Akta Kebebasan Maklumat mudahkan orang awam akses maklumat kerajaan

Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) bersetuju secara prinsip berhubung penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dengan garis panduan jelas, kata perdana menteri.
Noah Lee & Minderjeet Kaur
2023.09.15
Kuala Lumpur
Akta Kebebasan Maklumat mudahkan orang awam akses maklumat kerajaan Bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya yang sedang dibaik pulih, 14 Jun 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia bersetuju dengan penggubalan satu undang-undang baharu yang bertujuan memberikan rakyat negara itu akses kepada maklumat dari badan awam dan kerajaan, yang selaras dengan usaha meningkatkan kemampanan tata kelola kerajaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) dalam mesyuarat yang dipengerusikannya pada Khamis, secara prinsipnya bersetuju dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat itu.

"...nescaya ia tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah.

"Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani," kata Anwar dalam satau kenyataan.

Akta Kebebasan Maklumat atau FOIA, yang tertangguh sejak dicadangkan pada 2018, dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Mesyuarat Ketiga Parlimen pada Oktober ini.

Selaras dengan persetujuan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat itu, Anwar berkata Akta Rahsia Rasmi 1972 - undang-undang lapuk yang sering dikritik kerana dikatakan menjadi alat kerajaan untuk menutup kesalahan dilakukan anggota pentadbiran dan pegawai kerajaan-juga akan dipinda.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara," kata perdana menteri.

Persetujuan Kabinet berhubung penggubalan FOIA serta pindaan ke atas OSA itu merupakan antara langkah terbaharu yang diambil Putrajaya ke arah meningkatkan ketelusan kerajaan pimpinan Anwar.

Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasakan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara, jelas Anwar.

Sementara itu, pengumuman itu disambut baik oleh beberapa pemerhati politik, aktivis dan peguam yang menyifatkannya sebagai langkah ke hadapan yang mampu meningkatkan ketelusan serta mengurangkan masalah rasuah dan salah guna kuasa di dalam perkhidmatan awam dan pengurusan negara.

Tawfik Ismail, bekas Ahli Parlimen dan merupakan anak kepada timbalan perdana menteri kedua negara, berkata penggunaan OSA sebelum ini sering membangkitkan masalah kerana undang-undang itu amat subjektif dan mempunyai tafsiran yang amat luas.

"Apa-apa sahaja yang dianggap rahsia rasmi dan diklasifikasikan sedemikian tidak boleh dibincangkan atau didedahkan kepada umum, dan ini telah mempermudahkan pihak berkuasa untuk menutup apa-apa perkara yang mereka anggap sebagai sensitif atau kontroversi.

"Ia merupakan satu undang-undang yang tidak adil dan boleh membawa kepada salah guna kuasa," katanya kepada BenarNews.

Peguam Bastian Pius Vendargon pula berpendapat walaupun butiran mengenai FOIA dan pindaan ke atas OSA itu masih belum didedahkan dan menyebabkan ramai tidak pasti sejauh mana keberkesannya kelak, persetujuan kabinet itu merupakan satu langkah baik dari segi peraturan perundangan.

Bagaimanapun, kata peguam itu, FOIA mesti digubal dengan sebaik-baiknya untuk membolehkan rakyat mendapat akses kepada pelbagai jenis maklumat secara meluas, dengan pengecualian hanya kepada perkara yang mempunyai kaitan dengan keselamatan negara atau rahsia peperangan yang sensitif.

"Oleh itu, OSA harus digunakan hanya untuk perkara-perkara berkaitan keselamatan dan pertahanan seperti kekuatan ketenteraan negara. Kita tidak sepatutnya membuka rahsia pertahanan negara, dan langkah ini selari dengan negara-negara lain juga seperti di UK.

"FOIA pula akan menggalakkan ketelusan, tata kelola yang baik serta prinsip-prinsip demokrasi. Ia mampu mengurangkan rasuah dan meningkatkan tata kelola baik dengan mendedahkan berapa banyak wang negara yang digunakan untuk projek-projek," kata beliau kepada BenarNews.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata sudah tiba masanya bagi FOIA dikuatkuasakan di dalam negara dan OSA dipinda kerana perundangan sedia ada menyekat kebebasan rakyat.

"Perubahan ini merupakan satu perkara yang akan memberikan manfaat kepada semua rakyat dan bukan hanya pembangkang.

"Reformasi ini penting untuk memastikan ketelusan dan kebebasan maklumat," kata Azmi.

Gerald Joseph, bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, pula mencadangkan supaya kerajaan menggunakan standard antarabangsa dalam menggubal FOIA di Malaysia.

Menurutnya undang-undang itu akan hanya berkesan sekiranya ia dapat memastikan bahawa semua peringkat badan kerajaan diwajibkan memberikan maklum balas kepada semua permintaan maklumat dalam jangka masa yang ditetapkan.

"Ia juga perlu ada satu suruhanjaya bebas yang boleh bertindak apabila pegawai kerajaan gagal memberikan kerjasama sepatutnya dan mengikut tempoh masa yang berpatutan," kata Gerald kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.