Laporan kasino: Anwar Ibrahim dikritik saran tindakan diambil terhadap Bloomberg

Pendakwaan terhadap ahli politik pembangkang Perikatan Nasional bertujuan memberi amaran supaya tidak sebarkan maklumat tidak benar, kata penganalisis.
Ahmad Mustakim Zulkifli dan Nisha David
2024.04.30
Kuala Lumpur
Laporan kasino: Anwar Ibrahim dikritik saran tindakan diambil terhadap Bloomberg Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar yang berkenan berangkat ke Majlis Sulaman Kasih Aidifitri Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya, 24 April 2024.
[Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook]

Aktivis kebebasan bersuara dan media membidas Perdana Menteri Malaysia atas dakwaan mendesak supaya tindakan diambil terhadap agensi berita Amerika Syarikat (AS) berhubung laporan pembukaan kasino di Forest City yang diterbitkan berminggu lepas, selain menahan seorang anggota parti pembangkang dan mendakwanya atas hasutan pada Selasa apabila topik itu dibincangkan di media sosial.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) berkata Anwar Ibrahim mesti menarik balik ugutannya terhadap agensi media Bloomberg, atas laporan yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Laporan Bloomberg yang diterbitkan pada 24 April itu memetik sumber tidak dinamakan mendakwa Anwar mengadakan perbincangan bersama dua taikun yang juga pemilik syarikat perjudian terbesar di Malaysia, iaitu Vincent Tan, pengasas Kumpulan Berjaya dan Lim Kok Thay daripada Kumpulan Genting, selain wakil Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar membincangkan cadangan pembangunan kasino untuk menghidupkan projek Forest City di Johor.

"Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan syarikat-syarikat yang disebut mengenai kasino dalam laporan Bloomberg patut menarik balik ancaman mereka kepada sumber yang tidak dinamakan dalam berita dan membenarkan agensi itu melaporkan isu kepentingan nasional tanpa perlu takut kepada tindak balas.

"Kerajaan Anwar diundi atas platform reformis tetapi ancaman terhadap media seperti ini membawa kembali Malaysia kepada zaman autoritarian lampau," menurut wakil kanan CPJ Asia Tenggara, Shawn Crispin.

Khamis lepas, Anwar semasa ditanya mengenai kesahihan laporan agensi berita AS itu telah berkata ianya adalah sebagai "penipuan" dan menggesa pihak yang dikaitkan dalam perkara tersebut untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi terbabit.

"Tiada kasino berlesen...tipu...tidak betul," kata Anwar kepada pemberita di Putrajaya pada Khamis lalu.

Perbincangan awal dengan taikun tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memulihkan projek hartanah futuristik mewah bernilai AS$100 bilion (RM477 bilion) yang raja di negara itu sebagai salah seorang pemegang sahamnya, kata laporan Bloomberg yang memetik mereka yang mengetahui mengenai sebagai berkata.

“Kasino akan menjadi satu rangsangan kepada Forest City, penempatan kondominium yang dibina atas tanah yang ditambak oleh pemaju China, Country Garden Holdings Co.

“Ia bergelut untuk menerima penghuni dari China dan negara-negara lain akibat sejumlah halangan termasuk rintangan politik di Malaysia dan tindakan kerajaan China menghalang rakyatnya membeli hartanah di luar negara dan pandemik Covid-19," menurut laporan berkenaan.

Lapan bulan lepas, Anwar telah mengumumkan penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City untuk meningkatkan ekonomi Johor dan menggiatkan semula pembangunan selatan yang dilabelkan sebagai bandar hantu.

240430-MY-Inside1-Bloomberg.jpg

Pemandangan sebahagian daripada projek mewah Forest City, Johor di atas kawasan ditambak yang dibangunkan oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd, syarikat kerjasama Kumpulan Country Garden dengan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd yang disokong kerajaan Malaysia, 29 April 2024 [Ihsan Forest City]

Bloomberg yang telah mengemas kini laporan itu dengan memasukkan penafian Anwar berkaitan pembukaan kasino tersebut pada Khamis.

Sebagai rekod, satu-satunya pusat kasino di Malaysia terletak di kawasan peranginan Genting Highlands, Pahang dioperasikan oleh Kumpulan Genting manakala Kumpulan Berjaya memiliki rangkaian kedai judi nombor ekor Sports Toto.

Kedua-dua pemilik syarikat itu bagaimanapun telah menafikan penglibatan dalam perbincangan mengenai cadangan membina kasino di Forest City itu.

Vincent Tan turut membuat laporan polis pada Jumaat lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap berita itu manakala Genting Bhd memberikan amaran untuk mengambil tindakan lanjut dan meminta semua pihak untuk segera menghentikan penyebaran maklumat palsu terbabit.

Susulan kontroversi tersebut yang timbul ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu, di Selangor yang sedang berlangsung, dua aktivis parti pembangkang telah ditahan di bawah Akta Hasutan, dengan seorang lagi telah didakwa di bawah akta sama.

Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku tidak bersalah selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas dakwaan membuat penerbitan menghasut dalam satu hantarannya yang melibatkan laporan Bloomberg mengenai kasino di laman media sosial Facebook.

Terdahulu itu, di Kuala Lumpur, pada Isnin Badrul Hisham telah didakwa atas dua pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Seorang lagi aktivis pro-pembangkang Wan Muhammad Azri Wan Deris pula ditahan pihak polis pada Selasa susulan video berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang berkenan menerima mengadap pemilik rangkaian KK Super Mart Chai, Kee Kan susulan isu stokin tertera kalimah 'Allah'.

Wan Muhammad Azri pada Januari lepas turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan Akta Hasutan selepas menuduh kerajaan sebagai 'pro-Israel'.

240430-MY-Inside2-Bloomberg.jpg

Badrul Hisham Shaharin (tengah) atau lebih dikenali sebagai Chegubard diiringi anggota polis ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 29 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Amaran

Penganalisis politik daripada Universiti Tunku Abdul Rahman Liew Wui Chern berkata kerajaan dilihat lebih bertindak terhadap pembangkang berbanding Bloomberg.

"Kerajaan mahu menahan Badrul Hisham untuk memberi amaran kepada Perikatan Nasional dan jentera parti supaya tidak menyebarkan dakwaan yang tidak benar. Jika mereka bertindak terhadap Bloomberg, mereka tidak boleh mencapai objektif itu.

"Sebaliknya, mendakwa Bloomberg mungkin membawa lebih banyak masalah kepada kerajaan, memandangkan pembangkang boleh mengatakan kerajaan Anwar menekan kebebasan media," katanya kepada BenarNews.

Di bawah undang-undang berkaitan fitnah sedia ada, Seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pakar komunikasi daripada Universiti Teknologi Mara, Abdul Aziz Azizam pula berkata situasi menang-menang boleh dicapai jika Anwar menunjukkan ketegasan namun pada masa yang sama memberi peluang kepada Bloomberg untuk membuktikan maklumat yang diperoleh.

"Kerajaan mestilah berlaku adil kepada media yang sedia maklum mempunyai etika yang dipatuhi. Tindakan kerajaan menangkap orang lain padahal pihak lain yang menyiarkan berita itu boleh menimbulkan spekulasi negatif," katanya sambil menambah kerajaan dilihat 'kelam-kabut' dalam menguruskan persepsi berkaitan isu kasino itu.

Katanya, syarikat-syarikat terlibat wajar menyaman Bloomberg jika yakin tidak terlibat dengan perbincangan yang dilaporkan.
"Orang ramai mahu melihat itu. Hipotesisnya mudah. Jika anda benar-benar tidak terlibat, buktikan dengan menyaman Bloomberg," tambah Abdul Aziz.

Selain Badrul Hisham, kerajaan pimpinan Anwar telah menggunakan Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor pada Julai tahun lalu yang didakwa atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut membabitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia berkata penahanan dan pertuduhan terhadap Badrul Hisham adalah tindakan untuk menakut-nakutkan.

"Larangan 'hinaan' kepada figura awam kerana status mereka bertentangan dengan prinsip bahawa kerajaan sepatutnya menjadi subjek kepada pemerhatian dan kritikan awam.

“Prinsip ini penting terutamanya dalam kes-kes ketua negara yang tidak dipilih, termasuk monarki, yang tidak boleh dipertanggungjawabkan oleh rakyat," kata pengarah eksekutifnya, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kebebasan bersuara

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Isnin turut membuat laporan polis terhadap penulis blog, Murray Hunter yang mendakwa agensi kawalan komunikasi itu ditadbir secara politik.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyelar penahanan Badrul Hisham dan juga laporan polis oleh SKMM, kata pengarahnya Zaid Malek sambil menambah yang orang awam berhak untuk bertanya soalan berhubung pembabitan Anwar dalam perbincangan mengenai kasino itu.

"Ini adalah satu kegagalan kerajaan Madani berhubung janjinya melindungi kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Jika berita itu palsu, kerajaan boleh menafikan laporan dengan mengeluarkan kenyataan, yang mana ia sudah dilakukan.

"Mereka juga boleh mengambil tindakan sivil terhadap agensi berita yang bertanggungjawab ke atas berita yang didakwa palsu itu," tambah Zaid lagi.

Beliau dalam satu kenyataan berasingan pada Selasa mengkritik SKMM kerana membuat laporan polis terhadap Hunter dan menggesa Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bertanggungjawab terhadap tindakan SKMM.

Katanya, penafian menteri bahawa kebebasan bersuara ditekan di bawah kerajaan sekarang ini adalah tidak benar susulan tindakan SKMM, satu institusi di bawah kementeriannya.

Mengulas mengenai laporan polis terhadap Hunter, pengamal undang-undang Kelly Koh yang juga pegawai Program Sinar, inisiatif sivil yang memantau ketelusan digital berkata, kerajaan lebih wajar menunjukkan bagaimana kenyataan yang dikatakan menghasut itu adalah salah.

"Memandangkan kenyataan yang dikatakan menghasut itu dibuat sebagai respon kepada laporan media yang telah dinafikan, kenyataan itu telah hilang asasnya. Reman dan pendakwaan boleh dianggap sebagai tindakan berlebih-lebihan," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.