PM Malaysia tekad teruskan undi percaya buktikan keabsahan kerajaan
2022.11.28
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin menyuarakan kesungguhannya untuk mengadakan sesi undi percaya pada sidang Parlimen akan datang yang bermula pada 19 Disember depan bagi membuktikan keabsahan kerajaan pimpinannya.
Sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-10 pada Khamis lalu, lawannya dari parti Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, telah mencabar presiden Pakatan Harapan itu supaya membuktikan jumlah sokongan dimilikinya di Parlimen.
"Ya, benar Ramkarpal (Singh) menggunakan isu penafsiran perlembagaan, dan majoriti jelas. Tetapi saya juga bincang tadi, kita punya pandangan bukan saja soal keperluan perlembagaan tetapi saya fikir keabsahan itu juga dari segi persepsi politik.
"Jadi kita akan teruskan dengan undi percaya pada 19 Disember depan," kata Anwar kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan pada Isnin.
Perdana Menteri itu merujuk kepada pandangan disuarakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh beberapa hari lepas yang menyatakan bahawa Anwar tidak perlu mengadakan undi percaya di Parlimen.
Menurut laporan media tempatan, Ramkarpal dari Parti Tindakan Demokratik berkata pada Sabtu bahawa Anwar telah mempunyai bilangan majoriti yang lebih daripada mencukupi dan patut memberikan fokus kepada pembentangan Belanjawan 2023.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada Khamis di hadapan Yang di-Pertuan Agong setelah Baginda berkenan melantik beliau sebagai perdana menteri baharu bagi menamatkan kebuntuan selama empat hari selepas keputusan pilihan raya umum yang berkesudahan dengan Parlimen tergantung.
Anwar mengetuai kerajaan campuran yang disokong oleh blok Pakatan Harapan pimpinannya yang mempunyai sejumlah 82 kerusi Parlimen, parti UMNO serta beberapa lagi parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak yang telah bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran, menjadikan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong melebihi 140 orang.
Seorang perdana menteri perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen untuk mendapat mandat majoriti.
Susulan daripada pelantikan itu, Anwar semasa sidang medianya yang pertama sebagai perdana menteri telah berkata bahawa undi percaya di Parlimen akan menjadi agendanya yang pertama apabila Dewan Rakyat bersidang nanti.
Pembentukan kabinet
Anwar, yang mengetuai kerajaan perpaduan yang pertama di negara itu juga berdepan dengan cabaran dalam membentuk Kabinet sebelum pentadbiran baharu itu membentangkan belanjawan negara bagi 2023 pada sidang Parlimen akan datang.
Semasa sidang media pada Isnin, Anwar berkata beliau akan mengumumkan barisan anggota Kabinet "sesegera mungkin" setelah mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.
Menurut perdana menteri itu, beliau perlu mengambil pandangan semua kerana banyak parti yang terlibat dalam kerajaan perpaduan, namun menegaskan bahawa keputusan akan dibuat olehnya.
Selain itu, Anwar juga perlu merancang barisan anggota Kabinet sesuai dengan janjinya untuk mengecilkan saiz pentadbiran berbanding kerajaan dahulu.
"Seperti yang saya sebut, tidak sepertimana biasa, kerajaan perpaduan ini melibatkan banyak parti. Jadi saya sebelum buat keputusan, saya mesti mendengar semua pandangan.
"Kemudian masalahnya kerana jumlah Kabinet ini dikecilkan. Kalau dulu dimasukkan sahaja... 50 orang menteri, 60 orang, atau 70 orang, dan jika tidak mencukupi, tambah dengan jawatan duta khas, penasihat khas," kata Anwar, dalam kenyataan yang mengkritik pentadbiran pimpinan Muhyiddin sebelum ini yang menyaksikan saiz kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia.
Semasa Muhyiddin sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 sehingga Ogos 2021, Kabinet pimpinannya mempunyai seramai 32 orang menteri dan 38 timbalan menteri.
Dalam pada itu, seorang penganalisis politik percaya bahawa usaha Anwar untuk membuktikan keabsahan kepimpinannya di Parlimen merupakan satu langkah berisiko memandangkan situasi politik masa kini yang sentiasa berubah.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata perdana menteri itu mungkin berasa yakin dengan bilangan sokongan yang dimilikinya ketika dilantik pada Khamis lalu.
"Sebab itu beliau mencadangkan supaya dibuat sesi undi percaya di Parlimen pada 19 Disember depan. Tetapi sudah tentu situasi kini menjadi semakin cepat berubah-ubah.
"Jika kamu ingat, beberapa hari lepas berlakunya satu pertemuan yang dipanggil 'Langkah Tropicana' dan sebagainya, jadi saya sendiri tidak pasti jika 19 Disember nanti beliau masih mendapat sokongan majoriti.
"Ia adalah sesuatu yang berisiko buat Anwar, tetapi jika beliau berjaya, sudah tentu ia sesuatu yang bagus bagi Perdana Menteri itu," kata Oh kepada BenarNews.
Mengenai pembentukan Kabinet, penganalisis itu percaya bahawa Anwar berdepan dua cabaran terbesar iaitu untuk mengecilkan anggota Jemaah Menterinya serta memastikan bahawa mereka yang mengisi jawatan terutama bagi portfolio penting adalah mereka yang benar-benar berkelayakan dan berpengatahuan.
Tambah Oh, dengan banyak parti yang terlibat dalam gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan, hampir setiap parti akan meminta diberikan sekurang-kurangnya satu jawatan menteri manakala yang mempunyai bilangan kerusi yang banyak akan meminta lebih.
"Jadi bagaimana untuk beliau mengecilkan saiz Kabinet? Selain itu, beliau juga perlu meletakkan individu yang kompeten dan profesional untuk mengisi jawatan terutama di kementerian yang penting seperti kementerian perindustrian dan kementerian kewangan.
"Bagaimana beliau memastikan bahawa mereka ini berkelayakan dan berkebolehan, dan bukan sekadar melantik ketua mana-mana parti yang mungkin bagus dalam politik tetapi tidak begitu mahir dalam bidang yang berkenaan."
Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat sebaliknya.
Kata beliau, walaupun ramai menganggap langkah Anwar mahu membuktikan keabsahan di Parlimen sebagai berisiko besar, namun beliau menjangka bahawa parti-parti politik yang kini mendokong kerajaan perpaduan akan terus menyokong Anwar.
"Meskipun ramai menganggap langkah Anwar berisiko besar tidak mendapat sokongan majoriti namun sokongan Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, dan calon bebas menjadi sumber sokongan Anwar yang dijangka akan terus menyokong kepimpinan Anwar," kata Awang Azman kepada BenarNews.