Malaysia Lancar Siasatan Dokumentari Layanan Buruk Terhadap Migran

Ray Sherman & Nisha David
2020.07.07
Kuala Lumpur, Malaysia
200707-MY-Aljazeera620.jpg Pekerja asing beratur menunggu giliran untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di Pasar Pudu Kuala Lumpur, 5 Mei 2020.
(S.Mahfuz/BeritaBenar)

Polis Malaysia pada Selasa berkata mereka akan menyoal wartawan yang bertanggungjawab bagi laporan Al Jazeera berhubung layanan terhadap pendatang tanpa izin semasa pandemik COVID-19, sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap kemungkinan berlakunya hasutan, fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Pihak berkuasa telah menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas dan boleh mencemarkan imej Malaysia walaupun kebanyakan pembela nasib pekerja asing menggambarkannya sebagai tepat dan kumpulan hak asasi manusia mempersoalkan peningkatan penggunaan undang-undang "kasar" untuk mendakwa perkritik kerajaan.

"Ya, media itu akan segera dipanggil untuk menjawab beberapa pertanyaan," kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada wartawan pada Selasa semasa ditanya mengenai laporan agensi berita antarabangsa Al Jazeera itu.

Abdul Hamid berkata adalah menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) "untuk menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur hasutan atau kesalahan lain dari segi perundangan."

Dokumentari berdurasi lebih 25 minit bertajuk ‘Locked up in Malaysia’s Lockdown’ itu adalah berkisar tentang layanan ‘ala ketenteraan’ semasa ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap pekerja asing dan mendakwa bahawa mereka yang tidak memiliki dokumen sah telah ditangkap dan dimasukkan ke pusat tahanan yang menjadi lokasi panas jangkitan.

Ia memetik seorang doktor sebagai berkata operasi itu menyulitkan usaha untuk menyaring pekerja asing dan bahawa pandemik tersebut telah mendedahkan kewujudan sikap ‘xenofobia dan rasisme’ di Malaysia.

Dokumentari yang disiarkan minggu lalu menerusi program 101 East agensi berita yang berpangkalan di Qatar itu, memaparkan penerbit kanan Al Jazeera, Drew Ambrose, berjumpa dan menemu bual sendiri pendatang di lapangan. Ia turut memuat naik visual rakaman telefon bimbit semasa operasi menahan mereka dijalankan.

Ambrose dan Al Jazeera tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan reaksi. Rangkaian itu juga telah menutup ruangan komen di saluran YouTubenya sebagai respons kepada kemarahan orang awam terhadap dokumentari tersebut.

‘Tiada asas’

Polis melaporkan menerima lima aduan terhadap Al Jazeera - empat bagi dokumentari itu manakala satu lagi terhadap artikel yang disiarkan di laman sesawangnya berkaitan isu sama baru-baru ini.

“Laporan yang tidak berasas dan berat sebelah itu telah menimbulkan kegusaran dan kebimbangan majoriti rakyat negara ini seolah-olah kerajaan begitu berlembut dengan pihak berkenaan apabila mereka menyiarkan berita yang tidak benar mengenai kejayaan kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19,” kata Huzir Mohamed, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

"PDRM ingin menegaskan bahawa tiada pihak yang terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya ada cubaan daripada pihak tertentu untuk memburukkan imej Malaysia."

Beliau berkata siasatan juga akan mempertimbangkan sama ada laporan berita itu telah melanggar Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan kerana memfitnah, atau Akta Komunikasi dan Multimedia1998 kerana menyalahgunakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.

Para pengkritik sudah lama meminta kerajaan memansuhkan Akta Hasutan Malaysia yang melarang ucapan atau penerbitan yang mengkritik pemerintah atau kerajaan atau kerabat diraja. Ia juga melarang tindakan mencetuskan kebencian antara kaum atau agama.

Kerajaan baharu yang mengambil alih kuasa pada awal Mac telah meningkatkan penggunaan undang-undang sedemikian untuk menyiasat dan mendakwa ucapan yang berbentuk kritikan terhadap pemerintah, kata Human Rights Watch yang berpangkalan di New York dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bangkok bulan lalu.

"Seperti menyalakan lampu, pihak berkuasa Malaysia telah kembali mempraktikkan penyalahgunaan hak di masa lalu, memanggil wartawan, aktivis dan tokoh pembangkang ke balai polis untuk disoal siasat mengenai tulisan mereka dan catatan media sosial," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia HRW.

Permohonan maaf secara terbuka

Pada Isnin, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob yang bertanggungjawab bagi hal ehwal keselamatan, berkata dokumentari itu tidak adil kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata tindakan keras itu dilakukan bagi membendung penyebaran COVID-19 dan penduduk tempatan di kawasan yang mempunyai jumlah kes COVID-19 tinggi turut dikurung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan Malaysia.

"Juga adalah tidak benar bahawa tindakan keras itu bersifat rasis. Semua yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang. Pendatang tanpa dokumen hanya ditahan kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Ismail Sabri mendesak Al Jazeera mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia kerana "menyebarkan pembohongan."

Sementara itu, polis pada Selasa telah menyoal siasat aktivis kanan migran Heidy Quah mengenai satu catatan di Facebook yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Malaysia.

Aktivis itu berkata beliau telah diminta menyerahkan telefon bimbitnya sebagai sebahagian daripada siasatan dan dimaklumkan bahawa beliau telah membuat dakwaan palsu dalam catatan di akaun Facebooknya. Quah berkata beliau telah memaklumkan polis bahawa beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Pada Mei, polis menyoal siasat Tashny Sukumaran, seorang wartawan South China Morning Post, selepas wanita itu membuat ciapan di laman Twitter mengenai serbuan terhadap pendatang, berhubung dakwaan bahawa beliau telah berkongsi kandungan yang menyinggung perasaan dan bersifat mengancam secara dalam talian.

Sementara itu, Glorene Das, Pengarah Eksekutif kumpulan hak migran Tenaganita, berkata laporan Al Jazeera disokong oleh foto dan video yang disediakan pihaknya.

"Saya telah berkongsi banyak foto dan video dengan mereka yang kami dapat daripada komuniti yang terjejas," katanya kepada BeritaBenar.

Das menempelak pihak yang menyokong tindakan keras itu dan berkata ia tidak menggambarkan sentimen rakyat Malaysia secara umum.

"Daripada usaha yang kami laksanakan baru-baru ini, dalam memberikan bantuan makanan dan pertolongan misalnya, ia adalah pembuka mata bagaimana rakyat Malaysia pada umumnya adalah murah hati untuk tampil menghulurkan bantuan dan bersedekah," katanya.

Sekurang-kurangnya terdapat dua juta pekerja asing yang sah di Malaysia namun anggaran menunjukkan bahawa empat juta lagi menetap dan bekerja di negara ini tanpa dokumentasi sah.

 

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.