Forest City: Lima akta berkaitan kastam dan percukaian diluluskan Dewan Rakyat
2024.07.17
Kuala Lumpur
Dewan Rakyat Malaysia pada Rabu meluluskan pindaan terhadap lima akta berkaitan kastam dan percukaian negara itu bagi memberikan status bebas cukai kepada sebahagian daripada kawasan Forest City - sebuah projek hartanah dibangunkan syarikat China yang berdepan masalah kewangan dan kini digelar "bandar berhantu" di negeri Johor.
Menurut kerajaan Malaysia, langkah menjadikan Pulau 1 di Forest City itu merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menarik pelaburan ke wilayah tersebut.
Projek Forest City bernilai AS$100 bilion yang dibangunkan syarikat Country Garden dari China dilaporkan berdepan kesukaran menarik penduduk, dengan hanya kira-kira 9,600 orang sahaja tinggal di kawasan yang dirancang untuk menjadi penempatan kepada 700,000 orang.
Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Hui Ying ketika membentangkan lima usul berasingan di Parlimen bagi membuat pindaan terhadap Akta Kastam, Akta Eksais, Akta Zon Bebas, Akta Cukai Jualan, dan Akta Cukai Perkhidmatan berkata langkah itu akan menjadikan Pulau 1 sebagai sebuah zon bebas cukai sama seperti beberapa pulau lain di negara berkenaan yang telah diberikan status tersebut.
"Rang undang-undang yang dicadangkan ini adalah bagi meminda Akta Kastam 1967 dengan tujuan untuk mempromosi Pulau 1, Forest City yang terletak di Mukim Tanjung Kupang, Daerah Johor Bahru, Johor, serta bagi meningkatkan perkembangan ekonomi dalam kawasan tersebut dengan memasukkan peruntukan cukai berkenaan dengan kawasan tersebut ke dalam akta.
"Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Pulau 1 tidak lagi menjadi sebahagian daripada kawasan utama kastam sama seperti Labuan, Langkawi, Tioman dan Pangkor," kata beliau semasa membentangkan usul bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Rabu.
Kesemua lima pindaan tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui undian suara majoriti yang diadakan selepas sesi debat oleh ahli-ahli Parlimen.
Timbalan menteri itu berkata pemberian status bebas cukai kepada Pulau 1 itu dijangka akan memberikan impak positif terhadap ekonomi kawasan setempat serta membuka banyak peluang pekerjaan baru dalam bidang hospitaliti, kewangan dan jualan, menurut laporan agensi media kerajaan.
Forest City, yang dilancarkan pada 2013, merupakan projek luar negara terbesar yang dibangunkan coleh pemaju China.
Projek itu dilancarkan dengan rancangan untuk menyediakan perumahan yang menempatkan 700,000 penduduk di menara pangsapuri menghadap laut di empat pulau buatan manusia seluas 30 km persegi (11.6 batu persegi) yang terletak di antara Malaysia dan Singapura.
Semasa ia dilancarkan, syarikat pemaju itu berkata bahawa Forest City akan mempunyai taman, pusat beli-belah dan hotel serta mewujudkan 220,000 pekerjaan dan menyumbang anggaran RM200 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2035.
Pada Julai 2023, penganalisis menjangkakan nilai hartanah bagi projek Forest City akan jatuh kerana pemaju dari China iaitu Country Garden berdepan masalah kewangan yang boleh mengganggu nilai jualan semula dan kadar sewa.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di laman Facebook pada bulan lalu (Jun 2024), Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata Zon Kewangan Khas Forest City dijangka dimuktamadkan pada Ogos ini. Zon itu diramal mampu menarik minat institusi kewangan untuk melabur dalam projek itu.
Lonjak minat
Sementara itu, dua pakar ekonomi yang dihubungi BenarNews menyambut baik langkah kerajaan menjadikan sebahagian daripada Forest City sebagai kawasan bebas cukai, di mana mereka percaya ia akan dapat membantu melonjakkan minat orang ramai untuk berkunjung ke destinasi tersebut.
Bagaimanapun, mereka menyatakan bahawa kerajaan masih perlu mengambil langkah-langkah lain yang sepatutnya bagi memastikan status bebas cukai di Pulau 1 itu akan memberikan kesan yang dikehendaki.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata pembukaan zon bebas cukai di Forest City, yang kini hanya mampu menarik minat penggemar sukan golf, akan dapat menjadikannya sebagai satu destinasi tumpuan keluarga.
"Dengan zon bebas cukai, ia akan dapat menarik minat keluarga untuk membeli-belah pada harga lebih murah. Ia juga akan menarik minat warga Singapura yang akan lebih menikmati keuntungan kerana matawang mereka yang lebih besar.
"Selain itu, perkataan bebas cukai sahaja pun sudah cukup untuk menarik minat. Akan tetapi, kerajaan perlu memastikan ia adalah bebas cukai secara penuh dan bukannya seperti di Pulau Pangkor, yang melihat pengunjung kecewa kerana harga yang ditawarkan di sana tidak semurah di Pulau Langkawi," kata beliau kepada BenarNews.
Seorang lagi pakar ekonomi Ahmed Razman Latiff dari Putra Business School berkata langkah mewujudkan zon bebas cukai itu adalah satu pemula yang bagus untuk Forest City.
"Akan tetapi, banyak lagi yang perlu dilakukan dari segi koordinasi dan perancangan untuk mengubah Forest City menjadi sebuah destinasi untuk orang tinggal dan bekerja.
"Kerajaan perlu menawarkan insentif yang betul kepada para industri dan perniagaan supaya mereka mahu berpindah ke sana. Selain itu, infrastruktur dan kemudahan juga mestilah mencukupi," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah Razman, kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan pengangkutan yang secukupnya, terutama bila projek RTS Link yang menghubungkan Singapura dengan Johor Bahru mula beroperasi pada 2026.