Malaysia, Indonesia dan Filipina Setuju Kukuh Kawalan Keselamatan Laut
2016.05.05
Kuala Lumpur

Malaysia, Indonesia dan Filipina pada Khamis telah bersetuju secara kolektif untuk memperkukuhkan langkah konkrit terhadap kawalan keselamatan di perairan sempadan Laut China Selatan dengan melaksanakan empat tindakan segera, kata Menteri Luar Malaysia Anifah Aman.
Beliau berkata, selain empat langkah itu, ketiga-tiga negara juga bersetuju untuk mewujudkan rangka kerja kawasan rondaan maritim di kawasan yang dikenal pasti sering dicerobohi lanun dan pengganas.
“Empat langkah yang dipersetujui ialah berkongsi maklumat dan risikan, penubuhan pusat tumpuan negara [national focal point], komunikasi secara hotline dan juga memberi bantuan segera kepada rakyat atau kapal-kapal yang dalam kesusahan, bagi mempercepatkan tindakan apabila berlakunya keadaan darurat,” kata Anifah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negara Malaysia pada Khamis.
Anifah berada di Jogjakarta, Indonesia bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Zulkifeli Mohd Zin, kerana mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat khas Menteri Luar Negeri dan Panglima Angkatan Tentera bagi Malaysia, Indonesia dan Filipina, atas jemputan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi.
Mesyuarat itu turut disertai Menteri Luar Filipina, Jose Rene D Amendras, dan Pemangku Panglima Tentera Filipina, Caesar C. Taccad serta Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Gatot Nurmantyo, berlangsung selama lebih enam jam, dalam usaha mencari jalan penyelesaian serta mengukuhkan kerjasama terhadap keselamatan maritim dalam menangani insiden penculikan di perairan ketiga-tiga negara.
Anifah juga berkata, perkara penting seterusnya adalah bagi ketiga-tiga negara mengambil langkah segera terhadap segala persetujuan mesyuarat dengan pegawai daripada ketiga-tiga negara bertemu untuk merumuskan rangka kerja Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan secepat mungkin.
‘Tangani punca’
“Malaysia juga menggariskan kepentingan dalam menangani punca yang menyumbang kepada peningkatan kes-kes penculikan di kawasan perairan bersempadan dengan selatan Filipina,” kata Anifah melalui kenyataan media itu.
Menteri Luar Malaysia itu turut melahirkan kebimbangan terhadap kes penculikan yang melibatkan empat rakyat Malaysia dan 10 warga Indonesia di sempadan perairan ketiga-tiga negara.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah berlaku di perairan pantai timur Sabah terutamanya pulau peranginan di kawasan perairan yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, yang melibatkan rakyat Malaysia atau pelancong luar negara.
Pada 1 April lepas, empat anak kapal tunda warga Malaysia diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Manila, dan kini ditahan di kepulauan Jolo, selatan Filipina.
Dua minggu selepas itu, empat daripada 10 anak kapal warga Indonesia dilaporkan diculik kumpulan bersenjata yang memintas kapal tunda mereka ketika dalam perjalanan dari Filipina ke Indonesia berhampiran perairan Sabah.
Kesemua mereka masih berada di dalam tahanan penculik.
Terbaru, seorang warga Kanada, John Ridsdel telah dipenggal kepalanya oleh kumpulan Abu Sayyaf yang menculiknya bersama seorang lagi rakan senegaranya, warga Norway, dan wanita berkerakyatan Filipina, di sebuah resort di Pulau Samal, wilayah Davao, pada September lepas, selepas tarikh akhir penyerahan wang tebusan yang ditetapkan militan itu tamat.
Minggu lepas, sepuluh anak kapal Indonesia yang diculik kumpulan militan itu telah dibebaskan namun tidak dapat dipastikan sama ada Indonesia membayar wang tebusan 50 juta pesos (AS$1.07 juta) seperti diminta Abu Sayyaf.
Presiden Indonesia, Joko "Jokowi" Widodo yang turut hadir pada mesyuarat itu berkata, "Kami mengharapkan kerjasama ketiga-tiga negara boleh menyelesaikan masalah ini".
Jokowi turut memaklumkan yang kerajaan Indonesia sudah mengetahui lokasi empat warganya yang masih menjadi tebusan kumpulan bersenjata di selatan Filipina, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut.
"Benar, kita sudah tahu lokasinya, kita sudah tahu di mana pulau (tebusan itu), tetapi sekali lagi, kumpulan adalah berbeza dari terdahulu (culik 10 tebusan warga Indonesia yang sudah dibebaskan) dan kini sedang membina komunikasi untuk keselamatan," tambah Presiden itu lagi.
Dalam pada itu, Anifah turut mengulas mengenai Proses Keamanan di selatan Filipina, dengan meminta semua pihak yang berkepentingan untuk terus komited dalam mencari penyelesaian jangka panjang bagi memastikan keamanan dan keselamatan yang berkekalan di rantau berkenaan, agar insiden penculikan tidak berlaku pada masa akan datang.
‘Operasi diperluaskan’
Sementara itu, operasi mencari sebuah bot bersama empat penumpang dari Malaysia, China dan Sepanyol yang dilaporkan hilang pada Isnin di kawasan perairan berhampiran Kudat, Sabah diperluaskan ke kawasan seluas 3,600 batu nautika persegi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan berkata, aset dan anggota APMM yang terlibat mula memasuki sektor carian dalam keluasan itu pada Khamis.
"Pasukan mencari dan menyelamat telah memperluaskan kawasan carian sehingga kearah barat laut tetapi setakat ini tidak memperolehi sebarang penemuan," katanya.
Sepasang suami isteri warga Sepanyol, bersama seorang lelaki warga China dan wanita tempatan yang dalam perjalanan menaiki bot ke rumah penginapan mereka di Tanjung Simpang, Mengayau, Kudat dilaporkan hilang di perairan Pulau Balambangan, Sabah.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai David Hernandes Gasulla, 29, dan isterinya, Martha Miguel, 30, Lam Wai Yin Tommy, 44, dan wanita warga tempatan dikenali Ella, 23.
“Buat masa ini, kita percaya bot yang dinaiki mangsa mengalami masalah enjin selain faktor cuaca sebelum hanyut,” kata Mohd Zubil seperti dilaporkan media tempatan.
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar yang mengulas mengenai kehilangan bot itu pada Rabu, seperti dilaporkan media tempatan, meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian itu, kerana masih dalam siasatan dan belum ada pengesahan tentang punca kehilangan empat individu berkenaan.
“Kita mendapat laporan bahawa waktu itu keadaaan laut tidak begitu baik...dengan ombak besar dan angin kuat," tambahnya.
Kusumasari Ayuningtyas di Jogjakarta turut menyumbang kepada laporan ini.