Pembangkang: Enggan Luluskan Belanjawan Tanpa Peruntukan Lebih Bagi Perlindungan Sosial COVID-19

Hadi Azmi & Muzliza Mustafa
2020.11.09
Kuala Lumpur, Malaysia
201109-MY-Anwar1000.jpg Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim semasa sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Malaysia, 23 September, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Blok pembangkang, Pakatan Harapan, tidak akan menyokong Belanjawan 2021 kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kecuali jika ia meminda untuk menambah peruntukan bagi perlindungan sosial golongan rentan sehingga berakhirnya pandemik koronavirus, kata pemimpinnya Anwar Ibrahim di Parlimen pada Isnin.

Penggubal undang-undang pada Isnin mula membahaskan rancangan perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion (AS$78.1 bilion) itu, yang dibentangkan di Parlimen pada Jumaat. Keputusan mengenai belanjawan itu dilihat amat penting bagi kelangsungan politik Muhyiddin kerana sekiranya rang undang-undang pertamanya sebagai perdana menteri itu gagal diluluskan ia adalah sama seperti undi tidak percaya terhadap kerajaannya yang bukan dipilih, yang hanya bergantung kepada majoriti tipis di Parlimen.

"Saya ingin tekan di sini bahawa kita diminta untuk menyokongnya dengan andaian bahawa ini adalah belanjawan COVID-19, tetapi pada pandangan saya, ia akan hanya disokong jika ia benar-benar belanjawan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik COVID-19. Belanjawan 2021 akan hanya disokong sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk membantu rakyat," kata Anwar.

"Saya mahu tekankan di sini bahawa saya tidak mahu adanya andaian mudah," kata pemimpin pembangkang itu semasa membahaskan rang undang-undang berkenaan.

Beliau merujuk kepada andaian bahawa pakatan pembangkangnya akan meluluskan belanjawan itu.

"Keadaan sekarang berbeza. Kerajaan, perdana menteri dan menteri kewangan tahu bahawa belum ada kepastian belanjawan dalam bentuk sekarang - kalau tidak dipinda untuk membela nasib rakyat seperti yang kita tuntut – akan diluluskan dengan mudah,” kata Anwar dalam perbahasan itu.

Anwar juga berkata bahawa belanjawan itu tidak menggambarkan sepenuhnya enam tuntutan Pakatan Harapan termasuk berhubung lanjutan moratorium bagi pembayaran pinjaman dan subsidi upah sehingga akhir Mac 2021.

Yang di-Pertuan Agong, yang melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Mac lalu, menitahkan pada bulan lalu bahawa belanjawan itu amat penting dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi.

“Dalam pada kami mungkin meluluskan belanjawan ini, kami tidak mahu berkompromi dalam soal emolumen dan gaji petugas barisan hadapan. Sama ada kami menyetujui atau menolak belanjawan ini, kami akan memastikan adanya rancangan segera untuk memastikan bahawa ia tidak akan membebankan rakyat, terutama penjawat awam, pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan."

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM17 bilion (AS$4.1 bilion) untuk menangani pandemik COVID-19 pada tahun depan.

Muhyiddin memerlukan majoriti mudah daripada 112 daripada 222 Ahli Parlimen untuk meluluskan belanjawan itu bagi mengelak berdepan situasi serupa berkaitan undi tidak percaya.

Pakatan Harapan kini mempunyai 91 Ahli Parlimen tetapi pada  September, Anwar menyatakan bahawa lebih 120 Ahli Parlimen menyokong usahanya untuk membentuk kerajaan baru.

Parti gabungan kerajaan mempunyai 113 Ahli Parlimen dengan kebanyakan mereka, termasuk dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sejak beberapa minggu lalu menyatakan bahawa mereka akan menyokong kerajaan walaupun terdapat pertikaian dalam gabungan itu sejak September.

Pemimpin UMNO, yang mempunyai 39 Ahli Parlimen, baru-baru ini turut menyatakan bahawa parti itu mahukan pilihan raya mengejut diadakan selepas COVID-19 dapat ditangani.

Dan, usaha Muhyiddin pada bulan lalu bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat - permohonan yang ditolak baginda – turut tidak disokong oleh beberapa ahli UMNO.

‘Cek kosong’

Sebelum belanjawan itu dibentangkan, UMNO mendesak Muhyiddin supaya menyediakan peruntukan bagi membolehkan pekerja sektor swasta mengeluarkan RM10,000 (AS$2,433) daripada tabung caruman persaraan wajib mereka.

Semasa membentangkan belanjawan itu pada Jumaat, kerajaan berkata ia akan membenarkan pengeluaran berjumlah RM6,000, iaitu RM500 ringgit sebulan selama 12 bulan, dari akaun 1 pencarum bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik itu.

Dalam perbahasan belanjawan yang akan datang, penggubal undang-undang UMNO perlu membincangkan lima isu termasuk had pengeluaran daripada tabung caruman itu dan lanjutan moratorium pembayaran pinjaman, kata ketua sayap pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dasuki, dalam catatan Facebook beliau pada  Ahad.

Muhyiddin perlu menyelesaikan dahulu masalah berbangkit dengan sekutu utamanya, UMNO, kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BeritaBenar pada Isnin.

“UMNO juga mempunyai tuntutannya sendiri. Ini menjadikan keadaan yang amat sukar bagi kerajaan sekarang. Nampaknya, ia tidak berunding dengan pihak lain dalam menyelesaikan masalah berbangkit itu sebelum membentangkan belanjawan tersebut,” kata Tunku Mohar.

"Isu yang paling penting ialah mendapatkan sokongan UMNO kerana dalam sistem parti Malaysia, seperti mana dalam sistem lain, [hanya] parti pembangkang dijangka membantah usul kerajaan."

Ketika Anwar memberitahu Parlimen bahawa pakatannya akan memastikan pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan tidak terus terbeban, beliau membayangkan bahawa beliau akan berbuat demikian sekiranya menjadi perdana menteri selepas membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mendapat sokongan majoriti, kata Tunku Mohar.

"Anwar menyarankan Pakatan sedia menyokong belanjawan itu, tetapi tidak memberi [Muhyiddin] ‘cek kosong’. Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa jika belanjawan itu tidak diluluskan, beliau [dan Pakatan Harapan] akan memastikan emolumen berterusan untuk penjawat awam dan petugas barisan hadapan diberi segera,"kata Tunku Mohar.

"Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan terjejas," kata penganalisis itu. "Beliau membayangkan bahawa sekiranya beliau mengambil alih kerajaan, beliau akan segera menyelesaikan masalah emolumen perkhidmatan awam."

Namun, kata Tunku Mohar, belanjawan pasti diluluskan sekiranya beberapa tuntutan Anwar dipenuhi.

Pada lewat Isnin, Muhyiddin mempengerusikan satu mesyuarat  gabungan parti yang diterajuinya namun tidak diketahui sama ada isu belanjawan dibincangkan dalam pertemuan itu.

Peruntukan JASA dikritik

Sementara itu, beberapa ahli UMNO dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengkritik peruntukan yang mereka sifatkan sebagai amat besar untuk agensi maklumat kerajaan yang dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

JASA, yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dibubarkan semasa pemerintahan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2019 tetapi ditubuhkan semula dengan Belanjawan 2021 memperuntukkan RM85.5 juta (AS$20.8 juta), yang merupakan pertambahan besar berbanding peruntukan tahunan purata sebanyak RM23.5 juta (AS$5.7 juta) yang diterimanya dari 2011 hingga 2018.

Kementerian Multimedia dan Komunikasi menyatakan bahawa JASA ditubuhkan semula untuk membantu kerajaan dalam memerangi maklumat salah dan berita palsu COVID-19.

“JASA sebagai agensi kerajaan  berperanan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu melalui penyebaran maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat,” kata kementerian itu bagi memperjelaskan peruntukan yang diterima JASA, dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Penyebaran berita palsu yang memecahbelahkan keharmonian masyarakat juga antara cabaran besar dihadapi oleh masyarakat majmuk kita hari ini.”

Puad Zarkashi, bekas ketua pengarah JASA dan anggota Majlis Tertinggi UMNO, menyatakan bahawa kementerian itu cuba mengaburi peranan JASA.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah "tidak perlulah bersikap defensif dan menyatakan bahawa JASA tidak mempunyai kaitan politik dengan kerajaan," kata Puad dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Isnin.

"Tujuan JASA memang untuk politik, jangan apologetic tentang hal itu. JASA tidak memerlukan peruntukan sebanyak RM85.5 juta melainkan untuk tujuan lain. Yang penting di sini ialah kecekapan. Perdana menteri perlu menjawab secara lanjut tentangnya di Parlimen,” kata Puad.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.