Follow us

Dokumentari: Pihak Berkuasa Malaysia Soal Siasat Enam Kakitangan Al-Jazeera

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-07-10
E-mel
Komen
Share
Drew Ambrose, wartawan dan penerbit kanan agensi berita antarabangsa berpusat di Qatar, Al Jazeera (depan sekali dengan menutup mukanya) bersama krew penerbitan dokumentari kontroversi tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, 10 Julai 2020.
Drew Ambrose, wartawan dan penerbit kanan agensi berita antarabangsa berpusat di Qatar, Al Jazeera (depan sekali dengan menutup mukanya) bersama krew penerbitan dokumentari kontroversi tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, 10 Julai 2020.
[AFP]

Polis Malaysia pada Jumaat menyoal siasat enam dari tujuh kakitangan Al-Jazeera yang dipanggil pihak berkuasa itu berhubung sebuah dokumentari yang diterbitkan stesen televisyen berpusat di Qatar, mengenai layanan terhadap pendatang tanpa izin semasa pandemik Koronavirus sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap kemungkinan berlakunya hasutan, fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Kesemua enam kakitangan Al Jazeera tiba di Bukit Aman ditemani tujuh peguam yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik pada kita-kira pukul 8.50 pagi untuk diambil keterangan berkaitan penerbitan dokumentari melalui segmen ‘101 East’ berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan enam kakitangan stesen televisyen itu telah hadir manakala seorang lagi yang bertanggungjawab memuat naik video berkenaan dijangka hadir esok untuk sesi keterangan.

“Kami menerima arahan untuk menjalankan siasatan selepas laporan tersebut mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia dan dapati ada unsur fakta tidak tepat dan cenderung kearah menggambarkan keadaan amat buruk.

“Dan selepas berbincang dengan pejabat Peguam Negara dan dikaji dengan teliti kandungan laporan, kami berpendapat ada unsur hasutan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan juga Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” kata Ketua Polis itu pada satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Beliau berkata kesemua mereka itu datang sebagai saksi dan bukannya suspek, dengan menjawab soalan yang disoal polis.

“Setelah selesai sesi soalsiasat, kertas siasatan berhubung kes akan dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya dan sekiranya terdapat bukti kukuh, pihak Peguam Negara akan membuat keputusan sama ada perlu dibuat pendakwaan atau tidak," tambah Abdul Hamid.

Lima rakyat Australia

Sementara itu, Kesatuan Australia - The Media, Entertainment and Arts Alliance [MEAA] mengesahkan lima daripada enam yang hadir untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa Malaysia adalah rakyat negara itu termasuk Ketua Biro, Koresponden, Penerbit Eksekutif, Penerbit dan Jurukamera.

MEAA dalam suratnya kepada Timbalan Persuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Fareed Zakaria dan juga Menteri Luar negara itu Marise Payne bertarikh 10 Julai, berkata sebahagian daripada mereka adalah anggota perikatan itu dan memilik akreditasi dengan Persekutuan Wartawan Antarabangsa yang berpusat di Brussels.

Hisham, peguam yang mewakili kakitangan Al-Jazeera itu memberitahu media yang anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan polis semasa soal siasat berkenaan.

“Anak guaman kami telah memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan polis… dengan mereka telah berkali-kali meminta untuk menemu bual pegawai pemerintah bagi episod tersebut tetapi tidak berjaya.

“Dokumentari itu turut menyiarkan ulasan dua sidang media oleh Menteri Pertahanan berhubung isu berkenaan, dengan tidak mempunyai niat sama sekali untuk membuat sebarang kerosakan,” kata Hisyam.

Beliau yang ditemui pemberita di Bukit Aman membaca sebahagian daripada kenyataan Al-Jazeera mengenai komitmen stesen televisyen tersebut dalam memastikan laporan yang disiarkannya adil, tepat dengan memberitahu yang anak guamnya telah menyatakan bantahan terhadap dakwaan ke atas mereka itu.

"Kami harap apabila selesai siasatan polis, tidak akan ada tindakan, iaitu selepas mendapat maklumat yang mereka perlukan," tambahnya.

Kewajipan resolusi PBB

Menurut MEAA dalam suratnya itu turut meminta Malaysia untuk memenuhi kewajipan terhadap resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu [PBB] 74/157 mengenai keselamatan wartawan dan isu kekebalan yang diadoptasinya pada 18 Disember 2019, yang menyatakan Malaysia, sebagai negara anggota PBB, perlu melakukan yang terbaik dalam mencegah keganasan, ancaman dan serangan yang mensasarkan wartawan dan pekerja media.

“Sesungguhnya, Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan kegagalannya sendiri… Krew Al Jazeera berulang kali cuba mendapatkan maklumbalas kerajaan untuk disertakan dalam penerbitan berkenaan tetapi berulang kali ditolak.. Dokumentari tersebut turut mengakui kejayaan Malaysia dalam membendung pandemik COVID-19,” antara isi kandungan surat rasmi MEA yang dihantar kepada Pejabat Persuruhjaya Malaysia di Canberra, Australia yang disiarkan dilaman sesawangnya.

Al Jazeera dalam satu kenyataan medianya pada Khamis pula mempertahankan penerbitan dokumentari tersebut dengan menyatakan "profesionalisme, mutu dan kesaksamaan laporan" termasuk meminta Malaysia menarik balik siasatan jenayah yang dijalankan keatas agensi media tersebut.

"Mendakwa para wartawan kerana menjalankan tugas mereka bukanlah tindakan demokrasi yang menghargai kebebasan bersuara. Kewartawanan bukanlah suatu jenayah," tambah kenyataan itu.

Pihak pengurusan Al Jazeera juga mengatakan kebimbangannya terhadap gangguan yang terhadap kakitangannya susulan daripada reaksi balas berhubung penyiaran dokumentari berdurasi lebih 25 minit berkisar tentang layanan ‘ala ketenteraan’ semasa ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap pekerja asing dan mendakwa bahawa mereka yang tidak memiliki dokumen sah telah ditangkap dan dimasukkan ke pusat tahanan yang menjadi lokasi panas jangkitan.

Ia memetik seorang doktor sebagai berkata operasi itu menyulitkan usaha untuk menyaring pekerja asing dan bahawa pandemik tersebut telah mendedahkan kewujudan sikap ‘xenofobia dan rasisme’ di Malaysia.

Dokumentari yang disiarkan minggu lalu memaparkan penerbit berjumba dan menemu bual sendiri pendatang di lapangan dengan turut memuat naik visual rakaman telefon bimbit semasa operasi menahan pendatang dijalankan pihak berkuasa Malaysia semasa Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan Putrajaya dalam usaha untuk mematikan penularan pandemik COVID-19 sejak 18 Mac lepas.

Jamin keselamatan

Abdul Hamid juga memberi jaminan keselamatan terhadap wartawan dan bebas menjalankan tugas dalam melaporkan tetapi mestilah berada dalam balas undang-undang bagi menjamin keamanan negara yang berbilang kaum dan agama.

"Saya memberi jaminan kepada media tempatan atau antarabangsa, keselamatan anda semua terjaga. Jika menerima ugutan, boleh tampil buat laporan polis dan pihak polis akan menyiasat," tambah beliau yang mengulas mengenai ancaman terhadap kakitangan Al Jazeera yang mendakwa telah menjadi sasaran di talian termasuk menerima ancaman bunuh dan pendedahan maklumat peribadi di laman media sosial.

Abdul Hamid juga mengulas mengenai lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditemu bual oleh agensi berita itu yang mendakwa pendatang telah dilayan sebagai bintang yang kini dalam buruan pihak berkuasa selepas menghilangkan diri.

"Jika benar pihak berkuasa melayan pendatang asing tanpa izin seperti binatang, sila tampil untuk memberi keterangan dan jelaskan apa yang dimaksudkan layanan seperti binatang,” kata Abdul Hamid yang turut memberi jaminan keselamatan terhadap lelaki Bangladesh itu sekirannya beliau memberi kerjasama kepada polis.

Md Rayhan juga sedang dicari oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk membantu siasatan dengan Ketua Pengarah jabatan itu, Khairul Dzaimee Daud memberitahu agensi berita negara Bernama pada Isnin bahawa warganegara asing yang membuat pernyataan tidak tepat dan bertujuan merosakkan imej Malaysia berkemungkinan berdepan dengan pembatalan pas perjalanan mereka.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata dokumentari itu tidak adil kepada rakyat Malaysia dan mendesak Al Jazeera mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kerana "menyebarkan pembohongan."

Lihat Laman Penuh