Aktivis Hak Asasi Pekerja Asing Pertikai Tindakan Terbaru AS Terhadap Top Glove

Andy Hall berkata sudah tiba masa bagi agensi penguatkuasaan AS melihat semula secara kritikal mengenai tindakan mereka terhadap Top Glove.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.04.08
Kuala Lumpur
Aktivis Hak Asasi Pekerja Asing Pertikai Tindakan Terbaru AS Terhadap Top Glove Pekerja asing sedang menunggu untuk keluar daripada kilang Top Glove selepas tamat waktu bertugas mereka di Klang, Selangor, Malaysia, 7 Disember 2020.
[Reuters]

Seorang aktivis antarabangsa terkenal yang lantang memperjuangkan isu hak pekerja pada Khamis mempertikaikan tindakan Washington yang terus mengenakan sekatan keatas pengeluar sarung tangan Top Glove atas dakwaan amalan buruh paksa, dan pada masa yang sama syarikat itu berkata larangan tersebut memberi impak terhadap pengeluaran di kilangnya.

Andy Hall, seorang rakyat Britain dan juga pakar hak pekerja migran yang memberi fokus kepada negara Asia Tenggara memberitahu satu sesi seminar atas talian bahawa sudah tiba masa untuk Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) melihat semula secara kritikal mengenai tindakan mereka terhadap Top Glove.

"Sudah tiba masanya untuk melihat semula secara kritikal berhubung tindakan CBP terhadap syarikat [Top Glove] dan mempersoal keengganan berterusannya untuk menarik balik penemuan berkaitan pemerdagangan buruh paksa, dan pada masa yang sama syarikat serupa dan terkemuka lain di Malaysia mempunyai prestasi jauh lebih buruk dalam memastikan kesejahteraan pekerja mereka.

“Di sini kita perlu mengakui bahawa dapatan hasil kajian oleh Impactt terhadap Top Glove mendapati syarikat itu adalah antara pengeluar sarung tangan yang mendahului dari segi pematuhan sosial dan keadaan pekerja syarikat berkenaan,” kata Hall semasa webinar itu.

Aktivis itu merujuk kepada syarikat perunding bebas etika perdagangan Impactt Limited yang berpangkalan di United Kingdom yang diupah oleh Top Glove untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengesan elemen buruh paksa serta memberikan cadangan penambahbaikan terhadap operasi pengeluar sarung tangah perubatan terbesar dunia itu.

Impactt dalam laporannya pada 9 Mac lalu, antara lain menyatakan bahawa tiada lagi indikasi amalan buruh paksa didapati dalam kalangan para pekerja Top Glove, dengan hasil dapatan itu telah dipanjangkan kepada pihak CBP untuk semakan, manakala semua tindakan yang perlu menurut kehendak CBP telahpun diambil syarikat tersebut.

Pada 29 Mac lepas, CBP telah mengarahkan para pegawai di semua pintu masuk negara itu untuk menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh Top Glove yang dihasilkan di Malaysia, atas dakwaan penggunaan buruh paksa.

Arahan itu adalah yang terbaharu sejak CBP mengenakan sekatan terhadap produk syarikat berkenaan sejak 15 Julai tahun lalu.

Menurut Hall, Top Glove telah membuat pemulangan semula wang yuran pengambilan pekerja kepada semua pekerja asingnya, dan itu perlu dilihat sebagai satu usaha yang signifikan oleh syarikat berkenaan, selain mempunyai tempoh bekerja paling rendah, penyediaan tempat tinggal terbaik bagi pekerjanya dan pakej pemulihan yang tertinggi.

BenarNews telah cuba mendapatkan komen daripada CBP di Washington, tetapi tidak mendapat maklum balas sehingga berita ini disiarkan.

Untuk rekod, Top Glove dan Hall kini berkolaborasi untuk membantu syarikat berkenaan memperbaiki amalannya dalam isu hak pekerja dengan perkara tersebut telah diumumkan melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari sama (Khamis).

Impak sekatan CBP

Dalam webinar pada Khamis itu juga pengerusi kumpulan Top Glove Lim Wee Chai memberitahu yang sekatan dikenakan AS itu sebenarnya telah memberi impak sementara keatas pengeluaran sarung tangan kilang itu di Malaysia, dan berharap CBP akan memberikan maklumbalas secepat mungkin.

"Top Glove ada di sebanyak 295 negara dan kami telah memperbaiki operasi dengan banyak terutama dalam menjaga kebajikan pekerja. Sekarang ini kami bawa (produk) ke negara-negara lain, dan untuk pasaran AS, kilang-kilang kami di China, Thailand dan Vietnam masih boleh menghantar produk ke sana. Kami tiada masalah dari segi itu.

"Tetapi sudah tentu pengeluaran di Malaysia ada kesan sementara, membabitkan beberapa peratus, tetapi ini adalah sesuatu yang sementara. Kami berharap CBP akan memberikan maklumbalas secepat mungkin. Kami sedang berusaha dengan kuat untuk berkerjasama antara CBP dan pasukan kami," kata Lim.

Beliau turut mengakui bahawa apa yang terjadi adalah satu pengajaran yang bagus terhadap Top Glove dalam memperbaiki hasil kerja syarikat, dan menjadikan pemain dalam industri sarung tangan dengan lebih baik.

Top Glove dalam kenyataan media juga memaklumkan bahawa syarikat tersebut pada 2 April telah membuat pembayaran secara pukal bagi menyelesaikan baki akhir bayaran pemulihan kepada pekerjanya, melibatkan yuran pengambilan bekerja yang perlu dibayar oleh pekerja kepada ejen pekerjaan atau pihak lain sebelum ini.

Usaha membuat pembayaran pemulihan itu merangkumi semua pekerja yang menyertai Top Glove pada 1 Jan 2019 dan selepas tarikh itu, termasuk mereka yang telah pun meninggalkan syarikat.

"Top Glove akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan yang melihat kepada memperkukuhkan perundangan sedia ada serta prosedur operasi standard untuk sektor pembuatan dan pembinaan, supaya terus memperbaiki tempat kerja dan kediaman para pekerja di Malaysia."

Bukan U-turn

Hall pada webinar yang sama telah ditanya mengenai kolaborasi beliau dengan Top Glove, dengan aktivis itu telah menafikan bahawa ianya adalah satu U-turn di pihaknya.

Sebaliknya, menurut aktivis berkenaan, beliau telah selalu mencuba untuk berhubung dengan pengurusan tertinggi syarikat itu sejak mula menjalankan siasatan melibatkan pengeluar sarung tangan itu, tetapi pihak pengurusan syarikat hanya mula memberikan respon minggu ini.

"Hanya minggu ini baru Top Glove berinteraksi dengan saya. Saya akan bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang sanggup berinteraksi," tegas beliau.

Sebelum ini, Hall pernah membuat pendedahan menentang dakwaan Top Glove bahawa syarikat itu telah menyediakan fasiliti kediaman yang mencukupi untuk pekerja, dengan mengeluarkan klip-klip video yang diambil dengan bantuan pemberi maklumat dari dalam Top Glove sendiri.

Video-video tersebut menunjukkan keadaan sebenar dalam tempat penginapan pekerja yang sesak dan tidak menyamai keadaan seperti diwar-warkan syarikat.

Akan tetapi, seorang lagi aktivis hak pekerja migran menyuarakan ketidaksenangan terhadap tindakan Hall bekerjasama dengan Top Glove.

Adrian Pereira dari Inisiatif Utara Selatan memberitahu BenarNews bahawa mereka skeptikal dengan dakwaan Hall, yang Top Glove telah berjaya mematuhi standard sosial terhadap pekerjanya.

"Dakwaan beliau bahawa Top Glove adalah syarikat pengeluar sarung tangan yang mendahului dalam isu pematuhan sosial belum diuji atau dibuktikan di lapangan," kata Pereira sambil menambah yang beliau memilih untuk menjaga jarak dengan syarikat tersebut.

"Konflik kepentingan adalah tidak sihat," tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.