Kerajaan Perpaduan Anwar diselar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam
2023.05.17
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 7.50 malam waktu tempatan ETS - 2023-05-17
Kerajaan Malaysia dikritik hebat susulan keputusannya untuk menggugurkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam sehingga menyebabkan kekeliruan dan kontroversi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeruhkan lagi keadaan apabila mendakwa keputusan itu, yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan, hanya terpakai di negeri Sarawak yang majoriti penduduknya beragama Kristian dan bukannya di seluruh negara.
Kekeliruan timbul selepas kerajaan Malaysia menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu pada 18 April lepas namun hanya mengumumkan tindakan tersebut pada Isnin.
Selepas menerima pelbagai kritikan termasuk daripada pemimpin parti sendiri dan parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau, Anwar tampil membuat penjelasan melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memberi perkenan kepada Jemaah Menteri untuk mengemukakan cadangan polisi berhubung penggunaan kalimah Allah susulan penarikan balik rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
"Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri pada hari ini telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja, dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia," menurutnya dalam kenyataan itu.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat [menarik balik rayuan] hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014 yang masih mengekalkan larangan terhadap Herald - sebuah akhbar mingguan Katolik - daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.
“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya.
Pada Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan empat perkataan termasuk Allah oleh orang bukan Islam adalah salah serta tidak rasional kerana penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah itu di gereja mereka sejak beratus-ratus tahun yang lalu.
Keputusan itu menyaksikan bahawa orang bukan Islam dibenar menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan serta tiga lagi perkataan yang sebelum ini dianggap eksklusif hanya untuk penganut agama Islam di Malaysia.
Ia sekali gus membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri sejak beberapa dekad lalu terhadap penganut Kristian dan dibuat selepas Jill Ireland, wanita Kristian dari Sarawak, mengheret kerajaan Malaysia ke mahkamah apabila kementerian berkenaan bertindak merampas lapan keping cakera padat yang mengandungi kalimah Allah pada 2008.
Pentadbiran terdahulu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac 2021 dan pada 18 April lepas, Putrajaya memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan kes itu.
Walaupun Mahkamah Tinggi telah membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga lagi perkataan oleh orang bukan Islam, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah larangan itu adalah kekal di negeri Selangor.
Sultan Kedah turut bertitah penggunaan kalimah Allah adalah sesuatu yang eksklusif untuk umat Islam dan ini sekali gus menunjukkan kuasa mereka sebagai pemerintah negeri serta ketua agama dalam sistem dwimahkamah di Malaysia.
Pada Rabu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari daripada Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar juga berkata orang bukan Islam di negeri itu masih tidak dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah.
Rujuk Majlis Raja-Raja
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pula meluahkan kebimbangan berhubung keputusan kerajaan itu dan mempersoal sama ada Raja-Raja Melayu, yang memegang jawatan penting selaku ketua agama Islam di negeri masing-masing, telah dirujuk sebelum kerajaan memutuskan untuk menarik balik rayuan itu.
"Keputusan menarik balik rayuan ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah, walhal perkara ini boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.
“Persoalannya mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa Menteri Dalam Negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah Allah ini amat-amat sensitif?
“Apakah Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam dirujuk terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat?" kata Hamzah, yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, dalam kenyataan pada Rabu.
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Pengerusi blok pembangkang Perikatan Nasional, turut memberikan pandangan senada bahawa kes itu sepatutnya diputuskan melalui proses perundangan di mahkamah.
"Sepatutnya biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.
"Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai," menurutnya dalam kenyataan berasingan.
Muhyiddin, yang pernah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri semasa era pemerintahan Mahathir Mohamad kali kedua, berkata beliau pernah menolak permintaan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.
"Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah ialah Kementerian Dalam Negeri menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.
"Pendirian Kementerian Dalam Negeri pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang.
"Apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan," katanya.
Pelihara akidah
Beberapa pakar perlembagaan pula memberikan pandangan berbeza berkaitan maksud keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 susulan penarikan balik rayuan oleh kerajaan.
Wan Ahmad Fauzi, pensyarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, berkata Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan tujuan memelihara akidah umat Islam.
"Ia meletakkan kewajipan supaya undang-undang di dalam bidang kuasa Persekutuan dikuatkuasakan bagi menghalang ajaran agama dan fahaman selain Islam daripada disebarkan kepada orang Islam.
"Undang-Undang mengenai orang Islam pula ditentukan di bawah bidang kuasa setiap negeri. Oleh itu, undang-undang Persekutuan tidak boleh membenarkan sebarang perkara yang boleh membuatkan tujuan undang-undang negeri itu menjadi tidak efektif, terutama sekali membabitkan kepercayaan Islam," katanya kepada BenarNews.
Bagaimanapun bagi Shad Saleem Faruqi, walaupun Perlembagaan membenarkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang berkaitan penyebaran agama kepada orang Islam, ia tidak menjadikan perbuatan menggunakan sesuatu perkataan atau perbuatan secara individu sebagai satu bentuk jenayah.
Beliau berkata Sarawak tidak mempunyai peruntukan sedemikian seperti dalam kes Jill Ireland.
"Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Dewan Undangan Negeri mengawal atau menghalang penyebaran sebarang doktrin agama atau fahaman kepada penganut Islam.
"Perkara ini bertujuan menghalang cubaan memurtadkan umat Islam daripada doktrin rasmi Islam. Tetapi Perkara 11(4) tidak menjenayahkan sebarang perkataan atau perbuatan yang hanya dilakukan sendiri dan tidak menyasarkan umat Islam," katanya kepada BenarNews.
Shad berkata beberapa negeri termasuk Selangor telah menggubal undang-undang bagi menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam namun Sarawak tidak mempunyai peruntukan sedemikian dan oleh itu, ia adalah satu faktor yang tidak signifikan dalam kes Jill Ireland.
"Sebagai seorang penduduk Sarawak, beliau tidak akan tertakluk kepada larangan untuk menggunakan sesetengah perkataan.
"Bagaimanapun, aspek yang penting dalam kes Jill Ireland adalah beliau memiliki cakera padat itu untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk penyebaran agama," katanya.