Malaysia Sekat Laman Web Al Fatihin Pautan IS: Ketua Polis Negara

S.Adie Zul dan Ismira Lutfia
2016.07.19
Kuala Lumpur & Jakarta
160719-my-alfatihin620 Paparan skrin menunjukkan laman hadapan edisi pertama al-Fatihin, akhbar elektronik yang diterbitkan sayap Asia Tenggara Negara Islam.
[BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia telah menyekat satu laman web yang menyebarkan sebuah akhbar elektronik terbitan sayap Asia Tenggara kumpulan pelampau Negara Islam, kata Ketua Polis Malaysia kepada BeritaBenar pada Selasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang mengawal selia internet di dalam negara itu, telah menyekat alfatihin.com, laman web yang berkaitan dengan e-penerbitan menggunakan nama yang sama, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sambil mengesahkan perkara itu.

"Ya, kita meminta SKMM untuk menyekatnya dan sejak itu, ia tidak boleh diakses di sini. Kami akan terus memantaunya, "kata Khalid.

Sementara itu, pegawai-pegawai di negara jiran, Indonesia, berpendapat bahawa pengasas laman web itu yang disokong IS  mungkin telah menyekatnya sendiri.

Laman web itu, yang telah dilihat oleh BeritaBenar sebelum ini, kini juga tidak boleh diakses di Thailand, yang mempunyai penduduk Islam yang ramai di wilayah selatannya yang bergolak, serta negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat.

Di Malaysia minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak mengumumkan bahawa SKMM telah menyekat 11 laman web dan 22 URL yang didakwa terlibat dalam menyebarkan ideologi Negara Islam (IS) dalam bahasa Melayu - variasi bahasa yang dituturkan dalam kalangan penduduk di Malaysia, Indonesia , selatan Thailand, Brunei dan selatan Filipina.

Suruhanjaya itu juga menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang laman web yang mempromosikan IS atau membantu menyebarkan propagandanya, dan telah menubuhkan talian ‘hotline’ bagi membolehkan orang ramai memberi maklumat mengenai laman-laman web itu kepada pihak berkuasa.

"Adalah diharapkan pemantauan dan tindakan berterusan SKMM dan agensi lain akan membendung penyebaran ideologi oleh organisasi pengganas ini melalui media sosial," lapor agensi berita negara, Bernama, dengan memetik menteri itu sebagai berkata.

Menurut laporan, versi akhbar elektronik Al Fatihin yang mengandungi 20 muka surat itu telah diterbitkan pada 20 Jun lalu oleh Katibah Nusantara, sayap Asia Tenggara IS, yang mempunyai unit pertempuran di Syria dan Iraq dengan ahlinya terdiri daripada  rakyat Malaysia, Indonesia dan pejuang lain yang berbahasa Melayu.

"Ini adalah sebahagian daripada strategi dan propaganda IS yang menunjukkan kepada dunia bahawa mereka mempunyai sokongan yang kuat di rantau Asia Tenggara, di mana terdapat ramainya penduduk Islam seperti di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei," kata Zaini Othman, yang mengetuai Pusat Pengajian Strategik dan Keselamatan di Universiti Malaysia Sabah, kepada BeritaBenar.

'Penakluk'

Di Indonesia, pengguna komputer tidak lagi boleh mengakses laman web Al Fatihin tetapi pengguna di sana dan di negara-negara lain boleh mengakses versi PDF akhbar itu melalui laman web Internet Archive - di mana BeritaBenar memperoleh salinannya.

"Kami tidak menyekat laman web itu. Jika ia tidak boleh diakses sekarang, mungkin mereka [pemilik] menyekatnya sendiri," kata Ismail Cawidu, jurucakap Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Indonesia kepada BeritaBenar pada Selasa.

"Al Fatihin" adalah bahasa Arab bagi "Penakluk."

Slogan dalam bahasa Melayu di bar tajuk  (gambar) menerangkan penerbitan itu sebagai akhbar untuk penutur bahasa Melayu yang sudah berhijrah ke negara yang diisytiharkan sendiri sebagai IS dalam wilayah yang dikawal kumpulan itu di Syria dan Iraq.

Edisi pertama akhbar itu memaparkan beberapa artikel termasuk satu laporan yang memuji kematian puluhan tentera Filipina setelah terbunuh dalam satu operasi ketenteraan yang menyasarkan kumpulan  berkaitan IS di selatan Filipina - sarang kegiatan militan Islam - dan satu laporan mengenai batalion tempatan Abu Sayyaf yang berikrar untuk setia kepada IS.

'IS semakin kehilangan pengaruh': Penganalisis

Menurut pakar-pakar keselamatan di rantau ini, Negara Islam sedang cuba meningkatkan capaiannya di Asia Tenggara melalui penyebaran akhbar dan bahan-bahan propaganda lain, dan menyasarkan pembaca Islam di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand.

"IS semakin kehilangan pengaruh dan tenaga pejuang [di Timur Tengah]. Ia memerlukan lebih banyak perhatian awam untuk merekrut ahli baru, dan ia perlu menyatukan sokongan daripada kumpulan-kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan di bawah namanya, yang seterusnya memacu propagandanya,” kata Muhammad Haziq Jani, seorang penganalisis penyelidikan di Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Singapura, yang baru-baru menulis bersama kertas akademik mengenai penerbitan akhbar bahasa Melayu pertama IS, kepada BeritaBenar.

Sundramoorthy, penolong profesor dalam bidang kaji jenayah di Universiti Sains Malaysia, bersetuju bahawa akhbar itu adalah alat merekrut ahli baru untuk IS, yang secara agresif mendekati bakal rekrut di Asia Tenggara melalui media sosial.

"Matlamatnya tetap sama - untuk merekrut penyokong di rantau ini dan ... penduduk luar bandar di Asia Tenggara yang tidak mempunyai [akses kepada teknologi maklumat]," kata Sundramoorthy kepada BeritaBenar.

"Mereka telah menerima pakai strategi yang biasa digunakan oleh entiti perniagaan untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan melalui semua alat yang ada, termasuk media cetak, untuk mempromosikan ideologi mereka," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.