Agensi terbesar memajukan sosio-ekonomi golongan Bumiputera di Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Selasa memutuskan untuk menggantung jawatan pengerusinya Annuar Musa atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebuah pasukan bola sepak.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula dalam satu kenyataan pada Selasa mengesahkan bahawa pihaknya telah mula menyiasat dakwaan penyelewengan dana MARA dan universiti dibawah naungannya, Univeristi Kuala Lumpur (UniKL), yang telah digunakan untuk menaja pasukan bolasepak Kelantan – The Red Warriors (TRW).
"SPRM akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menyiasat isu berkenaan rasuah dan salah guna kuasa Tan Sri Annuar Musa.
"Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan," menurut SPRM dalam satu kenyataan pada Selasa.
Namun, SPRM berkata siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA.
Annuar adalah Ketua Penerangan UMNO, parti politik yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak. Beliau juga adalah bekas presiden kelab bola sepak TRW dan ahli parlimen Ketereh, Kelantan.
Selain itu, Annuar pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan antara tahun 1990 – 1993, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar antara 1993 – 1999, semasa Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Pada Selasa, mesyuarat ahli Majlis MARA sebulat suara bersetuju untuk menggantung tugas Annuar dengan serta merta bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap isu wang tajaan itu.
Hilang keyakinan rakyat
"MARA menggantung tugas Annuar dengan harapan isu tersebut tidak berlarutan sehingga boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap pengurusan kerajaan," kata ahli majlis MARA Dr. Yusof Yacob dalam laporan media tempatan.
Dr. Yusof berkata, agensi berkenaan telah membincangkan isu berkaitan kerana tidak mahu ia menjejaskan imej MARA selepas menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
Tugas Annuar sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) juga digantung, katanya.
Menurut Dr. Yusof, beliau akan memangku kedua-dua tugas Annuar sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi PMB selepas mendapat persetujuan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaacob.
Annuar juga sedang disiasat oleh jawatankuasa audit dalaman MARA mengenai dakwaan itu.
Akhbar Berita Harian dalam laporannya turut memetik Dr. Yusof sebagai berkata, mesyuarat audit dalaman MARA akan diadakan pada 7 Februari depan dengan memanggil beberapa individu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.
"Kita akan panggil semua individu berkaitan, termasuk Annuar Musa supaya isu ini diselesaikan secepat mungkin," katanya pada sidang media, di ibu pejabat MARA, pada Seleas di Kuala Lumpur.
Annuar telah didakwa mengarahkan UniKL dan PMB membayar RM7000,00 kepada pasukan TRW sebagai penajaan pada tahun lalu. Isu tersebut menular selepas Tunku Mahkota Johor membuat pendedahan dengan melampirkan beberapa salinan dokumen bayaran, melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Annuar menggunakan wang UniKL sebanyak RM500,000 pada bulan Mei tahun lalu dan PMB pula sebanyak RM200,000 pada Jun 2016.
Respon
Sementara itu, Annuar dalam responnya terhadap penggantungan itu berkata beliau tidak dimaklumkan berkenaan mesyuarat tersebut malah tidak pernah dipanggil untuk memberikan penjelasan oleh majlis itu.
"Apa sahaja keputusan yang telah dicapai, saya terima sahaja keputusan itu dan itu adalah hak mereka. Kita menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut kerangka peraturan tertentu.
"Saya terbuka dalam soal ini," katanya dalam status Facebook pada petang Selasa.
Annuar kini berada di New Zealand atas urusan rasmi MARA.
"Perkhidmatan saya di MARA adalah satu amanah yang saya junjung tinggi. Pendirian saya dalam banyak perkara berkaitan tatakelola dan integriti memang tidak disenangi," katanya sambil meminta SPRM dan polis Malaysia menyiasat beliau.
Sementara itu, Ismail berkata, Majlis MARA berkuasa penuh untuk menggantung Annuar sementara siasatan juruaudit dalaman diselesaikan oleh agensi itu.
Katanya, hanya pelantikan dan pemberhentian yang memerlukan kuasa Menteri dengan persetujuan Perdana Menteri.
"Tindakan penggantungan sementara dibuat berdasarkan atas sebab beliau sedang disiasat oleh Jawatankuasa Audit dan sebagai Pengerusi, perkara ini membimbang kerana ia boleh dilihat sebagai mempengaruhi siasatan," katanya dalam satu kenyataan media.
Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, kedudukan Annuar selaku Ketua Penerangan UMNO selepas penggantungannya sebagai Pengerusi MARA diserahkan kepada keputusan presiden parti.
"Jawatan Annuar dalam UMNO dilantik Presiden parti Najib Razak manakala penggantungannya adalah dalam agensi kerajaan. Tidak berbangkit jawatannya dalam UMNO, tetapi ia terpulang kepada pandangan presiden," kata Tengku Adnan seperti dilaporkan oleh agensi berita Bernama pada Selasa.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan, Ismail Md Noor berkata tindakan terhadap Annuar yang juga penasihat Kafa itu juga tidak menjejaskan penajaan untuk pasukan berkenaan.
Beliau berkata, penggantungan tugas Annuar tidak menjejaskan pasukan bola sepak Kelantan The Red Warriors (TRW) dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.
"Malah, persiapan TRW untuk menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Sabtu ini, juga tidak terjejas," katanya seperti dilaporkan agensi berita Bernama pada Selasa.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini