Polis Malaysia ambil DNA kanak-kanak dieksploitasi, 171 individu direman

Wakil UNICEF Malaysia mahu kerajaan ambil pendekatan sifar toleransi terhadap kes keganasan kanak-kanak.
Muzliza Mustafa, Nisha David dan Helmi Foad
2024.09.12
Kuala Lumpur
Polis Malaysia ambil DNA kanak-kanak dieksploitasi, 171 individu direman Salah sebuah rumah amal yang dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holdings disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah ia diserbu dalam operasi polis di Kajang, Selangor, 12 September 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Malaysia sedang menjalani ujian DNA keatas kira-kira 400 kanak-kanak sehari selepas diselamatkan dari puluhan pusat amal yang mempunyai hubungan dengan Global Ikhwan Services dan Business Holdings (GISBH), syarikat yang dikaitkan dengan kumpulan ajaran sesat yang diharamkan dan mengamal poligami, dengan Ketua Polis Negara memberitahu sampel itu diambil bagi mengesahkan pertalian saudara.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pula mahu Putrajaya mengambil sikap sifar toleransi terhadap kes penderaan kanak-kanak memandangkan mangsa yang diselamatkan itu telah melalui pengalaman yang sangat buruk dan memerlukan bantuan perubatan profesional serta psikologi bagi jangka masa yang panjang untuk dipulihkan.

“Kita rasakan perlu untuk ambil DNA kerana bapa-bapa mereka kita tahu adalah ahli-ahli GISB dan tentang aspek kesihatan dan kebajikan, agensi-agensi seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memang sentiasa ada bersama dengan kita. Kanak-kanak yang kita selamatkan masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL),” kata Razarudin kepada media.

Pengambilan asid deoksiribonukleik yang selalunya boleh diambil melalui sampel darah dan tisu, antara bentuk tindakan yang sedang polis lakukan selain daripada pemeriksaan kesihatan serta dokumentasi yang kini sudah memasuki hari ke dua.

Razarudin semasa dihubungi BenarNews mengenai sama ada pihak berkuasa itu perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu berkata “Melalui perundangan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara akan mendapatkan kebenaran untuk mengambil sampel DNA mangsa,” tanpa mengulas lanjut mengenainya.

Razarudin turut memberitahu media bahawa siasatan setakat ini mendapati kanak-kanak yang sudah mencapai umur untuk bersekolah tidak mendapat pendidikan formal yang sepatutnya.

“Kita tahu bahawa kanak-kanak yang mengikut umur sepatutnya bersekolah, tetapi tidak ke sekolah dan mereka (GISBH) ada pendidikan sendiri, kita akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan [berkaitan perkara itu],” kata beliau.

Ketua Polis Negara itu juga memberitahu yang pihak polis sudah mendapat kebenaran untuk menahan reman selama tujuh hari ke atas seramai 171 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Antara yang direman adalah penjaga, guru agama serta pengerusi rumah amal.

Mereka disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa turut akan dilihat, ujarnya.

Selain itu, Razarudin berkata status rumah amal yang telah diserbu juga sedang disiasat bagi menentukan sama ada berdaftar dengan pihak berwajib atau sebaliknya selepas dimaklumkan ia kononnya disediakan untuk anak yatim.

“Rumah amal itu kini ditutup dan kemungkinan akan disita”, kata Razarudin.

Impak jangka panjang

Robert Gass, wakil UNICEF ke Malaysia dalam satu kenyataan berkata kes melibatkan 402 kanak-kanak yang dikatakan telah dieksploitasi, didera secara seksual serta diabaikan akan memberikan impak jangka panjang kepada mangsa.

Kata beliau kanak-kanak itu telah mengalami pengalaman yang tidak terjangkau oleh akal serta sangat menakutkan dan memerlukan bantuan perubatan profesional serta psikologi dalam jangka masa yang panjang.

“Kerosakan yang berlaku adalah serius dan selalunya berakhir dengan kesan seumur hidup. Kami mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa yang lain dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak ini.

“Kami berharap tindakan ini merupakan penamat kepada trauma mereka dan bermulanya proses pemulihan,” kata Gass.

Beliau berkata sudah sampai masanya kerajaan mengambil pendirian toleransi sifar berkaitan keganasan terhadap kanak-kanak dalam apa jua bentuk.

“Selagi kanak-kanak di Malaysia hidup dalam institusi penjagaan yang tidak dikawal, mereka akan terus berhadapan dengan risiko keganasan dan penderaan.

“Kanak-kanak dalam institusi penjagaan perlukan sokongan daripada pekerja sosial yang berkelayakan yang boleh memantau rumah-rumah amal secara efektif,” kata Gass sambil menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu kerajaan dalam melindungi kanak-kanak yang tidak mendapat penjagaan ibu bapa dan memastikan tiada pemisahan anak daripada penjaga tanpa sebab.

Dalam pada itu, seorang remaja berumur 18 tahun yang juga penjaga di salah sebuah rumah amal yang diserbu pasukan polis mengaku tidak bersalah setelah dikenakan empat pertuduhan mendera empat kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.

Dia didakwa mendatangkan kecederaan dengan menekap sudu panas pada lengan mangsa di pusat jagaan yang tidak dinamakan.

Sementara itu Pensyarah Psikologi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Raja Zirwatul Aida Raja Ibrahim berkata, kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual atau fizikal memerlukan sokongan psikososial yang komprehensif untuk menangani kesan emosi, psikologi dan sosial akibat trauma mereka.

Beliau semasa dihubungi BenarNews berkata, kanak-kanak ini juga perlu disediakan persekitaran yang selamat dari segi fizikal dan emosi di mana kanak-kanak boleh berasa selamat dan mendapat sokongan.

“Dari segi intervensi krisis pula, kanak-kanak perlu segera dikeluarkan daripada sebarang situasi penderaan dan diletakkan dalam persekitaran yang dilindungi dan kemudian dipulihkan menggunakan kaedah terapi tingkah laku kognitif (CBT) bagi membantu menangani trauma, melawan pemikiran merosakkan dan mengatasi emosi tidak baik,” tambahnya lagi.

Tambah beliau lagi, terapi bermain juga berkesan bagi kanak-kanak bagi membolehkan mereka meluahkan perasaan dan trauma dengan cara bukan lisan selain melakukan pemantauan jangka panjang melalui kaunseling berterusan.

240912-MY-GISBH2.jpg

Seorang gadis berumur 18 tahun yang ditahan dalam serbuan berkaitan ahli Global Ikhwan Services and Bussiness Holdings dibawa oleh anggota polis bagi menghadapi pertuduhan mendera empat kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Seremban, di Negeri Sembilan, 12 September 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Kaitan GISBH dengan Al-Arqam

Razarudin dalam satu sidang media pada Rabu berkata serbuan ke atas puluhan rumah amal di dua buah negeri itu susulan siasatan terhadap beberapa laporan polis berhubung kes penderaan serta dakwaan berlakunya pengabaian serta penderaan seksual.

Beliau mendedahkan bahawa antara maklumat risikan yang diterima adalah kanak-kanak itu bukan sahaja didoktrin tetapi juga diajar untuk meliwat serta dipaksa melakukan seks luar tabii dengan alasan sebagai satu bentuk rawatan secara ‘perubatan Islam’.

Katanya sejak 2011 sebanyak 41 laporan polis telah dibuat ke atas GISBH di seluruh negara.

GISBH merupakan sebuah syarikat dikaitkan dengan bekas anggota Al-Arqam yang telah diharamkan oleh kerajaan sejak 30 tahun lalu kerana didapati mempromosikan ajaran yang bercanggah daripada akidah Islam.

Kumpulan yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad berlandaskan pegangan Aurad Muhammadiah telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994, pengikutnya dipercayai meneruskan operasi mereka secara tersembunyi menggunakan nama yang berbeza.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar atau disebut 'yaqazah' dan meramalkan dirinya bakal menjadi perdana menteri Malaysia selepas Mahathir Mohamad.

Ashaari meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center, Perak pada 13 Mei 2010 kerana jangkitan paru-paru.

JAIS teliti rakaman

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataan berkata, agensi penguat kuasa agama itu telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial sebuah kumpulan pengkaji ajaran sesat berkaitan aktiviti ahli GISBH.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

"Aktiviti ahli GISBH antara yang sentiasa dipantau secara rapat oleh JAIS berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

“Istitabah (majlis taubat) yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan yang melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'.”

Mohd Shahzihan berkata JAIS juga telah berbincang dengan pihak polis supaya barangan rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH dapat diserahkan kepada agensi agama itu untuk siasatan lanjut di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Tambah beliau lagi dua daripada premis yang diserbu itu oleh pasukan polis pada Rabu merupakan sekolah rendah Islam yang berdaftar di bawah JAIS dan mengikuti silibus yang ditetapkan oleh agensi agama itu.

Jelasnya, hasil pemantauan sebanyak tiga kali ke atas sekolah agama itu dari Januari 2023 hingga Julai lalu, JAIS tidak mendapati wujud sebarang penyelewengan.

Katanya sebuah lagi maahad tahfiz yang didaftarkan sedekad lalu akan tamat pendaftarannya pada Disember ini.

“Sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS. Dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, dua lagi telah tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran manakala baki masih lagi boleh beroperasi sehingga 2028.

“Berikutan tindakan dan penemuan polis melibatkan sekolah yang berdaftar itu, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terlibat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” katanya.

GISBH menerusi satu kenyataan pada Rabu menafikan dakwaan bahawa rumah amal kendaliannya terbabit dalam mendidik kanak-kanak di bawah jagaannya dengan amalan seks luar tabii.

Menurut kenyataan itu, tuduhan tersebut adalah berat dengan niat menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.

“Kami menafikan segala tuduhan itu kerana rumah amal yang dinyatakan itu jelas bukan di bawah kendalian GISBH.

“Juga, bukan menjadi dasar kami untuk merancang dan melaksanakan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan undang-undang negara,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.