Follow us

Isteri Aktivis Syiah Saman Kerajaan dan bekas Menteri Sebabkan Penderitaan Emosi

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-18
E-mel
Komen
Share
Norhayati Mohd Ariffin isteri kepada aktivis Syiah Islam Amri Che Mat yang dilaporkan hilang secara paksa, semasa tiba di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam] di Kuala Lumpur, 6 March, 2019.
Norhayati Mohd Ariffin isteri kepada aktivis Syiah Islam Amri Che Mat yang dilaporkan hilang secara paksa, semasa tiba di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam] di Kuala Lumpur, 6 March, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Isteri aktivis Syiah Islam Amri Che Mat yang hilang secara paksa sejak Nov 2016 telah menyaman kerajaan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia [PDRM] dan bekas Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamid atas penderitaan mental yang dialami beliau dan keluarga selepas kejadian itu.

Norhayati Mohd Ariffin menfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan 21 responden termasuk dua bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun serta bekas ketua cawangan khas bahagian risikan PDRM Awaludin Jadid dalam samannya itu.

Peguam mewakili Norhayati, Surendran Ananth memberitahu BeritaBenar bahawa jumlah saman akan ditentukan oleh mahkamah kelak.

"Kesemuanya 21 defendan telah dinamakan dalam saman sivil oleh Norhayati. Beliau [Norhayati] memohon ganti rugi am dengan jumlah yang akan ditentukan oleh mahkamah termasuk juga ganti rugi teladan akibat daripada perlakuan terdakwa dalam mengabaikan hak perlembagaannya,” kata Surendran.

Sementara itu, Norhayati berkata, keluarganya mengalami tekanan emosi dan kewangan berikutan kehilangan Amri yang dalam laporan siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati Amri adalah mangsa kehilangan secara paksa.

"Bulan ini genap tiga tahun Amri telah diambil dari keluarga kami dan saya masih berada dalam kegelapan, di manakah beliau berada? atau masih hidupkah suami saja," kata Norhayati kepada BeritaBenar pada Isnin.

"Sejak awal, jelas sekali polis tidak terkesan dalam meneliti kes suami saya, saya yakin bahawa kegagalan ini terutama pada awal kehilangannya. Kegagalan itu telah menyumbang kepada kehilangan suami saya sehingga hari ini. Oleh sebab itu, beliau tidak ditemui atau diselamatkan, " tambahnya.

Wanita itu juga menyatakan bahawa selama tiga tahun berlalu, beliau telah ditolak daripada mendapat keadilan dan tidak seorang pun daripada pegawai polis datang memberi jaminan yang suaminya akan ditemui.

Norhayati berkata beliau dan anak-anak perempuannya telah banyak menderita kerana kehilangan Amri dan sekaligus memberi kesan kepada kesemua mereka secara emosi dan kewangan kerana Amri adalah tunggak keluarga.

"Sehingga hari ini, kami masih merasa trauma akibat kejadian kehilangan itu. Tidak ada seorang pun pegawai yang datang untuk memberitahu kepada saya dan keluarga, apa sebenarnya yang telah berlaku," katanya.

Norhayati, seorang guru sekolah rendah berkahwin dengan Amri aktivis sosial sebuah badan bukan kerajaan NGO di Perlis selama 19 tahun dan mempunyai empat orang anak.

Mengikut fakta kes itu, Amri, yang berasal dari Perlis, dilihat buat kali terakhir pada 24 Nov 2016.

Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau sedang menyebarkan ajaran Syiah, menurut laporan akhbar tempatan.

Pada 2018, Suhakam telah mengadakan siasatan berhubung kehilangan Amri dan seorang lagi lelaki iaitu Paderi Raymond Koh yang diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017 - setahun selepas Amri hilang.

Selepas beberapa bulan siasatan, pada April lepas, Suhakam mengeluarkan laporan kesimpulan siasatannya yang antara lain merumuskan bahawa kehilangan secara paksa Amri dan Koh telah "dilakukan oleh ejen-ejen kerajaan, iaitu Polis Cawangan Khas, Bukit Aman".

Berikutan laporan siasatan Suhakam itu, Kementerian Dalam Negeri membentuk sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat kehilangan Amri dan Koh di mana pada Jun lepas Menterinya  Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan enam anggota pasukan petugas khas itu.

Sementara itu, seorang anggota pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh KDN memberitahu BeritaBenar bahawa tiada apa yang boleh didedahkan pada masa ini.

"Kita tidak boleh mendedahkannya lagi. Terdapat beberapa mesyuarat tetapi tiada apa yang boleh dikongsi pada masa ini," kata anggota yang enggan namanya disiarkan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Zamri Yahya, yang merupakan seorang daripada anggota pasukan khas itu semasa dihubungi berkata, hanya ketua pasukan petugas khas, Hakim Rahim Uda yang boleh mengeluarkan kenyataan mengenai sebarang perkara.

Namun Rahim tidak dapat dihubungi untuk komen.

Lihat Laman Penuh