Aktivis hak asasi manusia terkemuka maut ditembak di Selatan Thailand

Pembunuhan Roning Dolah menyerlahkan bahaya yang dihadapi oleh pejuang hak asasi manusia di wilayah sempadan selatan Thailand yang bergolak, kata Amnesty International.
Mariyam Ahmad
2024.06.26
Pattani, Thailand
Aktivis hak asasi manusia terkemuka maut ditembak di Selatan Thailand Pegawai polis bercakap dengan saksi ketika mereka melawat rumah di mana seorang aktivis hak asasi manusia tempatan, Roning Dolah, ditembak mati di Yarang, sebuah daerah di wilayah Pattani selatan Thailand, 26 Jun 2024.
[BenarNews]

KEMASKINI pada 7.45 malam waktu tempatan ETS - 2024-06-26

Seorang aktivis hak asasi manusia terkemuka di Selatan Thailand yang dilanda pemberontakan ditembak mati di rumahnya di wilayah Pattani oleh dua lelaki tidak dikenali dengan senjata gred tentera, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Roning Dolah, penyelaras Duay Jai (With Heart), sebuah organisasi masyarakat sivil, dibunuh di depan mata keluarganya di rumah mereka dalam daerah Yaring pada malam Selasa, kata pegawai.

“Kedua-dua penyerang menghampiri bahagian belakang rumah dan melepaskan tembakan dengan senjata gred tentera ke arah Roning ketika beliau sedang berehat bersama keluarganya,” kata Kapten Polis Suwan Naksanga, pegawai penyiasat di Balai Polis Yaring. "Tembakan itu terkena pada bahagian dadanya dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian."

Pihak berkuasa menjumpai tujuh kelongsong peluru 7.62 mm dan satu kelongsong 5.56 mm di tempat kejadian. Siasatan polis sedang dijalankan.

“Kami sedang duduk di depan rumah apabila terdengar bunyi tembakan. Penyerang terbabit… yang berpakaian serba hitam seperti renjer separa tentera telah menembaknya sebelum melarikan diri,” kata balu Roning, Milah Kuteh, kepada BenarNews.

Kolonel Ekwarit Chobchuphon, jurucakap Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 Komando Hadapan, pula mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pihak yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.

"Apabila berlaku insiden seperti ini dan pelakunya tidak dapat dijejaki, pihak tertentu akan cuba mengaitkannya dengan pegawai kerajaan," katanya sambil menambah ahli kumpulan pengganas di wilayah itu sering menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan.

Anchana Heemmina, Presiden Duay Jai, melahirkan kebimbangan mengenai masa serangan yang berlaku beberapa minggu sebelum mesyuarat peringkat jawatankuasa mengenai rundingan damai di Malaysia antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak utama di Selatan Thailand pada Ogos ini.

"Mengapa keganasan berlaku selepas beberapa pusingan rundingan damai bagi wilayah di sempadan selatan Thailand?" soal Heemmina, Ahli Jawatankuasa Khas Dewan Perwakilan Thailand mengenai Keamanan di Sempadan Selatan negara itu

Heemmina berkata Roning, 45, juga pernah menjadi mangsa seksaan pasukan tentera semasa beliau ditahan lima kali di wilayah Pattani.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia Amnesty International menggesa pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan segera yang telus dan bebas berkaitan kematian Roning.

“Siasatan dalam kes sebegini penting bukan sahaja untuk memberikan keadilan kepada Roning dan keluarganya tetapi juga bagi mengelakkan insiden ini daripada memberi kesan yang tidak diingini terhadap aktivisme hak asasi manusia di wilayah Thailand ini,” kata Chanatip Tatiyakaroonwong, seorang penyelidik Thailand dengan Amnesty International dalam satu kenyataan.

TH-activist-killed2.jpg

Wanita Muslim Thailand memegang sepanduk tertera perkataan "Hentikan keganasan, hentikan konflik dengan cara aman" semasa perhimpunan antikeganasan yang dihadiri oleh penduduk Islam dan Buddha di wilayah selatan Narathiwat, Thailand, 22 Jan 2019. [Madaree Tohlala/AFP]

Puak pemisah beroperasi di wilayah paling selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah Melayu Islam.

Terdapat lebih 22,200 insiden ganas di wilayah sempadan itu sejak kempen pemberontakan yang berlaku sejak berdekad lamanya kembali tercetus pada awal 2004, mengakibatkan lebih 7,540 kematian dan 14,000 kecederaan, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir.

Keganasan masih berterusan walaupun kerajaan Thailand telah memperuntuk kira-kira 500 bilion baht (AS$14 bilion) bagi menangani isu di wilayah sempadan selatan itu sejak dua dekad lalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.