Laporan 100 hari: Anwar tangani isu rasuah, lindungi golongan miskin - penganalisis

Bagaimanapun, mereka berkata kesemua ini hanya sementara tanpa pembaharuan institusi seperti yang dijanjikan.
Sheridan Mahavera
2023.03.05
Kuala Lumpur
Laporan 100 hari: Anwar tangani isu rasuah, lindungi golongan miskin - penganalisis Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim melambaikan tangan ketika meninggalkan bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 19 Dis 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Selepas 100 hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Anwar Ibrahim mendapat pujian kerana memerangi rasuah dan melindungi golongan miskin namun ujian sebenar ialah pembaharuan institusi yang mampu memperkukuh tadbir urus dan demokrasi, kata pemerhati.

Gabungan politik Pakatan Harapan pimpinan Anwar sebelum ini berkempen bahawa ia adalah berbeza dengan UMNO, parti yang sekian lama memegang tampuk pemerintahan, dan menjanjikan perubahan sistematik bagi mengakhiri kuasa naungan serta gejala rasuah, salah tadbir dan penyelewengan, racisme dan ketaksuban serta kapitalisme kroni dan ketidaksamaan yang sudah berakar umbi.

Penganalisis, pakar ekonomi dan pemimpin masyarakat telah memberikan pujian yang berhati-hati kepada beliau berdasarkan prestasinya setakat ini.

“Meskipun terdapat perubahan positif sejak beliau mengambil alih kuasa, kesemua perubahan ini mungkin bersifat sementara tanpa pembaharuan institusi,” kata Anil Netto, Presiden Aliran iaitu antara pertubuhan hak asasi manusia tertua di Malaysia.

“Pada akhirnya, pentadbiran beliau akan dinilai berdasarkan sama ada beliau melaksanakan pembaharuan institusi yang diperlukan oleh negara.”

Anwar kini berada dalam kedudukan yang langsung tidak dicemburui.

Rakyat Malaysia menggantungkan harapan yang tinggi kepada Anwar yang dikenali sebagai ikon antigolongan berkuasa, kebebasan bersuara, prodemokrasi dan liberal itu, yang merupakan pemimpin pembangkang kedua yang mengetuai kerajaan dalam tempoh hampir 70 tahun. Bagaimanapun, perjalanan Anwar untuk menjadi pemimpin negara bukan mudah dan memerlukan pengorbanan yang besar kerana beliau terpaksa bersekutu dengan bekas musuhnya iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Itu adalah sesuatu yang perlu diingati,” kata penganalisis Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Janji-janji beliau lebih mudah ditunaikan jika gabungan politik yang diterajuinya [Pakatan] boleh membentuk kerajaan dengan sendiri,” kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

“Memandangkan beliau terpaksa membentuk kerajaan perpaduan dengan melibatkan pemimpin parti yang imejnya telah tercalar akibat pertuduhan rasuah maka beliau perlu bersikap defensif,” katanya merujuk kepada Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah.

Anwar berulang kali menyatakan bahawa kerajaannya mengambil pendirian tegas dalam memerangi gejala rasuah dan pada masa yang sama, menyerahkan kes Ahmad Zahid kepada mahkamah untuk diadili.

‘Tadbir urus yang baik dan akauntabiliti’

Sementara itu, keutamaan Anwar dalam tempoh tiga bulan pertama sebagai Perdana Menteri mencerminkan tiga kebimbangan pengundi dalam pilihan raya umum pada November tahun lepas yang menyaksikan Pakatan memenangi jumlah kerusi terbanyak namun bukan majoriti di Parlimen.

Tinjauan Merdeka Center mendapati kos sara hidup adalah kebimbangan utama pengundi diikuti pertumbuhan ekonomi dan isu rasuah.

Bagi membantu keluarga Malaysia berpendapatan rendah serta perusahaan kecil dan sederhana, kerajaan telah membekukan kenaikan kadar tarif elektrik kecuali bagi perbadanan yang besar.

Kerajaan beliau turut memfokus kepada langkah menstabilkan harga dan bekalan makanan di pasaran tempatan dengan mengenakan harga siling bagi ayam dan telur, yang merupakan sumber protein paling murah untuk majoriti rakyat Malaysia.

Malaysia, seperti negara lain di dunia, berdepan fasa pemulihan pascapandemik yang terhalang oleh kesan sampingan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dengan harga minyak dan barangan keperluan meningkat secara mendadak dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang mampu membendung inflasi yang semakin meningkat terutama kenaikan kos makanan dan sara hidup.

Selain itu, rakyat di negara Asia Selatan masih trauma dengan skandal yang menyelubungi dana kekayaan negara iaitu 1MDB, yang telah menyaksikan pembangkang berkuasa buat pertama kali pada 2018 selepas menumbangkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Kerajaan itu, yang turut membabitkan Anwar, hanya memerintah dalam tempoh yang singkat dan tidak berupaya melaksanakan komitmennya untuk memerangi rasuah.

Kali ini, Anwar berjanji bahawa beliau akan berbuat demikian.

Sepanjang tempoh tiga bulan pertama, beliau telah menyemak semula projek mega yang mahal untuk mencari bukti rasuah dan menghentikan pemberian projek secara rundingan terus.

Penjadualan dan pembukaan semula tender bagi projek pembangunan telah mengenal pasti penjimatan berbilion ringgit,” kata pakar ekonomi Geoffrey Williams, seorang profesior di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Sebagai contoh, kerajaan Anwar berkata ia telah menjimatkan RM1.8 bilion (AS$402 bilion) apabila menyemak semula penganugerahan projek mitigasi banjir yang kos sebenarnya ialah RM15 bilion. Pentadbiran terdahulu didakwa telah menganugerahkan projek itu secara rundingan terus berbanding tender terbuka.

“Ini adalah soal tadbir urus yang baik dan akauntabiliti. Pimpinan harus memastikan tiada ketirisan berlaku,” kata Anwar pada Disember tahun lepas.

Williams berkata pentadbiran Anwar juga mendapati subsidi diesel berjumlah RM10 bilion untuk kenderaan komersial dan nelayan berskala kecil telah didakwa diseleweng pada tahun lepas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menjalankan siasatan menyasarkan individu dan syarikat yang disyaki terlibat dalam salah laku dikaitkan dengan dana dikenali sebagai Jana Wibawa, yang bermula pada 2020 serta bertujuan membantu perniagaan yang bergelut dengan kerugian semasa era pandemik.

Tersalah langkah

Anwar telah menekan tadbir urus yang baik dan mengambil pendirian tegas dalam membuktikan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan rasuah, kata Tunku Mohar.

“Beliau telah cuba untuk memastikan bahawa tidak akan ada salah guna kuasa atau amalan rasuah dalam pentadbiran semasa,” kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Bagaimanapun, berlaku juga beberapa kesilapan seperti pelantikan anak perempuannya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan meskipun beliau kemudian mengambil keputusan untuk berundur, katanya.

“Pelantikan anak perempuannya itu boleh dianggap sebagai tersalah langkah dan meskipun beliau bersungguh-sungguh mempertahan keputusan itu kerana mendakwa Nurul Izzah layak dan tidak menerima gaji, ia masih nepotisme,” kata Tunku Mohar.

“Nasib baik masih ada jalan keluar apabila Nurul Izzah kemudian ditawarkan jawatan itu dalam sekretariat bagi majlis penasihat ekonomi dan kewangan PM. Bagaimanapun, kerosakan telah berlaku.”

Selain itu, beberapa usaha pencegahan rasuah Anwar kelihatan seolah-olah menyasarkan musuh politik beliau, kata Pushpan Murugiah, Pemangku Ketua Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

“Adalah sesuatu yang membimbangkan kerana SPRM kelihatan seolah-olah menyiasat kes rasuah membabitkan pentadbiran terdahulu apabila mereka sudah tidak berkuasa,” kata Pushpan kepada BenarNews.

“Ini tidak memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa SPRM bertindak secara bebas.”

Anwar harus memastikan pembaharuan yang dikenal pasti di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Negara 2019 dan sepatutnya selesai pada akhir tahun ini dilaksanakan, kata Pushpan.

Cadangan pembaharuan itu termasuk undang-undang bagi mencegah campur tangan politik dalam perolehan kerajaan dan operasi agensi awam, penubuhan mahkamah khas untuk menangani kes rasuah dan mengasingkan kuasa Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Cabaran utama Anwar ialah menamatkan budaya naungan kuasa dalam Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO, antara sekutu utama kerajaan perpaduan pimpinan beliau, kata Tunku Mohar.

“Persepsi umum masih melihat BN,terutama UMNO, sebagai mengamalkan politik berdasarkan kuasa naungan,” kata penganalisis politik itu.

“Mengenai pembaharuan institusi, beliau amat berhati-hati agar tidak menimbulkan kemarahan penjawat awam.”

‘Harapan menggunung’

Sementara itu, pembaharuan undang-undang yang menjadi perbalahan dan menyebabkan pertikaian politik serta ketelusan bagaimana birokrasi berfungsi belum diumumkan, kata Netto dari kumpulan hak asasi manusia iaitu Aliran.

Undang-undang ini, yang merangkumi Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Rahsia Rasmi, masih belum diumumkan. Anwar telah berjanji bahawa kesemua undang-undang ini akan dipinda, kata Netto.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Disember bahawa SOSMA, undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, tidak akan disemak semula telah mengecewakan beberapa kumpulan hak asasi manusia termasuk anggota gabungan Pakatan Harapan.

Lagipun, SOSMA telah digunakan terhadap beberapa anggota Pakatan.

“Turut mengecewakan apabila mendengar anggota Kabinet Anwar berkata bahawa AUKU iaitu undang-undang yang menghalang aktiviti politik oleh pelajar dan kakitangan university tidak akan disemak semula. Anwar sendiri telah menjadi mangsa tindakan keras yang diambil oleh pihak university semasa beliau menjadi aktivis pelajar,” kata Netto.

Selain itu, pemilihan bagi pihak berkuasa tempatan perlu dikembalikan, katanya.

“Harapan menggunung digantungkan kepada kerajaan ini kerana semasa berkempen, ia telah berjanji untuk melaksanakan pembaharuan institusi,” kata Netto.

“Tanpa pembaharuan ini, harapan akan pudar.”

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.