Belanjawan 2024 lebih kecil, utamakan perbelanjaan berhemah, kurangkan defisit fisikal
2023.10.13
Kuala Lumpur
Malaysia akan sekali lagi menyasarkan golongan kaya pada tahun 2024 dengan memperkenalkan cukai keuntungan modal dan mengenakan cukai barangan mewah sambil terus mengurangkan subsidi kepada kumpulan berpendapatan tinggi, demikian umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim apabila membentangkan belanjawan yang lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.
Kemakmuran seharusnya “memanfaatkan semua segmen dalam masyarakat”, ujar Anwar, yang juga memegang potfolio Menteri Kewangan, sambil menekankan kepada perbelanjaan berhemah bagi mengurangkan defisit fiskal.
Belanjawan 2024 berjumlah RM393.8 bilion (AS$83.34 million) berbanding tahun 2023 itu dibantu oleh komitmen kewangan yang lebih rendah berikutan kerajaan tidak lagi menanggung penebusan bond dana pelaburan 1MDB berdasarkan kepada laporan terkini Kementerian Kewangan Malaysia.
“Disebabkan perbelanjaan yang mewah sebelum ini, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di samping menempatkan semula kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.”
“Untuk mencapai ini, sumber-sumber kewangan negara mesti diuruskan dengan cermat, di samping memastikan kekayaan negara menzahirkan manfaat kepada keseluruhan populasi,” ujar Perdana Menteri itu semasa membentangkan Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Parlimen pada Jumaat.
Ini adalah belanjawan pertama Anwar yang dirangka sepenuhnya dari awal, selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November tahun lalu.
Daripada jumlah belanjawan keseluruhan, 77.1 peratus atau RM303.8 bilion (AS$64.36 million) diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM90 bilion (AS$19 billion) akan disalurkan untuk perbelanjaan pembangunan.
Anwar turut mengumumkan langkah meluaskan sumber pendapatan kerajaan dengan menaikkan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus bagi sektor logistik, perkhidmatan insuran dan karaoke.
Cukai keuntungan modal akan diperkenalkan pada kadar 10 peratus bagi jualan saham yang tidak tersenarai oleh syarikat-syarikat tempatan bermula Mac 1 tahun hadapan. Pengecualian bagi tawaran terbitan saham awam (IPOs) pula sedang dipertimbangkan.
Memperkasa sistem sokongan
Undang-undang percukaian baharu ke atas barangan mewah seperti barangan kemas dan jam tangan ditetapkan pada kadar lima hingga 20 peratus, akan diperkenalkan, ujar Anwar lagi.
Malaysia juga bakal menggunapakai standard percukaian antarabangsa bagi mengekang perbuatan mengelak cukai dengan memperkenalkan cukai minimum global menjelang 2025, yang hanya akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat dengan pendapatan global melebihi
750 juta euro (AS$789 million).
Antara langkah reformasi percukaian bagi melonjakkan pendapatan kerajaan adalah dengan memperkenalkan ‘e-invoicing’ ke atas pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta (AS$21.1 million), yang akan dilaksanakan bermula 1 Ogos tahun hadapan.
Kementerian Kewangan, Pendidikan dan Kesihatan muncul sebagai penerima terbesar belanjawan dengan mewakili 42.3 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan.
Kementerian Pertahanan pula bakal menerima peruntukan sebanyak RM38 billion (AS$8 billion) disusuli kementerian dalam negeri yang akan menerima RM19 billion (AS$4 billion).
Anwar memaklumkan Dewan Rakyat yang pentadbirannya juga akan memulakan perolehan 12 buah helikopter, 60 kereta perisai, 50 kenderaan taktikal ringan, enam hovercraft serta 733 kenderaan sokongan untuk tentera, tujuh kapal terbang ringan untuk polis dan lima helikopter untuk kegunaan polis pada tahun hadapan.
Belanjawan 2024 juga dirangka untuk beralih daripada subsidi pukal kepda subsidi bersasar bertujuan membela nasib golongan miskin. Malaysia memberikan pelbagai subsidi termasuk bahan api, minyak masak serta pelbagai barangan asas yang telah mengalami peningkatan harga akibat inflasi global.
Menurut Anwar, subsidi diesel akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat manakala kawalan harga yang ditetapkan ke atas ayam dan telur akan diteruskan sehingga harga di pasaran stabil.
Wang yang dijimatkan daripada program rasionalisasi bahan api akan disalurkan kepada golongan rentan menerusi bantuan Tunai Rahmah yang jumlah peruntukan keseluruhannya akan ditingkatkan dari RM8 bilion (AS$1.69 billion) kepada RM10 bilion (AS$2.1 billion) tahun hadapan .
Pendekatan berhemah
Geoffrey Williams, ahli ekonomi dan provos di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata dengan ketiadaan pembayaran balik hutang 1MDB pada tahun hadapan, membolehkan dana-dana berkenaan disalurkan kepada kegunaan lain yang lebih memerlukan.
“Ini adalah kelebihan yang jelas ke arah pengurusan dasar fiskal and tatakelola yang baik,” ujanya kepada BenarNews.
Menurutnya lagi, reformasi cukai termasuk cukai keuntungan modal dan meningkatkan dua peratus cukai perkhidmatan ke atas golongan bependapatan tinggi dan pada masa yang sama melindungi kumpulan berpendapatan rendah membuktikan bahawa “perubahan kecil tetapi perubahan cukai yang bermakna akan membantu tanpa perlu mempekenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Anwar, pada Ogos lalu dilaporkan berkata pendapatan rakyat mesti meningkat terlebih dahulu sebelum GST boleh dilaksakan semula.
Yeah Kim Leng, pengarah Program Kajian Ekonomi di Jeffrey Cheah Institut Asia Tengara berkata dengan harga minyak mentah dunia akan meningkat susulan peningkatan risiko geo-politik, adalah penting bagi kerajaan memulakan program rasionalisasi subsidi bahan api.
“Perubahan daripada pemberian subsidi secara pukal kepada subsidi bersasar adalah lebih baik dilaksanakan sedikit lewat berbanding tidak melakukan langsung, sebagai langkah mengukuhkan kedudukan fiskal dan bagi mengelakkan langkah percukaian yang lebih sukar.
Ujarnya lagi, cukai keuntungan modal yang akan dikenakan ke atas saham-saham yang tidak didaftarkan adalah langkah yang sederhana.
“Tiada sistem percukaian seperti pengenalan semula GST atau nilai tambah yang diumumkan. Justeru, belanjawan ini tidak menjadi beban kepada kebanyakan orang.
“Lagipun, lebih daripada 60 peratus daripada populasi negara ini dijangka menerima bantuan hasil langkah rasionalisasi bahan bakar.,” kata Yeah kepada BenarNews.
Kerajaan juga akan mengurangkan perbelanjaan untuk subsidi dan bantuan sosial tahun depan sekitar RM11.5 bilion kepada RM52.8 bilion, kerana ia bergerak ke arah bantuan yang disasarkan dan bukannya subsidi menyeluruh. Contohnya adalah meneruskan rebat elektrik untuk golongan miskin, sambil menghapuskan subsidi diesel secara berperingkat.
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.