Muhyiddin, Anwar Bertemu Bincang Isu COVID-19

Noah Lee & Nisha David
2020.04.14
Putrajaya, Malaysia
200414-MY-Covid-Anwar900.jpg Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil peluang berehat setelah melakukan proses saringan kepada penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur, 12 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Semasa perjumpaan pertamanya dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas pembentukan kerajaan baru, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim meminta supaya satu sesi khas tergempar Parlimen bersidang untuk melihat isu dan tindakan dalam membendung wabak COVID-19 dari terus merebak, yang dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa melalui pembentangan di Parlimen.

Dalam menunjukkan semangat perpaduan ketika negara dilanda mushibah dan krisis kesihatan yang sehingga kini sudah meragut puluhan ribuan nyawa, Anwar berkata pihak pembangkang tidak akan menggunakan sesi tersebut untuk melakukan undi tidak percaya, seperti yang ditekan sebelum ini apabila kerajaan baru ditubuhkan awal Mac lalu.

“Saya memanggil supaya satu sesi khas Parlimen bersidang untuk mendebatkan berkenaan langkah-langkah yang diambil dalam isu COVID-19. Saya juga memberi jaminan bahawa isu undi tidak percaya tidak akan dibangkitkan.

“Tetapi jika dalam sidang Parlimen yang biasa, terpulanglah pada ahli parlimen untuk membuat keputusan. Kerajaan tidak seharusnya menggunakan isu COVID-19 untuk berkata mereka akan terus selamat selama-lamanya,” kata Anwar memberi jaminan pada sidang media yang diadakan secara langsung melalui laman Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Antara perkara lain yang perlu dibincangkan dalam sidang Parlimen tergempar itu ialah mengenai permasalahan ekonomi negara.

Anwar yang merupakan presiden parti PKR dan sebelum ini diwar-warkan sebagai bakal perdana menteri kelapan Malaysia berkata bahawa pertemuan di pejabat Muhyiddin di Putrajaya berlangsung selama lebih kurang 45 minit pada petang Selasa.

"Dalam pertemuan tersebut beliau (Muhyiddin) jelaskan berkenaan langkah menangani Covid-19 dan saya menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

"Saya turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan. Pakej rangsangan yang diumumkan turut disambut baik, namun harus dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi," kata Anwar.

Untuk rekod, Anwar dan Muhyiddin sebelum ini berada dalam gabungan parti-parti politik Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan persekutuan selepas memenangi Pilihanraya Umum ke-14 pada 2018.

Namun, pada Februari lalu, kemelut politik yang melanda gabungan tersebut sehingga menyaksikan Muhyiddin membawa sebahagian daripada Anggota Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinannya keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk gabungan baru bersama UMNO, PAS, GPS dan beberapa parti lain. Ini telah mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan digantikan dengan Perikatan Nasional.

Tambahnya, satu perbincangan lanjut akan dibuat oleh Pakatan Harapan bersama parti pembangkang lain berkenaan perkara tersebut sebelum Anwar mengemukakan pandangan mereka kepada Muhyiddin selepas itu.

Kerajaan sehingga kini telah mengumumkan RM260 bilion (AS$60 bilion) peruntukan di bawah peruntukan Pakej Ransangan Ekonomi buat semua lapisan masyarakat yang menurut Muhyiddin bahawa tiada siapapun yang akan tercicir dalam pakej bantuan kerajaan itu termasuklah peniaga kecil dan sederhana.

Anwar turut berkata beliau akan menyokong usaha kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah berkenaan golongan miskin tetapi dengan bersyarat.

“Kita sekarang ini hidup dalam keadaan kegawatan ekonomi dan jika mereka mahu mendapatkan sokongan untuk mengubah dasar untuk mengendalikan situasi kecemasan yang membenarkan dana diagihkan tanpa melalui norma peraturan kewangan biasa mereka harus menghentikan sebarang pembaziran,” kata Anwar.

Muhyiddin atau Pejabat Perdana Menteri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu.

PKP mungkin dilanjut hingga Jun

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada Selasa memberikan amaran bahawa tempoh PKP yang kini memasuki Fasa Ketiga mungkin terpaksa dilanjutkan lebih lama lagi jika ramai yang masih berdegil dan menyebabkan jumlah kes positif COVID-19 terus meningkat.

"Kita memandang serius mengenai kes-kes sporadik yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM], di mana punca sebenar kes-kes itu masih sedang dicari. Jika jumlah kes meningkat mendadak, mengapa tidak untuk melanjutkan PKP ini," kata Abdul Hamid ketika ditanya BeritaBenar jika ada kemungkinan untuk PKP dilanjutkan hingga Jun.

PKP mula dikuatkuasakan oleh Malaysia pada 18 Mac lalu untuk tempoh dua minggu, sebelum ia dilanjutkan kali pertama sehingga hari ini (14 April) dan Jumaat lalu, Muhyiddin sekali lagi mengumumkan bahawa PKP dilanjutkan untuk dua minggu lagi iaitu dari 15 April hingga 28 April depan.

Walaupun perintah itu sudah masuk sebulan dikuatkuasakan, pihak berkuasa mendapati masih ramai yang tidak mematuhi arahan supaya duduk di rumah masing-masing.

Ekoran kedegilan itu, Menteri Kanan kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada Selasa telah mengumumkan bahawa pihak polis tidak lagi akan mengeluarkan kompaun bagi kesalahan pelanggaran PKP, sebaliknya semua pesalah akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.

Sehingga kini lebih 9,000 individu telah ditangkap kerana melanggari perintah PKP manakala lebih 4,000 telah dikenakan kompaun dalam usaha kerajaan mengetatkan pemantauan sebelum ini.

“Polis DiRaja Malaysia [PDRM] memberitahu bahawa tahap pematuhan masih belum mencapai tahap yang dimahukan. Oleh itu kita telah bersetuju bahawa polis tidak akan lagi memberikan fokus kepada kompaun tetapi bermula esok, semua tangkapan akan direman ataupun terus dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa.

“Biar mahkamah yang menentukannya kerana melanggari perintah PKP  di bawah Seksyen 24 Akta 342 Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi dua tahun bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan seterusnya,” kata Ismail Sabri di Putrajaya.

Ujian serologi

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata bagi mengoptimakan lagi kegunaan ujian rt-PCR (reverse transcription polymerase chain reaction) di makmal-makmal dalam mengesahkan jangkitan COVID-19, KKM melaksanakan ujian serologi mengesan antibodi yang dikeluarkan oleh badan dalam melawan virus itu terhadap individu yang merupakan kontak rapat index dan mereka yang diletakkan dalam kuarantin.

"Kerana ia lebih cepat dan kita dapat lakukan di tepi katil (yang menempatkan suspek COVID-19) sahaja tanpa perlu menghantar sampel ke makmal," kata Noor Hisham.

Sebelum ini, KKM ada mengeluarkan amaran melarang penggunaan kit ujian cepat yang mengesan kehadiran antibodi kerana ianya tidak tepat, dan hanya mampu mengesan kehadiran virus COVID-19 dalam tempoh lapan hari dan ke atas selepas jangkitan.

Beliau menjelaskan bahawa semua yang dikuarantin akan diuji menggunakan teknik rt-PCR di makmal terlebih dahulu, dan ujian serologi antibodi hanya akan dibuat bagi ujian-ujian seterusnya sepanjang dalam pengasingan.

Ini adalah kerana mereka akan diasingkan selama 14 hari, dan ujian serologi antibodi mampu mengesan sekiranya tubuh badan suspek pernah dijangkiti COVID-19 sebelum dikuarantin.

Jumlah kes positif di Malaysia hampir mencecah 5,000 kes dan jumlah yang pulih juga tinggi hampir 50 peratus dari jumlah keseluruhan kes dengan kadar kes baharu harian kekal di bawah 200.  

Jumlah kematian keseluruhan adalah seramai 77 iaitu 1.6 peratus dari keseluruhan kes.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.