Follow us

Siasatan Rasuah Airbus: Tony Fernandes, Kamarudin Meranum Lepas Jawatan

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-03
E-mel
Komen
Share
Pesawat Airbus AirAsia A320 semasa di tarmac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, Selangor, 28 Disember 2014.
Pesawat Airbus AirAsia A320 semasa di tarmac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, Selangor, 28 Disember 2014.
[AFP]

Dua pegawai eksekutif tertinggi AirAsia pada Isnin mengumumkan pelepasan jawatan mereka di dalam syarikat penerbangan berkenaan buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap skandal rasuah membabitkan AirAsia dengan syarikat pengeluar kapalterbang berpangkalan di Eropah, Airbus SE.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AsiaAsia Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AsiaAsia Tony Fernandes membuat keputusan itu ketika syarikat AirAsia sedang hangat dikaitkan dengan tuduhan rasuah bernilai AS$50 juta (RM200 juta), yang didakwa telah diberikan oleh individu dalam Airbus kepada dua eksekutif AirAsia yang tidak dinamakan melalui satu pasukan sukan dimiliki mereka.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Kamarudin dan Fernandes pada Isnin telah menafikan semua pertuduhan salahlaku tersebut semasa menjalankan tugas mereka sebagai pegawai tertinggi AirAsia, dan memutuskan untuk melepaskan jawatan bagi tempoh dua bulan supaya satu siasatan dalaman secara telus dapat dijalankan syarikat berkenaan.

"Kami secara mutlak menafikan sebarang dan semua dakwaan salahlaku bagi pihak kami selaku pengarah AirAsia. Kami tidak akan merosakkan syarikat-syarikat yang telah kami habiskan seluruh hidup kami untuk membina mereka sehingga ke tahap dunia seperti hari ini.

"Bagi membantu supaya siasatan penuh dan berkecuali dapat dijalankan oleh AirAsia, kami melepaskan semua peranan eksekutif kami berkuatkuasa serta merta bagi tempoh dua bulan, atau suatu tempoh yang dirasakan perlu oleh syarikat," kata mereka dalam kenyataan rasmi kepada media yang dikeluarkan pada Isnin.

Minggu lalu, satu penghakiman persetujuan yang dibuat mahkamah di United Kingdom terhadap Airbus menamakan AirAsia sebagai antara syarikat yang terbabit dalam aktiviti rasuah oleh Airbus bagi mendapatkan atau mengekalkan bisnes mereka.

Sejumlah AS$50 juta dikatakan telah dibayar kepada pengarah-pengarah atau pekerja AirAsia dan AirAsiaX melalui penajaan pasukan sukan yang dimiliki secara bersama oleh "Eksekutif AirAsia1 dan Eksekutif AirAsia2", menurut dokumen yang dilihat BeritaBenar.

Susulan pendedahan berkenaan, pihak berkuasa anti-rasuah Malaysia mengumumkan melalui satu kenyataan media pada Sabtu lalu bahawa suruhanjaya itu telahpun memulakan siasatan terhadap perkara berkenaan.

"Saya merujuk kepada pendedahan pada 31 Januari di United Kingdom berkenaan dakwaan rasuah melibatkan Airbus dan 2 eksekutif dari AirAsia.

"Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kami mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa tindakan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana warganegara atau penduduk tetap Malaysia di mana-mana tempat luar Malaysia.

"Dalam kes Airbus-Airasia ini, saya dengan ini mengesahkan bahawa pihak SPRM telah menghubungi pihak berkuasa UK dan telahpun memulakan penyiasatan dalam perkara ini," kata Latheefa Koya, ketua Pesuruhjaya SPRM dalam kenyataan itu.

Kumpulan AirAsia pula pada Ahad telah mengeluarkan penafian terhadap tuduhan rasuah berkenaan, dan menyatakan bahawa pihak mereka tidak pernah terbabit dalam siasatan atau dihubungi oleh 'Serious Fraud Office' UK (Pejabat Jenayah Penipuan Serius) bagi mendapatkan klarifikasi mengenai isu berkenaan.

Tambahnya, keputusan untuk memasuki apa-apa perjanjian pembelian pesawat juga bukanlah keputusan yang dibuat individu, sebaliknya melalui "evaluasi dibuat secara berhati-hati, deliberasi dan keputusan bersama oleh ahli lembaga selepas mengambil kira spesifikasi teknikal, pencapaian penerbangan pesawat dan ekonomi pengoperasian".

"Sebagai pelanggan Airbus sejak 2005, AirAsia tidak pernah membuat keputusan pembelian berdasarkan penajaan diberi Airbus," kata syarikat itu dalam kenyataannya.

Susulan pengumuman pelepasan jawatan oleh Fernandes, kumpulan AirAsia itu akan diterajui  oleh K Tharumalingam, yang dilantik sebagai pemangku CEO buat sementara waktu.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia juga, AirAsia memaklumkan bahawa satu jawatankuasa non-eksekutif berkecuali lembaga pengarah telah ditubuhkan bagi meneliti tuduhan di dalam penyelesaian Airbus itu yang membabitkan AirAsia.

Kamarudin dan Fernandes juga akan meneruskan peranan dalam AirAsia sebagai penasihat, dengan menjadi ahli lembaga pengarah non-eksekutif non-independent.

Lihat Laman Penuh