Malaysia teruskan cari gali minyak di Laut China Selatan walaupun Beijing membantah

PM Anwar Ibrahim menegaskan penerokaan minyak dan gas tidak akan hentikan kerana ia dilakukan dalam perairan Malaysia.
Helmi Foad dan Iman Muttaqin Yusof
2024.09.05
Kuala Lumpur
Malaysia teruskan cari gali minyak di Laut China Selatan walaupun Beijing membantah Angkatan Tentera Malaysia bersama Petronas melaksanakan Eksesais Jerung Emas Siri 69/2023 di Pelantar Dulang B milik Petronas Carigali Sdn Bhd di luar pesisir pantai Terengganu, 22 Jun 2023.
[Ihsan MyJointForce melalui Facebook]

Malaysia akan meneruskan penerokaan dan cari gali minyak dan gasnya di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis selepas nota diplomatik dari China yang dilaporkan bocor menunjukkan Beijing menyatakan bantahannya terhadap aktiviti tersebut.

Putrajaya menjelaskan kepada Beijing bahawa ia 'terbuka kepada perbincangan' tanpa menghentikan operasi yang sedang dijalankan oleh syarikat petroleum milik negara itu di perairan Sarawak yang terletak di dalam Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE) Malaysia.

"Kebocoran sedang disiasat. Mengenai pemilikan wilayah yang dipertikaikan oleh China, kami menegaskan ia wilayah kami. Bagaimanapun, kami terbuka untuk meneruskan perbincangan, sama ada secara dua hala, multilateral atau dalam konteks ASEAN," jelas Anwar kepada media Malaysia di luar sidang Forum Ekonomi Timur ke-9 di Vladivostok, Rusia.

"Ya, operasi diteruskan di satu atau dua telaga utama dalam wilayah kami. Kami telah memaklumkan Beijing dan mereka telah menghantar beberapa bantahan, mendakwa kawasan tersebut sebagai milik mereka.

"Kami telah menjelaskan bahawa kami mesti meneruskan (operasi cari gali minyak) kerana ia melibatkan kelangsungan ekonomi kami. Bagaimanapun, kami terbuka kepada perbincangan, ini tidak bermakna kami akan menghentikan operasi di wilayah kami."

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia akan memberikan maklum balas kepada China dan menjelaskan pendirian negara itu bahawa ia tidak pernah berniat untuk menjadi provokatif atau bermusuhan yang tidak diperlukan.

Jelasnya bantahan China itu tidak akan membuatkan kerajaan perlu sampai ke tahap mengarahkan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menghentikan operasi kerana ia beroperasi di dalam wilayah negara itu.

"China adalah rakan yang baik, tetapi sudah tentu, kita mesti beroperasi di perairan kita dan mendapatkan kelebihan ekonomi, termasuk penggerudian minyak di wilayah kita," ujarnya.

Malaysia dan China adalah antara tujuh negara yang terlibat dalam pertelingkahan tuntutan wilayah di perairan Laut China Selatan di samping Brunei, Taiwan, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Terdahulu, laporan sebuah portal berita Filipina menyatakan bahawa Beijing melalui nota diplomatik pada minggu lalu menuntut Malaysia menghentikan serta-merta semua aktiviti minyak dan gas di kawasan kaya sumber minyak di perairan Sarawak meskipun kawasan itu terletak dalam perairan ZEE Malaysia.

Menurut akhbar Philippine Daily Inquirer, nota diplomatik itu telah dihantar kepada Kedutaan Besar Malaysia di China pada minggu lepas dengan menyatakan rasa kurang senang Beijing terhadap aktiviti cari gali minyak dan gas Malaysia berhampiran terumbu karang Luconia Shoals atau dikenali sebagai Luconia Reefs.

Dalam nota bertulisan Cina itu, laporan berkenaan menyebut Beijing mendakwa Malaysia menceroboh kawasan yang menjadi sebahagian daripada "9 garis putus-putus" (nine-dash line), merujuk peta kontroversi diterbitkan China bagi menunjukkan wilayah yang didakwa miliknya di Laut China Selatan.

Pada 2016, Mahkamah Tribunal Timbang Tara Tetap di The Hague, Belanda memutuskan peta "9 garis putus-putus" sebagai tidak sah.

Kawasan dirujuk oleh China sebagai "Nankang Ansha" dan "Beikang Ansha" itu dinamakan Gugusan Beting Raja Jarum oleh Malaysia yang berjarak kira-kira 100 kilometer dari Sarawak berbanding 2,000 km dari China.

Siasatan kebocoran maklumat

Susulan laporan berkenaan, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada lewat Rabu berkata, pihaknya memandangkan serius isu kebocoran dokumen diplomatik yang menjadi saluran rasmi kedua-dua negara kepada pihak umum.

Merujuk kepada laporan portal berita Filipina pada 29 Ogos lalu membabitkan artikel berhubung dokumen yang dihantar kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Februari lalu, Wisma Putra berkata ia sedang melakukan siasatan dalaman terhadap kebocoran maklumat itu selain membuat laporan polis supaya siasatan dapat dibuat oleh pihak berkuasa.

"Berkenaan isu Laut China Selatan, kedua-dua negara telah menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan," kata Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar.

Kenyataan itu menegaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan tidak pernah berganjak dan negara itu akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.

"Pendekatan Malaysia adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

"Bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain, termasuk China," kata Wisma Putra lagi.

Bantahan China didedahkan selepas tiga bulan Perdana Menteri Anwar menggelar China sebagai "sahabat sejati", memperlihatkan usahanya cuba berlembut dengan kuasa besar itu di sebalik ketegasan Beijing tidak bertolak ansur dengan tuntutan wilayahnya.

“…Malaysia adalah sahabat sejati anda. Dan kepada rakyat Malaysia, China adalah sahabat sejati kita," kata Anwar dalam satu majlis makan tengah hari ketika lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia pada Jun lalu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan setelah Li berlepas pulang memaklumkan kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa pertikaian di Laut China Selatan harus diselesaikan secara aman "melalui perundingan dan rundingan yang mesra" berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Pendirian yang sama dinyatakan Anwar berhubung isu itu ketika di Rusia pada Khamis apabila beliau menyatakan Malaysia dan China sentiasa dapat menyelesaikan pertikaian mereka melalui rundingan seperti dua rakan.

"Jika mereka terus mempertikaikan, kita boleh mendengar dan mereka perlu mendengar, tetapi ia tidak boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara," katanya.

Tidak berkompromi

Dalam itu, menurut penganalisis, China dilihat tidak akan mengambil sikap berkompromi terhadap isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan itu.

"Saya tidak fikir China akan berkompromi dengan tuntutannya walaupun apa yang dikatakan oleh Anwar.

"Sudah tentu tidak kerana ini adalah isu sedia ada dan Malaysia pada asasnya melakukan apa yang mereka lakukan pada masa lalu," kata Lee Pei May, profesor madya di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

"Pada pandangan saya, beberapa dinamika mungkin berubah tahun depan apabila Malaysia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN. Memandangkan masih terlalu awal, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku."

Pakar mengenai China, Chong Ja Ian berkata perkembangan hubungan dengan China bergantung sama ada Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak atau sebaliknya dan cara Beijing bertindak balas.

"Ia adalah soal kedaulatan tetapi juga ujian sama ada sesuatu isu seperti kod tatacara Laut China Selatan melibatkan rundingan benar-benar bermakna.

"Sama ada ASEAN menyokong ahlinya dari segi pengendalian pertikaian itu juga patut diperhatikan. Malaysia memilih pendekatan yang lebih lembut berbanding Filipina. Jika itu pun tidak mendapat sokongan negara ASEAN, jadi solidariti pertubuhan serantau itu boleh dipersoalkan," kata sarjana bukan residen di pusat kajian Asia Timur, Carnegie China kepada BenarNews.

Muhammad Ali Ridha Norman, pensyarah kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia pula berkata pendirian Malaysia meneruskan operasi cari gali minyak tidak akan menjejaskan hubungan dengan China kerana ia dilakukan di dalam wilayah kedaulatan negara itu.

"Pendekatan Malaysia (bersedia berbincang) bertujuan untuk menegakkan hak Malaysia sambil merapatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara untuk menguruskan isu kompleks dengan cara yang konstruktif, selaras dengan norma antarabangsa," ujarnya.

Oh Ei Sun, Felo Kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura pula berpandangan kedua-dua negara tidak mungkin bertelagah mengenai rutin yang dilakukan pihak yang mencari sumber dalam kawasan masing-masing dengan mendakwa ia sebagai zon ekonomi eksklusif mereka.

"Tuntutan bertindih mungkin berlaku. Nota bantahan secara rutin berlaku antara satu sama lain dan kebetulan salah satunya bocor. Hubungan dua hala antara Malaysia dan China terlalu produktif dan saling menguntungkan untuk diganggu.

"Jika perang bukan pilihan, maka setiap negara perlu melibatkan diri dalam diplomasi iaitu perbincangan, rundingan dan sebagainya. Ia selaras dengan cara Malaysia menangani pertikaian Laut China Selatan selama ini," ujarnya.

Muzliza Mustafa dan Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.