Kedutaan Malaysia Keluar Amaran Perjalanan Ke Thailand

Oleh S. Adie Zul
2015.08.20
150820-MY-AMARAN620 Lee Jian Han yang berusia enam tahun, berdiri berhampiran keranda bapanya Lee Tze Siang, 35, di rumah mereka di Butterworth, Pulau Pinang. Bapa dan adik perempuannya Lee Jing Xuan, 4, terbunuh dalam letupan bom di Bangkok pada Isnin lepas. 20 Ogos 2015 .
AFP

Kedutaan Malaysia di Bangkok menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan rancangan untuk melancong ke Bangkok berikutan serangan bom pada Isnin lepas dan lanjutan pengumuman pihak berkuasa Thailand mengenalpasti 10 kawasan berbahaya di ibukota tersebut.

Duta Malaysia ke Thailand Nazirah Hussain semasa dihubungi BeritaBenar di Bangkok pada Khamis berkata, masa ini tidak sesuai untuk para pelawat mengadakan sebarang aktiviti, melancong atau bercuti di Bangkok.

Terdahulu, kedutaan telah mengeluarkan amaran perjalanan (travel advisory) berikutan serangan bom di kuil Erawan Shrine berdekatan Persimpangan Ratchaprasong pada Isnin yang mengorbankan 20 nyawa, termasuk 5 rakyat Malaysia - kesemuanya dari Pulau Pinang.

Sepuluh kawasan berbahaya itu ialah Persimpangan Ratchaprasong, Persimpangan Pathumwan, Jalan Silom, Jalan Khao Shan, Persimpangan Narathiwas, Monumen Victory, Persimpangan Bangunan Duk Chai, Taman Benjasiri, Soi Thonglor dan Jalan Sukhumvit.

Persimpangan Rajaprasong merupakan kawasan membeli belah dan hotel mewah serta tempat tumpuan pelancong.

Serangan bom itu menyebabkan 22 orang maut, 12 daripadanya merupakan pelancong dari Malaysia, United Kingdom, China, Hong Kong, Indonesia dan Singapura. Lebih 120 orang yang lain cedera di dalam nahas tersebut.

"Kalau boleh elakkan diri daripada berada di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan bahaya. Ini bukan kami yang tentukan, tetapi kerajaan Thailand yang memaklumkan kepada kami (kedutaan).

"Mungkin saya nak tekankan, kalau betul nak bercuti atau melancong, masa ini bukanlah masa yang paling sesuai," kata Nazirah.

Nazirah bagaimanapun berkata, pihak kedutaan tidak mempunyai hak untuk menghalang mana-mana rakyat Malaysia untuk menghadiri perkara penting seperti seminar atau persidangan yang telah dirancang awal.

Sehubungan itu, Nazirah menasihatkan rakyat Malaysia yang telah merancang ke Bangkok supaya mendaftar menerusi laman web rasmi kedutaan itu, bagi memudahkan pihak kedutaan mengambil tindakan segera jika sebarang kecemasan berlaku.

Tambah beliau, pihak berkuasa Thailand telah meningkatkan kawalan keselamatan menerusi rondaan berkala serta penambahan anggota keselamatan di kawasan yang disenaraikan berbahaya.

Situasi pulih dalam sebulan

Mengulas mengenai amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia itu, beberapa pengusaha agensi pelancongan di Malaysia memberi reaksi berbeza ketika dihubungi oleh BeritaBenar.

Mereka berkata insiden letupan bom itu tidak akan memberi impak besar dalam jangka masa panjang kepada rakyat Malaysia yang bercadang bercuti ke Bangkok.

Menurut mereka, situasi itu dijangka akan pulih dalam tempoh antara dua minggu dan sebulan.

Jurucakap Regional Travel and Tours, sebuah syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang berkata setakat ini tiada pembatalan oleh pelanggan yang telah membuat tempahan pakej percutian ke Bangkok.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, para pelanggan telah meminta untuk menangguh lawatan mereka untuk sementara waktu.

"Pihak syarikat penerbangan berkaitan juga telah memberi kelonggaran dengan membenarkan pelanggan untuk menangguhkan tarikh perjalan mereka.

"Tempoh pengangguhan bergantung kepada syarikat penerbangan, ada yang memberikan kelonggaran sehingga dua minggu dan ada yang membenarkan sehingga sebulan," katanya kepada BeritaBenar.

Sebuah lagi agensi pelancongan, Lye Peng Travel and Tours berkata, tempahan untuk perjalanan ke Bangkok agak terjejas berikutan tragedi pengeboman pada Isnin lalu itu.

"Ada pelanggan yang telah meminta untuk menangguhkan perjalanan mereka ke Bangkok tetapi kita menjangkakan keadaan (perniagaan) akan menjadi perlahan untuk tempoh beberapa minggu yang akan datang," kata jurucakapnya.

Sebuah syarikat yang beroperasi di Kedah, VIP Tours dalam reaksinya berkata, kejadian letupan bom di Bangkok akan merumitkan lagi pasaran pelancongan ke negara itu.

"Kita sedia maklum bahawa orang ramai sememangnya bimbang dengan pergolakan di selatan Thai yang menyaksikan beberapa siri serangan bom di Hatyai dan Dannok.

"Dengan keadaan matawang ringgit yang lemah sekarang, ditambah pula dengan serangan bom di Bangkok, rakyat Malaysia mungkin akan menangguhkan lawatan ke Thailand atau terus menukar destinasi pelancongan ke tempat lain," kata jurucakapnya.

Matawang Ringgit Malaysia merosot hampir 30 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat  awal tahun ini dengan kadar tukaran RM4.11 untuk setiap AS$1 dollar pada Khamis.

Malaysia adalah pasaran penting untuk sektor pelancongan Thailand, khususnya pusat-pusat percutian yang terletak di wilayah selatan negara.

Mayat kelima tiba


Sementara itu, mayat Lim Saw See, rakyat Malaysia kelima yang terkorban dalam letupan di kuil Erawan Shrine selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada lewat malam Khamis.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk urusan pertukaran keranda sebelum di bawa pulang ke Taman Dedap, Butterworth.

Suasana hiba menyelubungi kediaman tersebut apabila keranda Saw See, 52 tahun, diletakkan disebelah keranda yang mengandungi mayat adik perempuannya Lim Saw Gek, 49, dan anak lelaki Saw Gek, Neoh Jai Jun, 20, tahun yang telah pun di bawa pulang pada Rabu.

Ketiga-tiga mayat dijangka akan disemadikan di Bukit Mertajam pada Ahad.

Pengesahan kematian Saw See adalah satu lagi tamparan kepada keluarga dari Butterworth itu yang turut kehilangan menantu lelaki Saw Gek, Lee Tze Siang, 35, dan cucu perempuan berusia 4 tahun, Lee Jing Xuan.

Mayat Tze Siang dan anaknya Jing Xuan kini ditempatkan di kediaman mereka di Taman Cengal, Butterworth untuk upacara penghormatan terakhir sebelum disemadikan pada Jumaat di Bukit Mertajam.

Mangsa masih trauma

Isteri Tze Siang, Neoh Yee Ling yang terselamat dalam insiden letupan itu masih dalam keadaan trauma dan belum dapat menerima hakikat dia telah kehilangan suami dan anak perempuannya serta ibu, adik dan ibu saudara dalam sekelip mata.

Selain Yee Ling, ayahnya Neoh Hock Guan turut terselamat dalam insiden itu tetapi mengalami kecederaan ringan.

Yee Ling, 33, yang mengandung enam bulan, masih mengalami masalah pendengaran akibat letupan itu.

Adik lelaki Tze Siang, Lee Tza Dong, 31, berkata kakak iparnya kini menderita ketika mengharungi kesedihan itu.

Suasana menjadi hiba apabila Yee Ling kelihatan cuba menenangkan anak sulung mereka, Lee Jian Hen, 6 tahun, ketika gambar Tze Siang dan Xuan Ji diletakkan pada hujung keranda masing-masing.

"Dia (Yee Ling) dalam keadaan tertekan dan memerlukan masa untuk bertenang," katanya kepada media selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mah Siew Keong di kediaman itu pada pagi Khamis.

Mah memberitahu media yang kerajaan Malaysia telah bersetuju menyumbangkan RM50,000 (AS$14,000) kepada keluarga malang tersebut bagi menampung kos menerbangkan kesemua lima mayat mangsa dari Bangkok ke Pulau Pinang.

"Kerajaan juga akan membantu menanggung kos pendidikan anak mendiang yang akan memasuki Tahun 1 persekolahan tahun hadapan dan kita juga akan menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada isteri mendiang Tze Siang yang kini mengandung enam bulan," katanya lagi.

Keluarga Neoh sedang bersembahyang di kuil Erawan Shrine, yang terletak di kawasan pusat membeli belah dan hotel mewah di Bangkok apabila bom paip tiba-tiba meletup.

Dua lagi rakyat Malaysia yang turut tercedera dalam letupan itu dikenalpasti sebagai Tan Rui Hun dan Tan Kim Siok - kedua-duanya berasal dari Kelantan, negeri di Pantai Timur Semanjung Malaysia.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.