Malaysia Longgarkan Penguatkuasaan Akta Perumahan Warga Asing Sehingga Disember

Keputusan itu dibuat bagi memberikan ruang dan masa bagi majikan untuk memenuhi standard minimum perumahan bagi pekerja mereka.
Hadi Azmi & S. Adie Zul
2021.04.22
Kuala Lumpur
Malaysia Longgarkan Penguatkuasaan Akta Perumahan Warga Asing Sehingga Disember Pekerja warga Bangladesh bekerja di ladang sayur di Cameron Highland, Pahang, 14 Ogos, 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 11.30 malam waktu tempatan ETS - 2021-04-22

Malaysia telah bersetuju untuk memberi tempoh sehingga penghujung tahun ini kepada majikan bagi memenuhi standard perumahan minimum pekerja mereka, selepas menerima maklum balas dari pengilang yang meminta diberikan lebih masa untuk menyiapkan kerja menaiktaraf kemudahan asrama susulan pandemik COVID-19, kata Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin berkata kira-kira 145,000 pekerja migran yang tidak mempunyai dokumen perjalanan telah mendaftar untuk menukar status sebagai pekerja sah atau memilih untuk pulang ke negara asal tanpa berdepan sebarang tindakan undang-undang.

Saravanan dan Hamzah ditemui media selepas kedua-duanya mengadakan mesyuarat bersama peringkat kementerian berhubung pekerja migran yang berlangsung di Putrajaya pada Khamis.

Menteri Sumber Manusia itu yang menjawab soalan pihak media berkata, "Kementerian telah bersetuju memberi kelonggaran kepada industri terpilih untuk menangguhkan pematuhan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] sehingga Disember, tetapi penguatkuasaannya akan sentiasa berjalan bagi memantau perkembangan."

“Saya telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian dengan Persatuan Pemborong-Pemborong Binaan Malaysia tetapi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan mereka mengambil inisiatif untuk mencapai tahap pematuhan menjelang Disember.

“Sekiranya anda mahu mencapai pematuhan menjelang Disember, anda tidak boleh menunggu sehingga Disember untuk memulakan kerja-kerja pembinaan perumahan. Anda mesti meyakinkan kami yang anda telah memulakan inisiatif untuk mencapai pematuhan menjelang Disember,” ujarnya, sambil merujuk kepada sebuah persatuan yang mewakili industri pembinaan di Malaysia.

Menurut satu hantaran di laman Facebook mereka, Persatuan Pemborong-Pemborong Binaan Malaysia sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Saravanan di pejabatnya pada 30 Mac lepas.

Kompaun pengampunan

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan yang sehingga Khamis, Malaysia telah mengutip RM35.7 juta ringgit (AS$ 8.7 million) dalam bentuk kompaun daripada 74,503 pekerja migran yang tidak mempunyai dokumen sah yang memohon untuk program pengampunan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Program Rekalibrasi Pekerja yang dilancarkan pada November lepas itu juga telah merekodkan 71,510 pendaftaran daripada pekerja tanpa dokuimen yang berhasrat untuk kekal bekerja di Malaysia di bawah komponen pengambilan semula kerja menerusi program berkenaan.

“Oleh itu secara keseluruhannya hampir 145,000 telah mendaftar,” ujar Hamzah dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatnya daripada Kementerian Sumber Manusia itu.

Kerajaan Malaysia juga mengumumkan yang Putrajaya telah memperluaskan program pengampunan pekerja tanpa dokumen kepada empat lagi sektor ekonomi dengan melonggarkan syarat-syarat untuk melayakkan mereka mengambil bahagian dalam program tersebut.

Sektor-sektor ekonomi tambahan tersebut adalah restoran, kargo, pemborong dan peruncitan serta pembersihan.

Pekerja tanpa dokumen yang telah memohon untuk program pengambilan semula kerja sebelum ini tetapi gagal, serta mereka yang telah melarikan diri daripada majikan dan mereka yang memiliki dokumen perjalanan yang sah dan masih laku daripada negara asal, kini layak untuk mendaftar bagi program berkenaan.

“Semua keputusan yang dibuat pada hari ini adalah bagi membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi dengan segera dan mengelakkan sektor-sektor kritikal seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan perkhidmatan daripada mengalami kerugian serius akibat kekurangan tenaga kerja,” ujarnya lagi.

Begitu pun, kumpulan aktivis pekerja migran melahirkan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaan akta perumahan di samping membenarkan agensi pengambilan pekerja swasta membantu mempercepatkan proses pendaftaran program tersebut kerana ia berisiko membuka ruang kepada jenayah rasuah dan penyalahgunaan.

Ejen ambil kesempatan

Bercakap kepada BenarNews, Adrian Pereira daripada Inisiatif Utara-Selatan mendakwa hampir kesemua pekerja migran telah diambil kesempatan oleh ejen apabila program berkenaan diuruskan secara terus oleh Jabatan Imigresen.

“Semua penyelesaian ini dilakukan secara tergesa-gesa dan bermusim. Biarpun tanpa penglibatan ejen, kita masih melihat “ejen” secara aktif melakukan proses permohonan untuk para pekerja yang mempunyai tahap literasi dan keyakinan yang minima untuk membuat permohon sendiri,” katanya.

Sehingga 9 Februari, Jabatan Imigresen telah mengenalpasti dan menahan ahli kumpulan sindiket yang beroperasi sebagai “orang tengah” untuk program rekablirasi dengan mengenakan bayaran di antara RM1,000 (AS$243) hingga RM1,500 (AS$364) kepada setiap pekerja asing bagi membantu mereka dalam proses pendaftaran.

Menurut Pareira lagi, kebimbangan ini disahkan melalui satu laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada tahun 2020 yang mendedahkan mengenai kelonggaran dan kepincangan dalam proses pengambilan pekerja migran.

Laporan yang dikeluarkan pada bulan November 2020 itu mendedahkan kewujudan orang tengah, terlalu banyak kelulusan khas untuk memintas peraturan sedia ada, dan kemasukan pekerja asing yang gagal dalam pemeriksaan kesihatan.

“Perlu diperkenalkan satu sistem bebas bagi menyiasat aduan supaya mewujudkan semak dan imbang sekiranya prosedur gagal memenuhi standard antarabangsa mengenai Pengambilan Kerja Yang Adil.

“Kita masih belum melihat kemahuan politik untuk melakukan reformasi ke atas migrasi buruh. Sehingga itu, kita akan terus berada dalam senarai pemantauan oleh masyarakat antarabangsa dan sistem pembekalan,” ujarnya lagi.

Program Rekabrilasi Tenaga Kerja yang bermula pada 16 November 2020 dan dijangka berakhir pada Jun depan.

Sementara itu, Glorene Das dari sebuah lagi kumpulan aktivis Tenaganita mendakwa semua program sama yang dilaksanakan sebelum ini gagal kerana kerajaan dan agensi-agensi pekerjaan mengambil kesempatan di atas kekurangan tenaga buruh dalam industri-industri berkaitan.

Dakwanya, mereka mengetahui bahawa para majikan sedia membayar apa sahaja kos yang diperlukan untuk mendapatkan pekerja.

“Jadi, sekali lagi para pekerja migran terus menjadi komoditi untuk membuat keuntungan, malangnya kerajaan membenarkan perkara ini untuk terus berlaku.

“Pekerja migran tanpa mengira status mereka berterusan dipergunakan seolah-seolah mesin ATM kepada banyak pemegang taruh – dan ia jelas sekali dalam pengumuman yang dibuat hari ini, di mana program pengampunan dan pengambil-semula kerja yang dilancarkan oleh kerajaan, sekali lagi akan menemui kegagalan,” dakwanya lagi.

Di antara tahun 2010 dan 2017, dianggarkan bilangan pekerja asing tidak sah di Malaysia telah meningkat daripada 1.7 juta kepada 2.2 juta dan sehinga penghujung 2018, adalah dianggarkan pertambahan di antara 2 hingga 4 juta pekerja yang tidak berdaftar di Malaysia. Di antara negara asal para pekerja ini adalah Indonesia, Nepal, Bangladesh, India dan Myanmar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.