Malaysia setuju beri kerakyatan secara automatik kepada anak lahir di luar negara
2023.02.18
Kuala Lumpur
Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang bersuamikan warga asing mendapat kerakyatan secara automatik. Sebelum ini, hak mewariskan kerakyatan hanya diberikan kepada kaum bapa.
Keputusan itu selari dengan janji pilihan raya Anwar dan gabungan politik pimpinan beliau namun masih memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen untuk meluluskan pindaan tersebut dan Anwar sebelum ini pernah mendakwa beliau memiliki sokongan yang mencukupi.
Keputusan Jemaah Menteri itu telah diumumkan dalam satu kenyataan media tiga mukasurat yang dikeluarkan secara bersama antara Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said pada Sabtu.
"Mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua bagi memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa udang-undang kepada anak yang dilahirkan diluar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia," demikian menurut kenyataan bersama kedua menteri bertarikh 17 Februari tetapi hanya dikeluarkan pada awal Sabtu.
Kenyataan itu turut menyebut, "cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan."
"Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka dibentang dalam persidangan Parlimen ini setelah memenuhi kehendak undang-undang. Pada masa yang sama pindaaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh Jawatankuasa yang ditubuhkan dibawah KDN dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan.
Di bawah undang-undang sedia ada, kaum bapa rakyat Malaysia diberi hak untuk mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara dan mereka hanya perlu mendaftarkan anak di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Kemudahan itu bagaimanapun tidak terpakai kepada wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dan mereka dikehendaki mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi mendapatkan kerakyatan bagi anak mereka di bawah Perkara 15(2).
Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, secara spesifiknya ke atas beberapa Seksyen yang telah dipersetujui Jemaah Menteri adalah langkah selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan hak sama rata yang sepatutnya dinikmati oleh kaum lelaki dan wanita tanpa sebarang diskriminasi, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia serta mengatasi kelemahan peruntukan kerakyatan yang timbul dan menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita terkesan.
Kenyataan kedua menteri itu turut memaklumkan bahawa anak-anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan lain telah berjanji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia bahawa sekiranya gabungan itu menang dan dapat memegang tampuk pentadbiran negara, mereka akan meminda Perkara 15(2) dan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin hak kerakyatan untuk anak yang dilahirkan kepada sama ada ibu atau bapa rakyat Malaysia.
Manifesto itu turut berjanji meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan kerakyatan secara automatik kepada anak angkat.
Hak sama rata
Dalam respons terhadap keputusan itu, Family Frontiers, sebuah organisasi yang memperjuangkan agar perubahan dibuat ke atas undang-undang yang disifatkan berat sebelah tersebut, berkata ia sesuatu yang menggembirakan kerana kerajaan kini dilihat komited dalam usaha menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
Presiden Family Frontiers Suriani Kempe berkata langkah itu menunjukkan kerajaan kini berada di landasan yang betul.
"Kami kini tidak sabar menunggu untuk pindaan tersebut dibentangkan di Parlimen. Hanya selepas ia diluluskan barulah kami boleh menarik nafas lega kerana hanya bila ia berlaku, baru kaum ibu (yang terkesan) boleh memfailkan dokumen anak-anak mereka kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan dokumen kewarganegaraan," menurut Suriani dalam satu kenyataan.
Leanne, seorang ibu yang terkesan, berkata beliau kini berasa optimistik dengan keputusan kerajaan.
"Anak perempuan saya yang berusia 10 tahun telah lama berharap untuk mendapatkan MyKid sejak kami pulang ke Malaysia. Syukur kepada Tuhan. Dengan berita ini, kami akan dapat mencapai perkara tersebut," katanya.
Seorang lagi ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Rachel pula berkata beliau berharap perkara itu benar-benar akan menjadi realiti namun masih berasa gusar.
"Saya tidak sabar untuk melihat anak lelaki saya memegang kad pengenalannya sendiri," katanya kepada BenarNews.
Kaum ibu yang terkesan terpaksa membawa kes mereka ke mahkamah sejak beberapa tahun lepas bagi menuntut hak sama rata untuk mewariskan kerakyatan kepada anak mereka.
Pada September 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa anak-anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia bersuamikan lelaki warga asing boleh mendapat kerakyatan secara automatik.
Perintah itu bagaimanapun telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Ogos 2022 yang menyebelahi kerajaan dengan keputusan 2-1.
Pertikaian undang-undang berkaitan isu tersebut tidak terhenti setakat itu kerana kumpulan ibu terbabit membawa kes ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan. Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia, belum mendengar rayuan mereka.
Pada November 2022, satu gabungan yang menghimpunkan 14 badan bukan kerajaan hak wanita telah menggesa Anwar memenuhi janji manifesto pilihan raya beliau berkaitan kerakyatan untuk anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia bersuamikan warga asing serta undang-undang lain berkaitan hak wanita seperti mewartakan Akta Anti-Gangguan Seksual yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai tahun lepas.
Women’s Aid Organization, Sisters in Islam dan Persatuan Peguam Wanita merupakan antara ahli Gabungan Tindakan Bersama Untuk Kesaksamaan Jantina yang menandatangani kenyataan itu.
Haizal Yatiran di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.