Suara Bebaskan Anwar Terus Berbunyi
2016.02.10
Sekumpulan ahli Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR), aktivis dan badan bukan kerajaan (NGOs) berhimpun di hadapan Penjara Sungai Buluh pada Selasa malam dalam usaha memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia untuk membebaskan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang genap setahun ditahan di penjara itu.
Pada 10 Februari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan mengekalkan kesalahan serta hukuman lima tahun penjara ke atasnya kerana didapati bersalah meliwat pembantu khasnya Saiful Bukhari Azlan.
Parti pembangkang, NGOs tempatan dan antarabangsa turut mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Malaysia membebaskan bekas ketua pembangkang itu.
Isteri beliau yang kini Ketua Pembangkang dan Presiden Keadilan Rakyat (PKR), Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa Anwar diperakui masyarakat antarabangsa sebagai mangsa politik UMNO-Barisan Nasional (BN) yang dipenjarakan untuk menghalang beliau menumbangkan BN.
“InsyaAllah Anwar di dalam sana mendengar laungan reformasi, beliau selalu berpesan agar kita di luar ini mesti kuat dan terus bersatu melawan kezaliman. Beliau adalah simbol perjuangan dan kesepaduan dalam barisan pembangkang untuk berhadapan dengan BN. Kita perlu bangkit berjuang menentang kezalimanm” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
Wan Azizah juga menambah, keadaan kesihatan Anwar turut membimbangkan dan ianya dapat dilihat semasa pertemuan bersama anak dan cucunya di penjara baru-baru ini.
“Anwar tak boleh angkat tangan kanan disebabkan kesakitan. Beliau angkat tangan kiri jika tak dapat angkat tangan kanan. Dengan tangan kiri pun beliau tetap boleh melaungkan reformasi,’’ katanya.
Semasa perhimpunan yang dihadiri kira-kira 500 orang itu, Wan Azizah turut melepaskan burung merpati sebagai simbol pembebasan manakala anak-anak Anwar menyediakan video khas untuk bapa mereka serta membacakan puisi tulisan WS Rendra yang bertajuk “Perjalanan Bu Aminah’.
Video berdurasi selama tiga minit itu memaparkan koleksi waktu gembira anak-anak Anwar serta cucu semasa mereka bersama berselang dengan gelak ketawa dan riang gembira berserta mesej tertera ‘Genap setahun perpisahan, namun kami tidak akan goyah,’’.
'Anwar boleh taubat'
Dalam pada itu, Saiful Bukhari dalam satu kenyataan pada hari Rabu meminta Anwar agar menggunakan masanya di dalam penjara untuk muhasabah diri dan bertaubat.
“Saya mengharapkan bekas Ketua Pembangkang sihat dan dalam keadaan aman. Tuhan akan memaafkan mereka yang bertaubat dan beliau merupakan bekas majikan saya, oleh itu saya mendoakan yang terbaik kepadanya,’’ katanya.
Saiful Bukhari juga menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam gerakan membebaskan Anwar berhenti mengelirukan semua pihak serta bersikap keterlaluan dengan menggunakan ungkapan “tuduhan palsu, tahanan politik, perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.”
"Justeru, ingin saya nasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takutlah pada Allah SWT,” kata Saiful Bukhari dalam satu kenyataan di blognya pada Rabu.
‘Peristiwa Hitam'
Presiden Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Ab. Rahim menegaskan bahawa pemenjaran Anwar merupakan peristiwa hitam yang tragis dalam sejarah politik dan perkembangan demokrasi negara.
“ABIM menuntut Anwar dibebaskan segera secara sah menurut saluran perundangan dan dibersihkan dari segala sabitannya melalui semakan kehakiman yang sedang diusahakan oleh barisan peguam beliau,’’ katanya dalam kenyataan yang diterima BeritaBenar.
Mohamad Raimi juga meminta keluarga Anwar diberikan akses sepenuhnya untuk bersua dan berkomunikasi tanpa sebarang halangan dengan beliau sewaktu di penjara.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen pula mahu kerajaan meletakkan Anwar di bawah tahanan rumah kerana keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
“Kami meminta pihak berkuasa meletakkan Anwar di dalam tahanan rumah supaya beliau dapat menghabiskan hukumannya pada tahap kawalan yang minima selain membolehkannya mendapatkan rawatan yang tidak ada di dalam penjara,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Ancaman terhadap Najib
Perkara yang sama disuarakan oleh Presiden Persekutuan Antarabangsa Hak Asasi Manusia (FIDH) Karim Lahidji yang mahukan Anwar dibebaskan tanpa syarat dan mengungkap “setiap hari pemenjaraan Anwar akan menyebabkan reputasi kerajaan Malaysia akan tercalar”.
Human Rights Watch yang berpangkalan di New York pula menegaskan pemenjaraan Anwar jelas merupakan tindakan politik untuk menamatkan ancaman terhadap pimpinan Perdana Menteri Najib Razak.
“Setiap hari pemenjaran Anwar berterusan, keyakinan terhadap sistem keadilan Malaysia akan merosot , kerajaan Malaysia harus membebaskan beliau dan menghapuskan undang-undang yang ketinggalan zaman seperti hukuman liwat,’’ kata Timbalan Pengarah Human Right Watch Asia Phil Robertson dalam satu kenyataan.
Pada November lepas, Majlis Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia mengenai Penahanan Arbitrari (UN Human Rights Council Working Group on Arbitrary Detention) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar telah dihukum dengan sewenang-wenangnya dan tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa. Majlis itu menggesa pembebasannya dengan segera.