangkang Teresa Kok dan Maszlee Malik turut juga dipanggil untuk disoal siasat, berserta puluhan individu lain susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan dan protes jalanan anti-rasuah yang berasingan pada 22 Januari.

“Kami berdiri bersoladiriti dengan rakan-rakan Ahli Parlimen, dan mengingatkan kerajaan Malaysia yang pihak polis seharusnya digunakan, bukan untuk menekan dan mengancam para pengkritik kerajaan, sebaliknya untuk melindungi dan menghormati hak rakyat untuk mengadakan protes dan kebebasan bersuara.

“Pihak berkuasa perlu menghentikan segera kesemua bentuk ancaman, dan menggunakan jentera kerajaan untuk memastikan mereka yang memegang jawatan awam bertanggungjawab terhadap rakyat,” ujar Hontiveros lagi.

Dalam kenyataan itu, Hontiveros menambah dengan kedudukan Malaysia jatuh lima anak tangga dalam rating Indeks Rasuah Transparency International, suara desakan supaya berhubung isu akauntabiliti ketua SPRM dan reformasi institusi untuk dilaksanakan, semakin meluas.

“Dalam laporan tahunan, ‘Parliamentarian at Risk’, yang dikeluarkan pada lewat 2021, APHR mendapati ancaman undang-undang terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang di Malaysia telah meningkat pada tahap yang membimbangkan, selari dengan tindakan yang semakin meluas terhadap kebebasan bersuara,” ujarnya lagi.

Lebih ramai akan dipanggil

Sementara itu Fahmi dalam satu kenyataan berkata beliau difahamkan bahawa pihak polis akan memanggil beberapa Ahli Parlimen lain termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berhubung siasatan yang sama.

“Nampaknya ramai yang akan dipanggil berhubung penyerahan memorandum tersebut tetapi saya tidak pasti kalau ada isu lain.

“Proses berjalan lancar dan kami memberi kerjasama selepas dipanggil pada awal minggu ini dan kami hadir hari ini,” katanya selepas selesai disoal siasat oleh Polis di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Jumaat lepas.

Media tempatan melaporkan sekitar 20 soalan diajukan oleh pihak polis berkenaan penglibatan Ahli Parlimen pembangkang dalam perhimpunan penyerahan memorandum tersebut antaranya, peranan dan kapasiti mereka, identiti pihak penganjur, tujuan perhimpunan dan adakah prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Maria dalam hantaran di laman media sosial Twitter berkata polis telah membuka siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan pelanggaran protokol kesihatan di bawah Fasa Pemulihan Negara bagi pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya pada Jumaat mengesahkan Fahmi dan Maria dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan penyerahan memorandum berkaitan dakwaan pemilikan saham Azam, pada 20 Januari lalu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya kepada BenarNews.

Intimidasi politik

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan segera menghentikan intimidasi atau ugutan politik ke atas Ahli Parlimen pembangkang.

Nurul Izzah yang juga anak kepada ketua pembangkang berkata pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan intimidasi politik susulan hampir 40 individu telah dipanggil polis untuk disoal siasat bagi pelbagai kes.

“Ini jelas sekali adalah satu intimidasi politik. Kita melihat salahguna aset negara iaitu pihak polis yang sepatutnya didahulukan dan digunapakai bagi menyiasat dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pihak media di Ibupejabat polis Bukit Aman pada Jumaat.

Terdahulu Nurul Izzah mengiringi ibunya Wan Azizah Wan Ismail, yang juga bekas timbalan perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, untuk memberi keterangan berhubung buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness”.
Justeru, Nurul Izzah mendesak Kabinet, khususnya Menteri Dalam Negeri menghentikan imimidasi politik ke atas pihak pembangkang dan sebaliknya menumpukan kepada isu melibatkan kepentingan rakyat.

“Tentunya kita hormati anggota polis. Kita faham mereka lakukan tugasan. Tetapi mahu tidak mahu punca kuasa, pihak yang mengeluarkan arahan haruslah menanggung tanggungjawab lebih-lebih lagi ia berkait dengan buku ataupun siasatan ke atas salah seorang peguam negara di negara kita,” tegasnya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.