Bekas pereka sambilan menjadi individu pertama didakwa di bawah Akta Anti-Menghendap
2023.08.10
Kuala Lumpur

Mahkamah Malaysia pada Khamis telah mendakwa lelaki berumur 37 tahun yang merupakan individu pertama di bawah undang-undang baharu, Akta Anti-Menghendap kerana menganggu dan mengintip seorang wanita termasuk semasa berada di luar negara selama lapan tahun.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh, Mohamad Safiq Rosli yang mengaku tidak bersalah, boleh dikenakan hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 507A yang ditambah ke dalam Akta 574 (Kanun Keseksaan), yang dikuatkuasakan pada Mei lalu.
Parlimen pada Mac lepas telah meluluskan Akta Anti-Mengendap setelah diberikan tekanan oleh kumpulan hak wanita sejak beberapa tahun lalu bagi melindungi mangsa yang berada dalam ketakutan dan tertekan akibat dari aktiviti intipan.
Mohamad Safiq Rosli, seorang pereka sambilan yang memakai baju kemeja hijau bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 507A (3) di bawah akta yang sama, dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu di Mahkamah Majistret Shah Alam, di Selangor.
Pengakuan tersebut bagaimanapun tidak direkodkan apabila Mahkamah mengarahkan tertuduh dirujuk ke Unit Forensik Psikiatri Hospital Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian selama sebulan setelah dipohon Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq telah melakukan kesalahan menghendap terhadap Acacia Mardiana Daud, 31, melalui perkhidmatan applikasi Twitter menggunakan akaun milik tertuduh “@sopert99” antara 15 dan 21 Julai yang mana tertuduh seharusnya tahu gangguan berbentuk hantaran komunikasi berulangkali tersebut boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Tiada ikat jamin
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor Mohamad Safiq telah melanggar syarat jaminan polis yang dikenakan ke atasnya dalam kes yang melibatkan mangsa yang sama di United Kingdom (UK), di mana tertuduh telah melarikan diri pulang ke Malaysia apabila beliau sepatutnya hadir di mahkamah negara itu untuk memberi penjelasan mengenai perlanggaran jaminannya pada 2 Jun.
Peguam Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili tertuduh tidak menyatakan sebarang bantahan terhadap permohonan tiada jaminan yang dikemukakan pendakwaan.
Dalam masa yang sama, peguam pemerhati Jason Wee yang hadir bagi pihak mangsa, Acacia Mardiana, memohon agar satu perintah perlindungan diberikan kepada anak guamnya bagi menjamin keselamatannya dari gangguan tertuduh sepanjang tempoh kes berjalan.
“Perintah ini harus diberikan kepada anak guam saya untuk mengelakkan gangguan seterusnya kerana meibatkan soal keselamatan memandangkan tertuduh pernah terbang ke UK untuk meneruskan perbuatan itu terhadap mangsa,” katanya.
Sasha Diana membenarkan permohonan perintah perlindungan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Sept setelah selesai pemerhatian psikiatrik ke atas tertuduh.
Jason ketika dihubungi BenarNews memberitahu perintah perlindungan, yang pertama kali dipohon sejak pindaan rang undang-undang tersebut dibuat, menghalang tertuduh daripada menghubungi, mempunyai sebarang bentuk komunikasi dengan mangsa dan berada dalam jarak dengan dengan mangsa.
“Ianya mirip kepada perintah sekatan yang sebelum ini diperuntukkan dalam kes melibatkan pasangan suami isteri tetapi di bawah pindaan akta baharu, perintah seumpama ini dilanjutkan kepada mangsa hendap.
"Sekiranya tertuduh cuba menghubungi atau berada dalam jarak yang dekat dengan mangsa, dia boleh didakwa atas kesalahan melanggar perintah perlindungan dan boleh dikenakan hukuman yang lebih berat. Perintah Perlindungan ini bertujuan bagi menghalang mangsa dari terus diganggu atau dihendap oleh pelaku yang sama sepanjang tempoh kes berjalan," tambah peguam pemerhati itu.
Gangguan lapan tahun
Pada 13 Julai, Acacia mendedahkan di platform Twitter mengenai kronologi gangguan dalam bentuk hendapan secara maya, fizikal dan seksual oleh pelaku yang sama yang dialaminya selama lapan tahun, yang menjejaskan bukan sahaja kehidupan sosial dan kerjayanya tetapi juga menyebabkan beliau mengalami tekanan emosi melampau apabila tertuduh turut mengekorinya ke UK selepas mangsa berpindah ke sana bagi mengelak dari gangguan tertuduh.
Kata Acacia dalam muatan di media sosialnya, beliau telah menyekat sekurang-kurangnya 36 akaun yang disyaki milik penghendapnya.
Menurutnya lagi tiga laporan polis telah difailkan sejak 2018 dan terbaru pada 16 Julai kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
Menurut laporan media pada 22 Julai, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan jurugambar tersebut telah membuat laporan polis pada 2018 berkenaan gangguan seksual secara dalam talian.
"Siasatan kes ini tetap berjalan meskipun ia dilaporkan sejak tahun 2018 dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mengumpulkan bukti-bukti kukuh untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan.
Momen penting pendakwaan
Sementara itu, Pengarah Advokasi Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Abinaya Mohan menyifatkan pendakwaan tersebut sebagai satu momen penting dan berharap proses tersebut akan berjalan lancar serta undang-undang berjaya dilaksanakan dengan efektif.
“Ini merupakan kemenangan besar untuk mangsa-mangsa di Malaysia dan kami amat menghargai keberanian mereka untuk bersuara tentang pengalaman mereka, yang mana tanpanya kita tidak akan ada undang-undang ini pada hari ini.
“Ini adalah salah satu sebab kita perlu memberikan kepercayaan dan sokongan penuh pada mereka. WAO berharap semua pihak terlibat dalam membantu dan menyiasat akan mengambil serius perkara ini dan melaksanakan undang-undang dengan penuh hati-hati demi keadilan mangsa,” katanya kepada BenarNews.
Satu dapatan kajian yang dijalankan oleh WAO bersama syarikat penyelidikan Vase.ai pada 2020, 36 peratus daripada 1,008 orang responden rakyat Malaysia menyatakan bahawa mereka pernah menjadi mangsa perbuatan menghendap yang menyebabkan mereka ketakutan.
Sebanyak 12 peratus responden pula pernah menjadi mangsa perbuatan menghendap membabitkan ancaman dicederakan, manakala 17 peratus pernah menjadi mangsa menghendap yang melibatkan kecederaan pada mereka, demikian menurut hasil kajian yang diterbitkan di laman sesawang WAO.