Malaysia Panggil Duta Palestin Perjelas Kenyataan Berhubung Sumbangan Masjid Al-Aqsa

Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-20
Share
200220-MY-Aman-Palestine1000.jpg Badan bukan kerajaan Aman Palestin, menerusi “projek kita” memberi sumbangan makanan semasa bulan Ramadan kepada umat Islam di Masjid Al-Aqsa, di Baitulmuqaddis, Mei 2019.
[Ihsan Aman Palestin-Malaysia]

Kementerian Luar Negeri pada Khamis memanggil Duta Besar Palestin ke Malaysia untuk meminta beliau memberi penjelasan terhadap kenyataannya kepada sebuah media tempatan yang rakyat Palestin tidak menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan negara itu terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis sejak 2018.

Selepas pertemuan di Putrajaya, kementerian itu telah menjawab kenyataan Duta Palestin Walid Abu Ali bahawa sumbangan yang dikutip oleh pertubuhan bukan kerajaan Malaysia – kecuali sebuah kumpulan – dengan dana tidak disalurkan secara betul bagi masjid berkenaan yang dibuat menerusi kerajaan Jordan, yang menjadi penjaga tempat suci umat Islam dan Kristian di Kota Lama Baitulmuqaddis tersebut.

"Kementerian Luar Negeri memandang serius isu yang telah dibangkitkan,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan media sambil menambah “Menurut Duta Besar Palestin, kenyataan beliau dibuat berdasarkan rekod daripada pengurusan Masjid Al-Aqsa sejak 2018. Beliau bagaimanapun tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diuruskan oleh kerajaan Jordan,”

Umat Islam di seluruh dunia melihat Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmuqaddis, yang terletak di tapak suci Haram al-Sharif, atau Temple Mount, sebagai tempat ketiga tersuci selepas Mekah dan Madinah.

Kementerian Luar Negeri juga melaporkan bahawa pemimpin NGO Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bersama pada Rabu yang memaklumkan bahawa sumbangan telah diedarkan kepada rakyat Palestin melalui rakan kongsi mereka di rantau tersebut, dan bukan melalui kerajaan.

"Kita tahu yang projek kita berjalan dengan baik," kata Anas Abdul Wahab, Pengarah Media bagi banda bukan kerajaan Aman Palestin – Malaysia semasa dihubungi BeritaBenar pada Khamis.

"Ia tidak melalui [pihak berkuasa Palestin], tetapi melalui badan-badan lain, rakan-rakan NGO kita, bantuan itu sememangnya sampai kepada rakyat Palestin," katanya sambil menambah dana tersebut disampaikan secara terus kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

"Dengan kerajaan, biasanya akan ada kerenah birokrasi, dan kita tahu semua peraturan kerja dan membantu mempermudah program yang ingin dilaksanakan. Tanpa birokrasi, ia membolehkan kita bergerak lebih pantas lagi,” tambah beliau.

Aman Palestin menghantar antara RM10 juta hingga RM20 juta (AS$2.39 juta dan AS$4.78 juta) terus ke akaun bank NGO di rantau itu setiap tahun, bergantung kepada program yang telah dirancang untuk dibiayai, demikian menurut Anas.

Pada Selasa, Duta Besar Palestin memberitahu New Straits Times bahawa hanya sumbangan dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah diambil kira oleh dana Al-Aqsa. Beliau berkata rakyat Malaysia harus bertanya apa sudah berlaku kepada sumbangan mereka.

"Beberapa NGO di Malaysia, mereka memberi tumpuan dengan menyokong rakyat Palestin, menyokong rakyat di Gaza dengan menyalurkan sumbangan," kata Walid kepada organisasi berita itu. "Maksud saya, anda menyumbang. Anda menyalurkan sumbangan wang, tetapi adakah anda pernah bertanya siapa yang menerima wang itu? Siapa yang mendapat manfaat daripada itu? Tiada siapa yang tahu."

Beliau menambah bahawa pegawai yang mengendalikan sumbangan sedemikian boleh  mengesahkan bahawa wang yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia "hilang," akhbar itu memetiknya sebagai berkata.

"Terdapat banyak NGO di Malaysia dan mereka telah mengumpulkan wang untuk Masjid Al Aqsa. Tapi, wang itu tidak pernah diterima," kata Walid, menurut NST.

"Adalah baik (untuk menderma), tetapi pastikan wang anda sampai kepada penerimanya yang tepat dan menggunakan saluran yang betul, termasuk melalui Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir urus Kementerian Wakaf Jordan yang bertanggungjawab membiayai Masjid Al Aqsa," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia menegaskan bahawa Malaysia akan terus membantu rakyat Palestin melalui usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan oleh NGO negara berkenaan dalam terus menyalurkan bantuan kewangan, makanan, perubatan dan pendidikan kepada rakyat Palestin.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat kebebasan dan mencapai kemerdekaan. Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah-wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza,” kata kenyataan Wisma Putra itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh