Ahmad Zahid Hamidi Didakwa Kes Pecah Amanah RM10 Juta

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-12-14
Share
181214-my-ahmadzahid620.jpg Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan kepada jurugambar semasa berada di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 14 Disember, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas timbalan perdana menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat berdepan dengan pertuduhan baru pecah amanah melibatkan pemberian pinjaman menggunakan duit yayasan milik keluarganya sebanyak RM10 juta kepada sebuah syarikat tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan baru itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Jumaat pagi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang dahulunya adalah kerajaan memerintah dan kini mengetuai blok pembangkang Barisan Nasional didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan berdepan dengan 20 tahun penjara serta sebatan dan denda jika didapati bersalah.

Dengan pertuduhan terbaru itu, Ahmad Zahid, 65, kini berdepan dengan 46 pendakwaan- 11 pertuduhan pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 berkaitan pengubahan wang haram.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa telah melakukan kes pecah amanah pada 8 Disember 2015. Bekas timbalan perdana menteri itu yang juga pemegang amanah Yayasan Akal Budi telah didakwa memberikan pinjaman RM10 juta kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Affin Bank Berhad, Jalan Bunus branch , No 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwaraya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak akan memohon pertambahan wang jaminan kerana membenarkan penggunaan wang jaminan yang sudah dikenakan ke atas Anggota Parlimen Bagan Datuk itu dua bulan lepas.

“Maka dengan itu, tertuduh tidak perlu membayar duit ikat jamin kerana pendakwaraya bersetuju menggunakan jumlah yang sudah dibayar pada Oktober,” kata Hakim Rozina.

Hakim turut mengumumkan bahawa kes akan didengar semula pada 20 Februari tahun hadapan.
Pada Oktober lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas 45 pertuduhan kes pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM114.15 juta.

Terdahulu itu, Timbalan Pendakwaraya Raja Rozela turut membuat pindaan terhadap 10 pertuduhan kes pecah amanah ke atas Ahmad Zahid yang sudah dibacakan sebelum ini di mahkamah yang sama pada Oktober lepas.

Kali ini pasukan pendakwaan menyatakan perincian bagi setiap pendakwaan dan bagaimana wang itu telah dibelanjakan dan pindaan itu dibacakan semula di hadapan Ahmad Zahid dan beliau sekali lagi mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.

Untuk 10 pendakwaan pertama di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan pecah amanah RM20,833,132.99 sebagai pemegang amanah bagi Yayasan Akal Budi.

Dinyatakan dalam kertas pertuduhan itu juga, Ahmad Zahid telah menggunakan dana secara tidak jujur dengan melakukan enam kali pembayaran untuk kad kredit kegunaan beliau, pembayaran polisi insuran dan lesen bagi kereta milik persendirian, menghantar kiriman wang kepada firma guaman, pembayaran kepada firma perundingan dan juga derma untuk kelab bolasepak Polis DiRaja Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari, 2016.

Kesalahan-kesalahan lain melibatkan rasuah dan pencegahan wang haram terhadap Zahid walaubagaimanapun tidak dipinda.

Isa mengaku tidak bersalah


Selain bekas timbalan perdana menteri itu, di bangunan mahkamah yang sama juga membicarakan kes bekas Pengerusi Lembaga Pemajuan Tanah Persekutuan [Felda], Mohd Isa Samad yang didakwa dengan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta.

Kesemua pertuduhan itu adalah berkaitan dengan pembelian sebuah hotel oleh syarikat pelaburan milik Felda, Felda Investment Corporation(FIC) pada 2014.

Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi pada Jumaat.

Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi FIC pernah ditahan dan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Ogos tahun lepas berkaitan kes yang sama.

Dalam kertas pertuduhan itu telah dinyatakan bahawa hotel yang dimaksudkan adalah Merdeka Palace yang terletak di Kuching, Sarawak, dibeli dengan harga yang tinggi semasa beliau masih berkhidmat di FIC .

Isa yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan turut didakwa menerima rasuah sebanyak sembilan kali di antara Julai 2014 dan Disember 2015 daripada ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.

Turut dinyatakan dalam kertas pertuduhan tersebut adalah mengenai bekas pegawai politik beliau Zahid Md Arip telah bertindak sebagai orang tengah untuk menerima wang tersebut dan menyerahkannya kepada beliau.

Zahid yang pernah ditahan reman berkaitan kes tersebut pada masa ini berkhidmat sebagai setiausaha politik Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Zahid yang merupakan ahli UMNO turut meninggalkan parti itu pada tahun 2015 untuk menyertai Mahathir yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam usaha untuk menumbangkan bekas perdana menteri Najib Razak dan kerajaan BN dibawah pimpinannya.

Hakim Azura menetapkan ikat jamin RM800,000 dengan satu penjamin dan turut meminta Isa untuk menyerahkan pasport antarabangsanya untuk simpanan mahkamah sehingga perbicaraan kes itu selesai.

"Defendan perlu membayar ikat jamin sebanyak RM800,000 dengan satu penjamin dan perlu menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai,” kata Hakim itu sebelum menurunkan jumlah wang jaminan dari RM2 juta seperti yang dimohon oleh Timbalan Pendakwaraya Umar Saifuddin Jaafar kepada jumlah yang dirayu.

Hakim Azura turut menetapkan 25 Januari 2019 untuk pendengaran semula kes.

Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan komen dari Zahid Md Arip gagal, walaubagaimanapun sebuah laman berita melaporkan bahawa Zahid enggan memberi sebarang komen kerana kes itu sudah menjadi kes mahkamah.

Zahid merupakan pegawai Isa ketika beliau masih Pengerusi Felda. Zahid meninggalkan Umno dan menyertai Mahathir selepas Najib dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Semasa PilihanRaya Umum ke 14 pada Mei lalu, Zahid telah dipilih sebagai calon Parti Bersatu dibawah gabungan Pakatan Harapan bertanding melawan Najib Razak dikubu kuat bekas perdana menteri itu di Pekan, Pahang.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh