Anwar Ibrahim: Korupsi Konglomerat Disokong Pemerintah Barat

Nani Yusof
2019.02.12
Washington
190212-MY-Anwar599.jpg Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Mendepani Autoritarianisme’ pada Seymour Martin Lipset Ke-15 mengenai Demokrasi di Dunia anjuran The National Endowment for Democracy dan Kedutaan Kanada di Washington, Amerika Syarikat, 11 Februari 2019.
[Nani Yusof/BeritaBenar]

‘Rompakan’ yang dilakukan terhadap 1MBD [1Malaysia Development Berhad] tidak mungkin berlaku tanpa adanya penglibatan jenayah institusi kewangan antarabangsa, dengan salah laku dan korupsi itu menerima sokongan secara langsung daripada konglomerat dan pemerintah Barat, kata seorang pemimpin kanan Malaysia dari kerajaan baru Pakatan Harapan [PH].

Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Mendepani Autoritarianisme’ pada Seymour Martin Lipset Ke-15 mengenai Demokrasi di Dunia anjuran The National Endowment for Democracy dan Kedutaan Kanada di Washington pada Isnin.

"Pelaku kejahatan dan korupsi, secara langsung atau tidak, disokong oleh pemerintah Barat dan konglomerat…bagi hal yang melibatkan 1MDB, ia termasuklah Goldman Sachs,”katanya yang merujuk kepada skandal rasuah membabitkan dana Malaysia di mana firma kewangan global itu, yang berpejabat di Amerika Syarikat, didakwa menyelewengkan wang melalui bon-bon yang dikaitkan dengannya pada 2012 dan 2013.

Pada Disember lepas, Malaysia telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs, dua bekas eksekutifnya iaitu Tim Leissner and Roger Ng Chong Hwa, pembiaya kewangan dalam buruan polis Jho Low serta seorang bekas peguam Jasmine Loo Ai Swan kerana didakwa melakukan penyelewangan dengan mengaturkan urusniaga tiga bon yang dapat meraih hasil sebanyak AS$6.5 bilion kepada 1MDB, tetapi Wall Street Journal mendakwa sebahagian besar wang tersebut telah hilang.

Anwar berkata kekuatan autokrat dan diktator adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh sokongan tersirat Barat, dengan hakikat itu tidak mungkin lenyap daripada mereka yang menderita di bawah pimpinan rejim berkenaan.

Anwar menambah, semua pihak perlu menerima realiti bahawa kapitalisme yang tidak dapat menyebarkan pengaruh mereka kepada masyarakat, perlu dicabar kuasa jahatnya.

Mengenai pembaharuan institusi yang digerakkan oleh kerajaan baru Malaysia, Anwar berkata ia menjadi perkara utama dalam usaha membawa negara itu ke landasan demokrasi perlembagaan yang lebih besar selain akauntabiliti pembaharuan memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak.

"Kebangkitan ultra-nasionalisme adalah fenomena global.  Ia membawa rasa takut dan membahayakan keamanan dan keselamatan global yang dinikmati kini. Oleh itu, ia mesti ditolak dengan tegas,”kata Anwar kepada hadirin yang memenuhi dewan syarahan berkenaan.

"Saya berdiri di hadapan anda mewakili negara yang menolak ultra-nasionalisme dan ini dibuktikan apabila pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama sama ada Muslim, Kristian, Buddha, Hindu serta musuh berganding bahu menolak rejim yang memerintah negara selama lebih enam dekad.

"Ini adalah sinar baru bagi Malaysia," tambah Anwar.

Menurutnya perkara itu dianggap sebagai kemenangan rakyat dengan peralihan kuasa dilakukan secara aman tanpa adanya sebarang insiden buruk, walaupun pakar meramalkan perkara sebaliknya mungkin berlaku.

"Nyata, mereka salah. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang teguh dan konsisten mengenai keterangkuman kaum, budaya dan agama. Ia adalah dasar yang jelas apabila semua pihak menolak segala bentuk ekstremisme dan fanatik, perkauman dan ketaksuban agama sebaliknya meraikan kepelbagaian dan memupuk keharmonian bersama," jelas beliau.

Anwar berkata gabungan parti-parti PH menawarkan sesuatu yang lebih baik dan perubahan itu dapat dilakukan di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Muslim.

“Ini adalah perkembangan yang luar biasa, malah lebih baik daripada ‘Arab Spring’,”katanya yang merujuk kepada demonstrasi jalanan yang berlaku di negara-negara Timur Tengah.

Bercakap mengenai kerajaan baru, Anwar mendakwa "masih ada yang mahu melihat kami gagal" dan perlu melakukan sesuatu yang boleh menghalang usaha ke arah pembaharuan institusi di Malaysia.

"Mendepani autoritarianisme bermakna memastikan perlindungan yang lebih besar diberikan kepada kebebasan politik," katanya sambil memetik pendapat berhubung pemerkasaan wanita dan agenda keadilan sosial yang proaktif.

Beliau berkata, bagi negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya seperti Malaysia, langkah memperjuangkan hak  perlembagaan dan tuntutan lain serta harapan yang diberikan terhadapnya memerlukan sensitiviti dan pertimbangan lebih besar dalam memenuhi kehendak saling bersaing.

"Di sinilah kewajaran politik lazimnya digunakan bagi memberi justifikasi terhadap perlakuan autoritarianisme berbanding demokrasi. "

Terdahulu itu, Menteri Hal Ehwal Politik di Kedutaan Kanada di Washingtin, Martin Loken pada ucapan pembukaannya berkata, "Dengan peralihan kuasa secara aman dan usaha untuk memperbaharui undang-undang dan institusi, demi manfaat rakyat, Malaysia kini menjadi kisah kejayaan demokratik yang sangat diperlukan dalam landskap antarabangsa yang bergelut dengan peningkatan autoritarianisme."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.