PM Malaysia terus pertahan China, dakwa cubaan halang kebangkitannya boleh timbulkan ketegangan

Anwar Ibrahim baru-baru ini membalas kritikan AS terhadap hubungan Malaysia dengan Beijing, mengatakan beliau tidak mempunyai "fobia China."
Ili Shazwani Ihsan
2024.03.07
Kuala Lumpur
PM Malaysia terus pertahan China, dakwa cubaan halang kebangkitannya boleh timbulkan ketegangan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa berucap di Universiti Kebangsaan Australia di Canberra, 7 Mac 2024.
[Jamie Kidston/Universiti Kebangsaan Australia/edaran melalui Reuters]

KEMASKINI pada 6 petang waktu tempatan ETS - 2024-03-07

Perdana Menteri Malaysia pada Khamis berkata segala percubaan untuk menghalang peningkatan ekonomi dan kemajuan teknologi China akan hanya mencetuskan ketegangan berlanjutan di rantau itu.

Merujuk kepada tindakan lebih agresif Beijing di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan kebanyakan tuntutan dikemukakan oleh negara itu, Anwar berkata membenarkan sesebuah negara bangkit dari segi ekonomi tidak bermakna kita mengabaikan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukannya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Menavigasi arus geopolitik: Peranan Malaysia dan Australia di Asia-Pasifik' di Universiti Nasional Australia di Canberra.

Asia Tenggara dan rantau Pasifik telah menyaksikan ketegangan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana Amerika Syarikat cuba mengekang pengaruh luar biasa China di rantau itu.

Laut China Selatan turut menjadi arena persaingan kedua-dua kuasa besar apabila Washington menuduh Beijing menjejaskan kebebasan pelayaran.

Bagaimanapun, Anwar berkata cara sesebuah negara memberikan maklum balas terhadap kemajuan ekonomi dan teknologi China akan menentukan sama ada 'detente atau perselisihan' bakal mencorakkan situasi di Asia Tenggara.

Di mata China, reaksi bermusuhan terhadap kebangkitan republik itu "tidak lebih daripada satu percubaan untuk menafikan tempatnya yang sah dalam lipatan sejarah …,” kata Anwar.

"Kekangan yang dikenakan terhadap kemajuan ekonomi dan teknologi China hanya akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Beliau berkata negara terbabit sepatutnya menunjukkan "empati meletakkan diri masing-masing di tempat China untuk mengetahui bagaimana orang lain melihat kita,” kata Anwar.

Beliau menyampaikan ucapan itu di Canberra selepas menghadiri sidang kemuncak khas ASEAN-Australia selama tiga hari di Melbourne di mana topik utama perbincangan ialah Laut China Selatan dan perang Israel-Hamas.

MY-pic-2 (4).jpg

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) bertemu dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing, 31 Mac 2023. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri Malaysia]

Semasa menyentuh mengenai kebangkitan China dan percubaan untuk menghalang kemajuannya, Perdana Menteri Malaysia itu tidak menyatakan negara yang bertindak sedemikian.

Bagaimanapun, semasa sidang media beliau mengulangi komen yang dibuatnya bulan lalu bahawa Amerika Syarikat dan Barat memaparkan sikap 'fobia dengan China.'

Semasa satu lagi sidang media pada Isnin, Anwar ditanya sebab beliau melontarkan tuduhan itu dalam temu bual dengan akhbar harian British bulan lepas.

Jawapan beliau membayangkan tekanan yang terpaksa dihadapi oleh negara di Asia Tenggara untuk kekal berkecuali ketika Washington dan Beijing berlumba-lumba antara satu sama lain di rantau itu.

Anwar berkata Malaysia sering dikritik oleh sesetengah negara Barat yang percaya bahawa ia lebih condong ke arah China.

“Saya merujuk kepada isu fobia China kerana kritikan yang dilemparkan ialah kami dilihat telah memberikan tumpuan tambahan kepada China – jawapan saya adalah China ketika ini telah menjadi pelabur utama di Malaysia," kata Anwar.

Menjalin persahabatan dengan AS atau Eropah bukanlah penghalang untuk Malaysia menyantuni China, yang juga jirannya, sebagai rakan, tambah beliau.

“Dan jika mereka mempunyai masalah dengan China, mereka tidak sepatutnya melibatkan kami. Kami tidak mempunyai masalah dengan China. Jadi, sebab itu saya merujuk kepada isu fobia China di Barat,” katanya.

'Konsensus Washington semakin terhakis'

Anwar turut menyelar serta mengkritik AS dan Barat.

Beliau berkata perubahan yang dibawa oleh fenomena seperti globalisasi telah mengubah dasar luar AS dan ia bukan sesuatu yang positif.

Globalisasi tidak berfungsi kepada AS seperti yang berlaku terhadap pekerja Asia. Selain itu, peperangan yang berlanjutan di Afghanistan dan Iraq telah menjejaskan rakyat Amerika, kata Anwar.

"Hasilnya adalah keutamaan kepada pemimpin yang lebih transaksional dengan seluruh dunia - mereka yang mengaku mengutamakan Amerika," kata beliau lagi.

Anwar berkata dunia juga mesti menyedari bahawa "Konsensus Washington semakin terhakis, jika ia tidak lagi pupus."

Beliau merujuk kepada satu set dasar berorientasikan pasaran bagi negara membangun yang disokong oleh institusi kewangan global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

“Kita tidak seharusnya terkejut apabila forum seperti BRICS mula mendapat perhatian. Jika satu jalan untuk mewujudkan realiti baharu tertutup, yang lain pasti akan menggantikannya,” kata beliau. BRICS ialah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.

“Oleh itu, kita tidak seharusnya mengambil mudah bahawa perspektif Barat mengenai tatanan dunia masa depan akan diterima secara universal. Terdapat rasa tidak sabar yang semakin meningkat dengan bagaimana institusi global gagal untuk memperbaharui diri mereka sendiri,” kata Anwar.

MY-pic-3).jpg

Seorang wanita berjalan bersama bendera Amerika Syarikat dan China menjelang ketibaan Presiden China Xi Jinping berhampiran ibu pejabat sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat, 14 Nov. 2023. [Loren Elliott/AFP]

Pegawai China hargai komen Anwar

Komen Anwar baru-baru ini disedari oleh pegawai atasan China dan Zheng Xuefang, Menteri di Kedutaan China di Malaysia, menzahirkan penghargaan beliau pada Rabu.

"Pembangunan China adalah peluang untuk dunia dan bukannya ancaman kepada sesiapa sahaja," katanya seperti dilapor oleh agensi berita nasional Malaysia Bernama semasa beliau melawat agensi media itu di Kuala Lumpur.

Sementara itu di China, Menteri Luarnya Wang Yi pada Khamis menekankan kepentingan diplomasi ekonomi.

“China tidak boleh membangun tanpa dunia, dan dunia tidak boleh membangun tanpa China,” katanya kepada pemberita selepas sesi kedua Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14, menurut kenyataan di laman sesawang Kementerian Luar negara itu.

“Memburuk-burukkan China pasti akan menjadi bumerang pada diri sendiri dan salah menilai China akan [mengakibatkan] kerugian kerana terlepas peluang,” tambahnya.

Teguran yang begitu lantang daripada Anwar tetapi Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terlalu bergantung kepada China dalam perdagangan dan ekonomi, kata Chong Yew Keat, penganalisis hal ehwal luar di Universiti Malaya.

Ia boleh mewujudkan risiko jangka panjang kepada asas ekonomi dan keselamatan Malaysia, kata Chong sambil menambah China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.

Ketika ini, Malaysia amat memerlukan pelaburan Beijing dalam bidang utama seperti pengangkutan tempatan, hartanah, 5G, kecerdasan buatan dan tenaga hijau.

Selepas lawatan negara ke China pada April 2023, Anwar berkata beliau telah menerima komitmen pelaburan baharu hampir AS$39 bilion.

Chong juga bimbang dengan pendekatan Malaysia dalam isu pertikaian di Laut China Selatan, di mana persoalan rizab minyak dan gas yang merupakan talian hayat utama ekonomi negara telah dilunakkan dengan menggunakan diplomasi senyap dan pintu belakang bagi mengelakkan risiko keseluruhan hubungan dengan Beijing.

China menuntut hampir keseluruhan kawasan di Laut China Selatan, antara laluan paling sibuk di dunia dan memiliki banyak sumber semula jadi termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.

“Malaysia perlu berdiri teguh mempertahan peraturan berdasarkan undang-undang dan norma antarabangsa untuk memastikan pelayaran bebas serta terbuka di Indo Pasifik," kata Chong kepada BenarNew.

"Sebagai sebuah negara perdagangan maritim dengan kelangsungan ekonomi sangat bergantung pada perdagangan maritim, Malaysia dan rantau ini tidak mampu untuk merumuskan tanggapan tentang soal bebas, terbuka dan amalan serantau mengikut tafsiran bukan Barat yang berbeza dalam mewajarkan gesaan untuk mengecualikan kehadiran kuasa Barat atau campur tangan di rantau ini."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.