Malaysia tidak berhasrat perkenal cukai baru, kata Perdana Menteri

Putrajaya tidak mahu membebankan rakyat sebaliknya berusaha memperbaiki tatakelola dan ketirisan pentadbiran dalam usaha mempertingkatkan pendapatan.
Iman Muttaqin Yusof
2023.02.14
Kuala Lumpur
Malaysia tidak berhasrat perkenal cukai baru, kata Perdana Menteri Seorang pekerja sedang menyusun telur ayam di atas rak di sebuah pasaraya borong di Chow Kit, Kuala Lumpur, 1 Julai, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia tidak berhasrat memperkenalkan cukai baru terhadap pengguna sebaliknya akan mengambil langkah memotong subsidi kerajaan bagi golongan kaya dalam usaha mengurangkan beban hutang besar yang sedang ditanggung negara itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Selasa, kira-kira seminggu sebelum pembentangan Belanjawan 2023.

Kata beliau, tindakan yang diperlukan adalah untuk mencari jalan menambah pendapatan negara dan bukannya membebankan rakyat, sambil menekankan bahawa mengurangkan ketirisan wang negara melalui tadbir urus kerajaan yang baik sebagai satu kunci utama dalam mengurangkan hutang.

Malaysia adalah negara yang memberikan subsidi untuk beberapa barangan keperluan rakyat seperti minyak masak, minyak petrol serta tarif elektrik.

"Kita tidak bercadang untuk memperkenalkan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) atau pun cukai kepenggunaan berasas luas iaitu Broad-Based Consumption Tax. Yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya sepertimana yang dilakukan dalam isu subsidi elektrik," kata Anwar dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, hutang dan liabiliti negara kini mencecah sejumlah RM1.5 trilion (AS$346 bilion), atau 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, dengan antara penyumbang kepada jumlah tersebut adalah hutang yang ditanggung kerajaan daripada syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad iaitu sebanyak RM18.2 bilion (AS$4.18 bilion).

"Bagi langkah-langkah yang diambil untuk menyelesaikan peningkatan paras hutang, pertamanya, memperbaiki tatakelola kerana di antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang ini adalah kerana pengurusan yang lemah dan ketirisan, menyebabkan hutang lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara.

"Walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang telah membatalkan cadangan itu.

"Kerajaan akan mengenakan (kenaikan tarif) hanya kepada golongan T20 (golongan berpendapatan tinggi) iaitu syarikat-syarikat multinasional dan syarikat-syarikat besar, melainkan yang melibatkan diri dalam isu food security [keselamatan makanan]," kata Anwar.

Perdana Menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh yang bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memperkenalkan sebarang cukai baru kepada rakyat bagi menyelesaikan masalah hutang negara.

Sesi Soal Jawab Perdana Menteri itu adalah yang pertama diperkenalkan di Parlimen Malaysia, oleh pentadbiran Anwar bagi menunjukkan ketelusan kerajaan.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, ia adalah sebahagian daripada langkah mereformasikan fungsi Parlimen, di mana sesi tersebut berada dalam fasa percubaan yang dikhaskan kepada ahli-ahli Parlimen memberikan soalan tambahan khusus kepada Perdana Menteri.

Sesi tersebut dijadualkan selama 30 minit pada setiap hari Selasa sepanjang sidang Parlimen pada kali ini yang akan berlangsung selama kira-kira enam minggu.

Tidak lama selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November lepas, Anwar telah mengumumkan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan untuk penggunaan isi rumah, perusahaan kecil dan sederhana, serta syarikat-syarikat makanan dan pertanian.

Pada 14 Disember, beliau menyatakan bahawa tarif sebaliknya akan dikenakan kepada syarikat-syarikat multinasional.

Pada Jun tahun yang sama, Ismail Sabri Yaakob yang merupakan perdana menteri ketika itu berkata bahawa kerajaan pimpinannya sedang mengkaji cadangan untuk memperkenalkan semula GST.

Ismail Sabri sebelum itu dilaporkan berkata bahawa pengenaan cukai GST akan dapat menaikkan pendapatan negara dan pentadbirannya tidak boleh mengenepikan idea tersebut.

GST telah diperkenalkan di Malaysia buat pertama kali pada 1 April 2015 ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib Razak. Cukai tersebut dikenakan pada kadar enam peratus.

Pelaksanaan cukai itu bagaimanapun telah digantung pada 1 Jun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad, selepas mengalahkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ia kemudiannya telah dihapuskan dan diganti oleh sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan bermula pada 1 Sept 2018.

Kadar cukai jualan pada masa kini adalah pada lima peratus dan 10 peratus, manakala cukai perkhidmatan pula pada kadar enam peratus.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijangka akan membentangkan Belanjawan negara yang baru pada 24 Feb ini, di mana pembentangan tersebut akan merangkumi usaha kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara yang tinggi.

Sementara itu, Anwar dalam sesi soal jawab tersebut turut mempertahankan keputusannya untuk memegang dua peranan dalam pentadbiran negara, yang menerima kritikan sesetengah pihak kerana dikatakan boleh membawa kepada salah guna kuasa serta penyelewengan.

Ia selepas Mohd Radzi Md Jidin, Ahli Parlimen pembangkang dari parti Perikatan Nasional, mempersoalkan jika keputusan tersebut boleh membuka peluang untuk berlakunya skandal.

Radzi memetik beberapa skandal 1MDB, SRC International dan Tabung Haji ketika zaman pemerintahan BN, di mana Najib memegang dua portfolio ketika memimpin negara.

"Saya hendak sebut dalam sejarah kita sama ada digabungkan (dua jawatan itu) atau tidak, bukan masalah. Masalahnya ialah apabila menggunakan kedudukan untuk rompak harta rakyat.

"Ini terpakai di pelbagai kalangan. Yang bersih sama ada belah sini atau belah sana, jangan bimbang, tapi yang terpalit dengan rasuah itu harus merasa tertekan dan bimbang," kata Anwar dalam menjawab soalan Radzi.

Anwar turut menyentuh mengenai kerosakan yang didakwa berlaku ketika era pemerintahan Perikatan Nasional, dengan menyatakan bahawa projek-projek yang dikatakan telah diluluskan oleh kerajaan Perikatan kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, Shankaran Nambiar, seorang felow kanan di Institut Penyelidik Ekonomi Malaysia berkata, Malaysia yang mempunyai defisit fiskal terbesar di rantau Asia Tenggara selepas Filipina, sedang berdepan kadar hutang yang memeranjatkan.

"Kita mempunyai sejarah fiskal tidak berhemah yang panjang. Kita mempunyai defisit fiskal termasuk ketika ekonomi sedang berjalan dengan baik. Pengurusan fiskal yang tidak bagus telah membawa kita kepada situasi ini.

“Jadi kini kita berdepan hutang yang besar dan ruang fiskal yang sempit. Kita tidak berbuat apa-apa untuk memotong perbelanjaan kerajaan. Kemudian kita berdepan pula dengan masalah 1MDB, yang menambah lagi kepada jumlah hutang negara," kata Nambiar kepada BenarNews.

Beliau menambah, adalah masih lagi samar-samar bagaimana Anwar mahu meningkatkan pendapatan negara.

"Bank Dunia pun menganjurkan penggunaan GST, dan ini turut disokong oleh Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia.

"Menteri Kewangan juga tidak melihat ke arah SST yang diubahsuai. Dari satu sudut, PM telah mengeluarkan kenyataan untuk meredakan kerisauan rakyat, manakala dari satu sudut lagi, tanpa menerangkan dengan jelas apa alternatif yang mahu dilakukannya, ia menambah kepada suasana ketidaktentuan polisi," kata beliau.

Bagaimanapun, seorang lagi ahli ekonomi pula memuji langkah Anwar untuk tidak memperkenalkan cukai kepenggunaan.

"Daripada terus melaksanakan GST, kerajaan boleh menggunakan apa sahaja pendapatannya untuk memastikan subsidi hanya sampai kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

"Dengan cara ini, kerajaan boleh menjaga kedudukan pendapatannya berbanding menggunakan GST yang merupakan satu cara sukar dan bercita-cita tinggi. Melihat kepada keadaan masa kini, PM Anwar telah membuat keputusan yang betul untuk tidak memperkenalkan cukai-cukai baru," kata John Anthony Xavier, Naib Canselor Universiti AIMST kepada BenarNews.

Xavier berkata, nisbah KDNK kepada hutang negara adalah sedikit melebihi paras mampan seperti dianjurkan oleh Bank Dunia.

"Situasi ini tidak sebahaya seperti sesetengah hutang dalam negara. Oleh itu, kita tidak akan begitu terdedah kepada turun naik mata wang yang boleh meningkatkan lagi kos pembayaran hutang," kata beliau.

Noah Lee dan Haizal Yatiran di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.