Follow us

Mahkamah Malaysia: Kes Sivil Model Mongolia Altantuya Bermula

Hadi Azmi & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-23
E-mel
Komen
Share
Burmaa Oyunchimeg semasa menjadi saksi pertama perbicaraan kes sivil melibatkan saman keluarga sepupunya bekas model dan jurubahasa Mongolia Altantuya Shaariibuu semasa hadir di kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor, 23 Januari, 2019.
Burmaa Oyunchimeg semasa menjadi saksi pertama perbicaraan kes sivil melibatkan saman keluarga sepupunya bekas model dan jurubahasa Mongolia Altantuya Shaariibuu semasa hadir di kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor, 23 Januari, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia buat pertama kalinya pada minggu ini mendengar perbicaraan kes sivil yang difailkan oleh keluarga model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu terhadap kerajaan Malaysia dan tiga lagi defendan, selepas 12 tahun menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.

Tiga lagi defendan yang dinamakan dalam kes saman 100 juta ringgit (AS$24.17juta) itu ialah Abdul Razak Baginda, bekas penasihat politik kepada Najib Razak yang pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bersama dua anggota polis elit, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Perbicaraan telah ditetapkan selama dua minggu dijangka memanggil seramai 30 saksi, berlangsung di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dengan saksi pertama yang tampil memberi keterangan ialah sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg, 37, memberitahu mahkamah tentang Abdul Razak Baginda dan Najib Razak.

Altantuya merupakan model dan jurubahasa dari Mongolia yang dibunuh kejam dan tubuhnya diletupkan dengan bom di hutan terpencil di luar Kuala Lumpur pada 2006.

Keluarga Altantuya mengambil keputusan untuk menyaman kerajaan dan pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut kerana mengalami trauma dan penderitaan yang terpaksa mereka lalui selepas kematian mangsa.

“Keluarga mereka menderita dan mengalami trauma dengan cara mangsa dibunuh dan telah bertindak menyaman semua pihak yang terlibat,” kata peguam yang mewakili keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh kepada pemberita sebelum ini.

Peguam itu juga memberitahu bahawa kes saman berkenaan mengambil masa yang lama untuk didengar kerana kerajaan sebelum ini cuba membatalkan kes tersebut dan juga kerana rayuan yang difailkan oleh keluarga mangsa menolak pembatalan saman berkenaan.

"Kes ini terhenti sementara waktu kerana menunggu keputusan mahkamah bagi mensabitkan kesalahan jenayah terhadap dua anggota polis yang telah membunuh Altantuya.

“Selain kerajaan terdahulu turut memfailkan kepada mahkamah untuk membatalkan saman RM100 juta, keluarga terus membuat rayuan dan ini semua mengambil masa.

"Selepas mahkamah memutuskan bahawa Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri bersalah pada tanggal 13 Januari 2015, keluarga Altantuya dengan segera memfailkan semula kes saman ini,” kata RamKarpal.

Semasa keterangan di mahkamah pada Rabu, Oyunchimeg berkata beliau telah ditunjukkan sekeping gambar yang memaparkan tiga individu di dalamnya iaitu wanita itu sendiri, kekasihnya Abdul Razak Baginda dan Najib.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa gambar berkenaan diambil semasa lawatan Altantuya ke Paris bersama Razak dan ditunjukkan kepadanya semasa beliau dan Altantuya berada di Mongolia sekitar tahun 2005.

“Saya nampak dalam gambar tiga individu-dua lelaki dan Altantuya. Saya bertanyakan kepada beliau siapakah mereka ini dan diberitahu seorang daripadanya adalah Timbalan Perdana Menteri manakala seorang lagi adalah Razak. Razak bekerja dengan lelaki itu [Najib] dan menjalankan bisnes bersama,” kata Oyunchimeg.

Razak merupakan bekas penasihat politik kepada Najib sekitar tahun 2004 sehingga 2009 dan susulan daripada pembunuhan Altantuya, Razak telah ditahan dan didakwa bersengkongkol membunuh jurubahasa dan model tersebut bersama Azilah dan Sirul.

Razak, bagaimanapun dibebaskan dari pertuduhan pada 2008 dengan Azilah and Sirul didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2015.

Pada masa itu, Sirul telahpun berjaya melarikan diri ke Australia di mana beliau sehingga kini ditahan di pusat tahanan imigresen negara itu.

Walaupun terdapat tekanan untuk membawa Sirul pulang ke Tanahair, dasar pentadbiran Australia tidak membenarkan bekas anggota polis elit itu diekstradisi selagi Malaysia mengamalkan hukuman gantung sampai mati.

Azilah pula kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Nafi dakwaan

Najib dalam kenyataan terbaru pada Rabu menafikan keterangan Oyunchimeg dan tetap teguh dengan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini, sehinggakan sanggup mengangkat sumpah dengan Al-Quran di sebuah masjid pada 22 Ogos 2008 bahawa beliau tidak terlibat atau pernah mengenali Altantuya.

“Oh tuhan… Ini fitnah... Penipuan... Saya tidak pernah berjumpa beliau [Altantuya]. Saya sudah bersumpah di masjid tentang ini,” kata Najib yang turut menganggap Oyunchimeg sebagai penipu bila ditanya media.

Razak pula semasa dihubungi BeritaBenar enggan mengulas lanjut dan berkata “perbicaraan sedang berlangsung dan biarkan ia diteruskan.”

Ketika perbicaraan itu, Oyunchimeg turut memberitahu mahkamah bahawa Razak selalu menghubunginya apabila beliau gagal mendapatkan Altantuya di Mongolia.

Pada sekitar Ogos 2006 iaitu selepas Altantuya melawat Malaysia, Razak menghantar mesej kepada Oyunchimeg dan memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak mahu berjumpa dengan Altantuya lagi.

“Saya tidak membalas dan terus menghubungi Altantuya serta dimaklumkan ia cumalah satu salahfaham dan beliau akan kembali semula ke Malaysia untuk berjumpa dengan Razak,” tambah wanita itu yang bertugas sebagai Eksekutif Jualan Bersekutu di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat.

Oyunchimeg turut memberitahu mahkamah beliau sering menemani Altantuya dalam setiap perjumpaan antara Razak dan Altantuya telah bertemu dengan Razak beberapa kali di Hong Kong dan Shanghai antara 2004 dan 2005 dengan kali terakhir pada Mac 2005 di Singapura.

Oyunching memberitahu yang beliau ada cuba menghubungi Razak selepas Altantuya dilaporkan hilang tetapi panggilan telefon dan mesejnya tidak pernah dibalas.

Mahkamah juga diberitahu oleh Oyunchimeg yang sepupunya pernah memaklumkan mengenai ugutan yang diterima daripada mereka yang bekerja dengan Razak.

Menurut wanita itu, Altantuya pernah memberitahunya, sebelum model dan jurubahasa itu dilaporkan hilang, bahawa dia tidak akan berganjak daripada menuntut haknya.

“Dia memberitahu saya yang dia menyediakan perkhidmatan alih bahasa untuk satu urusniaga di Eropah kepada Razak dan menurut perjanjian, Altantuya sepatutnya menerima bayaran atas perkhidmatan yang disediakan, tetapi Razak enggan membayar dan oleh kerana itu Altantuya berada di Malaysia untuk menuntut bayaran,” kata Oyunchimeg kepada mahkamah.


Perbicaraan hari pertama kes sivil itu disambung semula pada Khamis dengan Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dijangka memberikan keterangan sebagai saksi kedua dalam kes berkenaan.

Lihat Laman Penuh