Yang di-Pertuan Agong Malaysia Perkenan Pengampunan Penuh Kepada Anwar Ibrahim

N. Nantha & Hadi Azmi
2018.05.16
Kuala Lumpur, Malaysia
180516-MY-AnwarFree1000.jpg Bekas timbalan perdana menteri dan juga ketua pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim semasa mahu meninggalkan sebuah hospital di Kuala Lumpur, 16 Mei 2018.
AP

Ahli politik Malaysia Anwar Ibrahim menerima pengampunan penuh diraja pada Rabu, menurut kenyataan peguamnya dan Istana Negara, yang menyaksikan beliau bebas keluar dari sebuah hospital di Kuala Lumpur di mana beliau menjalani rawatan di bawah kawalan polis.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 70 tahun yang telah dipenjarakan sebanyak dua kali, dibebaskan beberapa hari selepas pakatan pembangkang yang disertainya meraih kemenangan mengejut dalam pilihan raya umum sekali gus menyumbang kepada kejatuhan politik Perdana Menteri Najib Razak.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, mengikut nasihat Lembaga Pengampunan… telah mengisytiharkan bahawa rayuan untuk pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta Anwar Ibrahim telah diperkenan,” kata Wan Ahman Dahlan Abdul Aziz, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam satu kenyataan.

Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah, memberitahu pemberita bahawa pengampunan penuh Agong itu bermakna semua sabitan lalu bekas pemimpin pembangkang tersebut telah dipadamkan.

“Beliau bukan hanya dibebaskan dari segi fizikal, tetapi juga bebas untuk menyertai politik negara seolah-olah sabitan lalu tidak wujud,” kata Sivarasa.

Anwar telah meringkuk selama lapan tahun dalam penjara sejak 20 tahun lepas apabila disabitkan dengan kesalahan yang didakwa oleh penyokongnya adalah bermotifkan politik.

Bagaimanapun, harapan untuk Anwar mengambil alih pentadbiran negara dengan segera agak kabur.

Beliau telah dihukum penjara selama lima tahun pada 2015 atas pertuduhan liwat yang disifatkan penyokongnya sebagai bermotifkan politik oleh Perdana Menteri Najib Razak, yang kini digulingkan, dalam percubaan untuk mengakhiri kerjaya politiknya.

Pembebasan Anwar berlaku sehari selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata beliau berhasrat untuk kekal sebagai pemimpin negara selama “satu atau dua tahun” selepas memimpin pembangkang memperoleh satu kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya umum minggu lepas.

Blok pembangkang telah menghancurkan dominasi gabungan parti pemerintah di Malaysia apabila meraih kemenangan mengejut pada pilihan raya umum 9 Mei. Parti Anwar, PKR, memenangi 48 daripada 113 kerusi parlimen yang ditawan oleh empat parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan (PH) dan beliau dijangka menggantikan Mahathir apabila perdana menteri berusia 92 tahun itu melepaskan jawatan.

Mahathir telah berjanji dalam kempen pilihan raya bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Mahathir mengejutkan negara pada Februari 2016 apabila beliau meninggalkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti peneraju dalam blok pemerintah yang telah mendominasi politik Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957, dan bergabung dengan Anwar, bekas musuh ketatnya yang pernah beliau sumbat ke dalam penjara atas pertuduhan liwat.

Pertuduhan liwat membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun di Malaysia, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Tanpa pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Anwar akan hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas beliau dibebaskan.

Pada 20 Sept 1998, Anwar mengalami kecederaan mata lebam ketika berada di bawah tahanan polis sejurus selepas beliau ditahan kerana didakwa mengetuai satu perhimpunan anti-kerajaan. Foto yang menunjukkan matanya yang lebam dan sebelah tangan diangkat telah menjadi simbol politik pembangkang dalam banyak poster.

Anwar dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir pada 2 Sept 1998 semasa beliau dilaporkan sedang disiasat oleh polis. Beliau telah dihukum penjara enam tahun bagi kesalahan rasuah pada April 1999 dan sembilan tahun bagi kesalahan liwat pada Ogos 2000. Beliau telah dibebaskan pada 2004 selepas mahkamah tertinggi negara mengenepikan sabitan liwatnya namun mengekalkan sabitan berhubung kesalahan rasuah.

Sekali lagi Anwar berdepan halangan untuk berkuasa selepas disabitkan dengan kesalahan liwat yang kedua. Beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan pada 2012 namun Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan itu dua tahun kemudian dan mengarahka ia diganti dengan hukuman penjara selama lima tahun.

Pada 10 Feb 2015, panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan beliau telah ditahan.

Semasa keputusan pengundian bersejarah dicapai minggu lepas, Anwar sedang terlantar sebagai seorang banduan di Hospital Rehabilisasi Cheras selepas mengalami kecederaan bahu ketika dibawa oleh sebuah van penjara.

Isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, telah dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang baharu dan memenangi satu daripada 222 kerusi parlimen pada Rabu lepas, sekali gus menghadiahkan majoriti mudah kepada Pakatan Harapan untuk menewaskan BN.

"Ini adalah antara hadiah paling manis untuk kami sekeluarga,” kata anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, kepada pemberita pada Selasa.

Pembebasan Anwar bermakna beliau akan berada di rumah bersama-sama keluarganya untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, bulan paling mulia bagi orang Islam, yang bermula pada Khamis.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.