Malaysia Sahkan Penangkapan Seorang Rakyatnya Terlibat Militan al-Shabaab di Somalia

Ahmad Mustakim Abdul Hamid telah menjadi anggota kumpulan itu sejak 2009, kata penganalisis keselamatan.
Muzliza Mustafa & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-09-20
Share
Malaysia Sahkan Penangkapan Seorang Rakyatnya Terlibat Militan al-Shabaab di Somalia Wanita Somalia memegang foto kanak-kanak yang cedera dalam leputan bom kereta di perismpangan Afgoye, semasa mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan terhadap kumpulan militan al-Shabaab di Mogadishu, 2 Januari, 2020.
[Reuters]

Malaysia telah mengesahkan bahawa seorang rakyat negaranya telah ditahan dan didakwa di sebuah mahkamah di Somalia atas pertuduhan menyokong sebuah kumpulan militan Afrika Timur, al-Shabaab yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Lelaki itu, Ahmad Mustakim Abdul Hamid telah menjadi ahli kumpulan al-Shabaab yang disenaraihitam oleh Amerika Syarikat dengan kumpulan berkenaan dikatakan terlibat dalam pelbagai serangan ganas di Somalia serta negara luar sejak 2009, kata seorang penganalisis keselamatan kepada BenarNews.

Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri yang baru dilantik memberitahu yang pihak berkuasa berkenaan di Malaysia telah dimaklumkan mengenai penahanan lelaki tersebut.

"Pihak berkuasa yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai penahanannya. Kita juga telah memaklumkan keluarga beliau. Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan telah membuat lawatan bagi memastikan kesihatan dan kebajikannya terjaga.

“Pihak kedutaan akan memantau kes ini dan memastikan beliau mendapat perbicaraan yang adil," kata Saifuddin kepada media pada Sabtu.

Malaysia tidak mempunyai pejabat kedutaan di Somalia.

Berita penangkapan Ahmad Mustakim mula diperkatakan selepas sebuah akhbar United Kingdom, The Times pada Ogos lepas melaporkan mengenai dua rakyat Malaysia telah ditangkap oleh pihak berkuasa Taliban di Kabul, Afghanistan kerana disyaki menganggotai kumpulan militan Negara Islam Afgan- Wilayah Khorasan [IS-KP].

Media itu memetik ketua bahagian siasatan jenayah Taliban Maulawi Saifullah Mohammed menyatakan yang dua lelaki tersebut adalah antara enam individu yang ditangkap ketika pertempuran di antara Taliban dengan IS di barat Kabul.

BenarNews tidak dapat mengesahkan mengenai tangkapan oleh Taliban itu.

Normah Ishak, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Polis Malaysia semasa dihubungi BenarNews berkata setakat ini mereka tidak ada sebarang maklumat yang menunjukkan terdapatnya rakyat Malaysia yang menyertai militan IS-KP.

"Kita telah menghubungi pihak berkuasa negara luar untuk mengesahkan perkara ini. Kami masih belum mendapat maklumbalas lagi kerana mereka perlu menyemak rekod serta sebarang maklumat yang mereka ada. Ia akan mengambil sedikit masa," kata Normah.

Dalam pada itu, penganalisis keselamatan Mizan Aslam dari Naif Arab University bagi Sains Keselamatan di Riyadh, Arab Saudi pula memberitahu BenarNews bahawa beliau ada menghubungi rakannya di Kabul, yang telah mengesahkan kepadanya mengenai penahanan dua rakyat Malaysia itu sebagai sahih.

"Betul, ada dua rakyat Malaysia ditahan di Kabul oleh Taliban," kata Mizan, yang percaya terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadi ahli IS-KP.

Jurucakap Taliban, Abdul Qahar Balkhi, tidak menjawap emel yang dihantar BenarNews untuk mendapat pengesahan mengenai penangkapan tersebut.

‘Masuk Somalia melalui Kenya’

Pakar anti-keganasan Ahmad El-Muhammady berkata penahanan Ahmad Mustakim itu menjadikannya rakyat Malaysia pertama yang ditangkap dan didakwa atas pembabitan dengan kumpulan pengganas dari Afrika itu.

"Ini adalah kali pertama saya mendengar seorang rakyat Malaysia ditahan kerana didakwa mempunyai hubungan dengan al-Shabaab.

"Pihak berkuasa tempatan pernah mengesan keberadaan ahli al-Shabaab di Malaysia. Lima daripada mereka telah datang ke Malaysia dengan menyamar sebagai pelajar pada 2014. Mereka dapat dikesan melalui kerjasama perkongsian maklumat perisikan dengan rakan luar negara," kata Ahmad kepada BenarNews.

Ahmad bagaimanapun tidak dapat memberikan pendapatnya mengenai sebab mengapa Ahmad Mustakim mahu menyertai kumpulan Somalia itu, kerana tidak ada kes sepertinya sebelum ini.

Sebaliknya beliau memberitahu yang al-Shabaab mempunyai visi yang serupa dengan al-Qaeda dan Kumpulan militan Negara Islam, iaitu mahu menubuhkan sebuah negara Islam di Somalia dan menguatkuasakan undang-undang syariah yang ketat.

"Ia menerima dana dan sokongan dari al-Qaeda, dan pada 2012, al-Shabaab telah membuat akujanji taat setia kepada al-Qaeda, dengan al-Qaeda seterusnya menggalakkan orang ramai untuk menyokong perjuangan al-Shabaab," tambah Ahmad lagi.

Tidak ada butiran mengenai penahanan Ahmad Mustakim diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia atau Kementerian Luar Negeri, maklumat mengenai peranannya dalam organisasi pengganas tersebut juga dirahsiakan.

Ditahan sejak 2018

Bagaimanapun seorang pakar keselamatan serantau yang tidak boleh dinamakan memberitahu BenarNews bahawa Ahmad Mustakim telah berada dalam tahanan sejak tahun 2018.

"Dari maklumat risikan yang diperolehi, Ahmad Mustakim telah menjadi sebahagian daripada anggota sel sejak Sept 2009, dan beliau dikatakan telah mendapat latihan tempur ketika menyertai organisasi pengganas itu.

“Beliau pergi ke Yaman pada 2006 untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Iman dan belajar di sana selama dua tahun dan tidak pasti apa yang dilakukannya sebelum bertolak ke Kenya pada 2009.

“Semasa di Kenya beliau terlibat dengan aktiviti dakwah, dan dipercayai memasuki memasuki Somalia melalui Kenya untuk menyertai Al-Shabaab.

“Ahmad Mustakim berkahwin semasa di luar negara dan mendapat dua orang anak dengan perkahwinannya itu bagaimanapun tidak didaftarkan, dan kewarganegaraan isterinya juga tidak diketahui, kata pakar keselamatan serantau itu lagi.

Al-Shabaab adalah sebuah kumpulan pengganas agresif yang melaksanakan operasi dan serangan di Somalia serta negara-negara jiran seperti Kenya, Uganda, dan bekerja rapat dengan kumpulan Boko Haram di Nigeria.

Al-Shabaab muncul hasil konflik politik dan perang sivil di Somalia yang melanda negara itu sejak 1990-an di mana konflik itu tercetus daripada kombinasi pertembungan ideologi politik serta agama di antara umat Islam dan Kristian serta parti-parti politik yang berlawan demi kuasa.

Menurut sebuah institut kajian polisi awam di Amerika Syarikat, al-Shabaab dikatakan bertanggungjawab terhadap kematian lebih 4,000 orang sejak 2010.

Pada tahun 2015, organisasi pengganas itu menyerang sebuah universiti di timur laut Kenya dan membunuh sekurang-kurangnya 147 orang, dengan kebanyakan daripadanya adalah pelajar.

Al-Shabaab juga mempunyai senarai serangan yang panjang termasuk di sebuah kompleks hotel di Nairobi, pusat-pusat beli belah serta fasiliti tentera Amerika Syarikat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh