Kestabilan politik, ketelusan tarik gergasi korporat dunia melabur di Malaysia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Amazon Web Services dan Tesla komited untuk melabur di negara itu.
Noah Lee
2023.03.07
Kuala Lumpur
Kestabilan politik, ketelusan tarik gergasi korporat dunia melabur di Malaysia Peserta berjalan melepasi ruang ekspo di AWS Re: Invent 2022, persidangan yang dianjurkan oleh Amazon Web Services (AWS), di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, 30 November 2022.
[Noah Berger/AWS/melalui Reuters]

Kestabilan politik dan amalan ketelusan dalam menjalankan urusan di Malaysia merupakan antara sebab gergasi korporat Amazon Web Services (AWS) memilih untuk membawa pelaburan berjumlah RM25.5 bilion (AS$6 bilion) masuk ke negara itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Selasa.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa kemasukan pelaburan baharu oleh AWS serta Tesla akan mewujudkan ribuan peluang kerja baharu bagi rakyat negara itu. AWS mengumumkan langkah itu minggu lepas, manakala Tesla pada masa sama menyatakan akan menyediakan pusat servis dan jaringan 'supercharger' di Malaysia.

"Hala tuju kerajaan dalam program dan inisiatif pendigitalan serta kestabilan Kerajaan Perpaduan pada hari ini merupakan antara faktor utama kepada keputusan AWS memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi di negara kita. Dan ini merupakan satu kejayaan buat negara kita," kata Anwar semasa menjawab soalan diajukan kepada beliau semasa sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

"Pengumuman AWS mengenai pelaburan ini diyakini akan membantu pertumbuhan positif sektor ekonomi digital Malaysia selari dengan wawasan Malaysia Madani iaitu ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, inklusif dan mampan," tambah perdana menteri itu lagi.

Menurut beliau, kesediaan syarikat-syarikat gergasi seperti AWS dan Tesla membawa masuk pelaburan mereka ke Malaysia mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Selain itu, pelaburan baharu tersebut juga dijangka akan membawa kesan positif kepada ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia, kata Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

AWS merupakan sebuah syarikat global yang menyediakan platform 'cloud computing' (pengkomputeran awan) kepada ratusan ribu perusahaan di 190 buah negara, menurut laman web syarikat itu.

Pada 1 Mac lalu, AWS yang merupakan anak syarikat Amazon.com Inc, mengumumkan rancangan untuk melaburkan sejumlah AS$6 bilion dalam tempoh 14 tahun bagi memperkukuhkan perkhidmatan pengkomputeran awannya di Malaysia, menurut laporan agensi media antarabangsa (Reuters).

Pada hari yang sama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan bahawa ia telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Bateri Kenderaan Elektrik (BEV), dan syarikat pembuat kenderaan elektrik itu akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia.

Selain itu, syarikat berkenaan juga akan memperkenalkan Pusat Pengalaman Tesla dan Pusat Servis Tesla, serta mewujudkan rangkaian pengecas Superchargernya.

Perintis pelaburan asing

Anwar dalam kenyataannya di Parlimen pada Selasa menyuarakan keyakinan beliau bahawa kemasukan pelaburan oleh dua syarikat gergasi berkenaan akan dapat menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.

"Dengan komitmen pelaburan oleh AWS dan Tesla ini, saya yakin ia akan menjadi perintis untuk menarik minat lebih banyak pelabur asing bernilai tinggi dan menyertai mereka melabur di Malaysia," kata beliau.

Sementara itu, seorang pakar ekonomi berkata kebolehan negara membawa masuk syarikat gergasi dunia untuk melabur merupakan satu kejayaan besar dan bakal menarik minat pemain-pemain industri yang lain.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway memberitahu BenarNews bahawa kestabilan politik merupakan satu kriteria penting untuk pelabur terutama mereka yang terlibat dalam pelaburan jangka panjang.

"Kemampuan menarik masuk syarikat ikon seperti ini merupakan satu tanda kejayaan, kerana ia akan menarik ramai pemain industri serta mereka yang terlibat dalam rantaian bekalan, termasuk perusahaan yang menyediakan perkhidmatan sokongan dan sampingan kepada syarikat gergasi berkenaan.

"Dengan komitmen negara terhadap tadbir urus yang baik serta pengukuhan daya tahan ekonomi negara dan kesepaduan sosial, negara kini berada di landasan yang betul untuk menggilap kembali imejnya yang telah tercemar oleh ketidakstabilan politik dan skandal-skandal menggemparkan, " kata beliau.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut bersetuju dengan kenyataan mengenai keperluan kestabilan politik untuk menarik pelabur asing ke Malaysia.

"Malaysia memang memerlukan kestabilan politik untuk menarik minat pelaburan berimpak tinggi ke negara itu.

"Akan tetapi, kestabilan politik mengikut kefahaman pelabur dari negara barat tidak semestinya bermaksud sesuatu kerajaan yang lama atau tidak bertukar, tetapi transisi antara kerajaan yang lancar dan demokratik serta kesinambungan pelaksanaan polisi, " kata beliau kepada BenarNews.

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.