Ketua Pembangkang Keluarkan Memo Kepada Ahli Parlimen, Rayu Agong Tarik Balik Darurat

Anwar Ibrahim mendakwa nasihat yang disampaikan PM kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat adalah tersasar dan tidak sah.
Noah Lee
2021.01.14
Kuala Lumpur
Ketua Pembangkang Keluarkan Memo Kepada Ahli Parlimen, Rayu Agong Tarik Balik Darurat Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang semasa bercakap pada sidang media khas selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi memaklumkan yang beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimeh untuk membentuk kerajaan baharu, di Kuala Lumpur, 13 September 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Khamis memberitahu yang beliau akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan darurat dan memohon sidang parlimen diadakan segera bagi membahaskan isu darurat, lonjakan kes COVID-19 serta kemelut ekonomi berkaitan pandemik, dengan mendakwa Perdana Menteri memberi nasihat tersasar kepada Al-Sultan Abdullah.

Anwar juga mendakwa Muhyiddin Yassin menggunakan alasan pandemik untuk mempertahankan kedudukannya kerana pada masa yang sama kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri tersebut berdepan dengan kemerosotan sokongan daripada Ahli Parlimen.

Sehubungan itu, pemimpin pembangkang berkenaan meminta Ahli-ahli Parlimen supaya mengemukakan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan kadar segera.

“Perdana Menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sesungguhnya tidak terkait dengan permasalahan COVID-19, banjir atau ekonomi. Perdana Menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa.

"Justeru itu, adalah diharapkan saudara Yang Berhormat dapat menyampaikan memo kepada Yang di-Pertuan Agong memohon ihsan dan kebijaksanaan Baginda untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari, 2020 untuk membahaskan isu darurat, COVID-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

“Saya cadangkan agar Yang Berhormat kemukakan rayuan tersebut dalam kadar segera sebelum hari Jumaat,” kata Anwar dalam memonya yang dikeluarkan menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang kepada semua Ahli Parlimen bertarikh 14 Januari.

Tindakan Anwar itu dibuat tiga hari selepas Istana Negara mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan darurat diisytiharkan bagi membendung pandemik COVID-19, yang semakin memburuk di Malaysia.

Beberapa jam selepas kenyataan Istana Negara,  Muhyiddin tampil dalam siaran secara langsung di stesen-stesen televisyen dan media sosial memberi jaminan kepada rakyat bahawa langkah pengisytiharan darurat bukanlah rampasan kuasa, sebaliknya lebih tertumpu kepada penangguhan persidangan Parlimen, Dewan Undangan Negeri termasuk pilihan raya tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat sehingga tamat pada 1 Ogos depan.

Di dalam memo Ketua Pembangkang kepada Ahli Parlimen itu dengan sesalinan telah diedarkan kepada media, Anwar berkata cadangan yang disampaikan oleh Muhyiddin kepada Sultan Abdullah itu adalah sesuatu yang tidak sah.

"Cadangan dikemukakan Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional adalah tanpa keabsahan dengan penyusutan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan," kata beliau.

Tambahnya, kerajaan tidak memerlukan darurat kerana kerana peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi mengekang penularan wabak COVID-19 adalah mencukupi, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sedang berjalan di enam buah negeri, serta PKP Bersyarat.

“Tidak memerlukan darurat, kemelut ekonomi amat memperihatinkan manakala jumlah pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan bertaman. Darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi tambah meruncing,” kata Anwar lagi.

Tarik balik sokongan

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara, Perdana Menteri telah mengadap Sultan Abdullah pada petang Isnin (11 Jan) di mana beliau telah menyembah maklum mengenai keputusan kabinet berhubung cadangan untuk pengisytiharan proklamasi darurat bagi membendung pandemik COVID-19.

Lewat hari yang sama, Majlis Presiden Pakatan Harapan yang membuat mesyuarat tergempar susulan pengisytiharan darurat itu dengan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Muhyiddin bahawa kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia daripada COVID-19.

Ia berlaku hanya dua hari selepas Ahli Parlimen Machang dari Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan mengumumkan yang beliau telah menarik balik sokongan terhadap Muhiyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir Putrajaya.

Pengumuman Ahmad Jazlan itu dilihat boleh menyebabkan keadaan goyah dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin serta turut boleh menyebabkan kehilangan majoriti di Parlimen.

Pada hari yang sama Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung perngisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazir Aziz juga dari UMNO, telah turut mengumumkan keputusan menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Terpulang kepada Agong

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik berkata bahawa gesaan yang dibuat Anwar meminta Ahli Parlimen mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu adalah sebahagian daripada hak bersuara mereka.

Tunku Mohar Mokhtar, Pensyarah Saintis Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata kini terpulang kepada Al-Sultan Abdullah sama ada untuk mempertimbangkan rayuan Anwar dan Ahli Parlimen, ataupun tidak.

"Mereka berhak untuk menyatakan pandangan mereka mengenai perisytiharan darurat ini, dan sekiranya Ahli Parlimen bersetuju dengan Anwar, mereka patut menyatakan bangkangan mereka terhadap pelaksanaan darurat itu.

"Baginda telah membuat keputusan berdasarkan nasihat Perdana Menteri dan kabinetnya. Baginda boleh atau tidak mendendar pandangan-pandangan yang bertentangan.

“Namun begitu, secara konvensyen, Baginda hanya patut mendengar nasihat Perdana Menteri selain boleh mempertimbangkan pandangan-pandangan yang berbeza untuk mengimbangi nasihat dari Perdana Menteri," katanya kepada BeritaBenar.

Tunku Mohar juga percaya ramai Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan akan menyokong inisiatif Anwar itu, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia akan mendapat sokongan ramai Ahli Parlimen lain terutamanya UMNO.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.