Penjawat awam Malaysia dapat kenaikan gaji tertinggi ketika kejatuhan ekonomi dunia
2024.05.01
Kuala Lumpur
Malaysia akan menaikkan gaji penjawat awam negara itu sebanyak lebih 13 peratus mulai Disember ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu, satu keputusan yang disifatkan penganalisis sebagai langkah populis tetapi wajar ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup.
Kenaikan gaji bagi kira-kira 1.7 juta kakitangan kerajaan itu akan melibatkan kos hampir RM10 bilion [AS$2.1 bilion] dan dijangka boleh merangsang pengguna untuk berbelanja namun pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan mengenai isu membelanjakan wang negara secara berhemah ketika Anwar bertekad untuk meningkatkan beberapa jenis cukai serta memotong banyak subsidi.
"Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus.
"Maka, kita akan melaksanakan kenaikan (gaji penjawat awam) mulai 1 Disember tahun ini... sebab saya sudah berjanji," kata Anwar semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema 'Pekerja Kesuma Bangsa' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Anwar berkata kenaikan gaji melebihi 13 peratus itu adalah lebih tinggi berbanding apa pernah dibuat oleh kerajaan sebelumnya kira-kira 12 tahun lepas serta turut menyifatkan ia sebagai "kenaikan tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah".
Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania James Chin dalam komennya kepada BenarNews berkata, "Ini jelas sekali merupakan satu langkah populis kerana Anwar cuba mendapatkan sokongan penjawat awam.”
“Sebelum ini Anwar berdepan masalah dengan penjawat awam kerana mereka tidak menyokong kerajaan perpaduan pimpinannya, malahan sesetengah mereka cuba menjatuhkan kerajaan.
"Salah satu cara paling mudah untuk memenangi hati penjawat awam adalah dengan menaikkan gaji dan faedah lain untuk mereka, serta menjaga kebajikan golongan itu melalui pencen sepanjang hayat...
“Ini tidak akan dilihat sebagai sesuatu yang baik kerana ramai percaya bahawa sektor perkhidmatan awam sudah mempunyai terlalu ramai pekerja dan keputusan ini menyaksikan wang dicampak ke dalam sistem yang tidak elok," kata beliau.
Ketika ini, keseluruhan pendapatan minimum termasuk gaji dan elaun tetap untuk penjawat awam adalah RM1,795 [AS$376] sebulan.
"Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 [AS$419] sebulan," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pertama.
Reaksi penjawat awam ketika mendengar ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, 1 Mei, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Cukai lebih tinggi
Bagaimanapun, ahli ekonomi Geoffrey Williams berkata amaun RM10 bilion yang akan ditanggung kerajaan dengan peningkatan gaji itu merupakan sesuatu yang amat besar dan mungkin memerlukan kutipan cukai yang lebih tinggi pada masa akan datang.
"Tambahan RM10 bilion merupakan peningkatan sebanyak 2.5 peratus kepada perbelanjaan kerajaan dan ia perlu ditanggung daripada beberapa sumber, ia tidak boleh dibayar dengan wang pinjaman. Jadi, ia akan menyebabkan kos lebih tinggi dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 dan mungkin memerlukan cukai lebih tinggi.
"Bagaimanapun, ia akan melibatkan perpindahan dan pertambahan pendapatan yang akan meningkatkan kadar perbelanjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi kesan ini tidak akan dirasai sehingga 2025. Oleh itu, perlu ada keseimbangan antara kos perbelanjaan dengan tambahan pertumbuhan ekonomi," kata felo kanan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) itu kepada BenarNews.
Seorang lagi pakar Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya berkata peningkatan gaji penjawat awam sebesar itu adalah sesuatu yang mengejutkan.
"Dalam keadaan kerajaan berdepan situasi kewangan yang sulit, ini adalah sesuatu yang memeranjatkan. Bagaimanapun, sekiranya kerajaan memotong subsidi dan menaikkan kadar cukai perkhidmatan dan jualan, ia akan mengimbangi peningkatan perbelanjaan kerajaan.
Dalam erti kata lain, pertambahan pendapatan kerajaan akan membantu untuk menampung perbelanjaan lebihan ini. Peningkatan gaji ini bagaimanapun hanyalah satu langkah penyelesaian jangka pendek," katanya lagi kepada BenarNews.
Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober lepas, Malaysia menyasarkan untuk memperluas asas cukai yang mampu membiayai kerajaan bagi tempoh jangka panjang.
Negara itu menaikkan kadar cukai bagi beberapa sektor termasuk kewangan dan hiburan daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula Mac tahun ini.
Namun pada tahun ini, mata wang Malaysia merosot hampir 4 peratus berbanding dolar Amerika di mana pada Februari, ringgit jatuh kepada RM4.7965 berbanding 1 dolar AS, iaitu paling rendah dalam tempoh 26 tahun sejak negara dilanda krisis kewangan Asia pada 1998.
Bank Negara Malaysia pada Februari juga menyatakan bahawa ekonomi negara mengalami pertumbuhan perlahan pada tahap 3.7 peratus pada 2023, di bawah sasarannya iaitu antara 4 peratus dan 5 peratus.
Lebih 1,000 pekerja dari pelbagai sektor berhimpun dan berarak beramai-ramai dari Dataran Maybank ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Hari Pekerja, di Kuala Lumpur, 1 Mei 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Timbul persoalan
"Peningkatan gaji ini tentunya akan membantu penjawat awam berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. Bagaimanapun, terdapat beban tambahan kepada kerajaan dalam melaksanakan polisi ini," kata Shankaran Nambiar, seorang felo penyelidik kanan di MIER kepada BenarNews.
"Masa kenaikan gaji ini dibuat juga menimbulkan persoalan mengenai perbelanjaan berhemah kerana kerajaan sedang cuba menaikkan pendapatannya dari cukai."
Menurut laporan media tempatan, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil pada Rabu berkata butiran lanjut mengenai kenaikan gaji itu akan diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Oktober tahun ini.
Ketika para pengkritik Anwar menyifatkan keputusan itu sebagai langkah populis, penganalisis politik Syaza Shukri berkata ia tidak akan mempengaruhi sentimen pengundi yang sudah sedia terpolarisasi.
"Mereka yang melihat perkara ini sebagai satu masalah sedang melihatnya sebagai satu situasi 'zero-sum' (kalah-menang). Tetapi ini tidak benar.
"Meningkatkan gaji penjawat awam ialah untuk memberikan motivasi supaya mereka memperbaiki mutu kerja mereka.
“Ia juga untuk mengurangkan kemungkinan rasuah. Negara ini harus memberikan fokus kepada menambah hasil supaya semua pihak menang," kata profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada BenarNews.
Bagi penganalisis Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, langkah kerajaan itu akan memberikan impak positif kepada Anwar dan pentadbirannya.
"Tetapi saya percaya niat kerajaan menaikkan gaji bukan kerana mereka ada kepentingan tertentu tetapi kerana ia adalah janji yang telah dibuat dalam pilihan raya umum lepas.
"Jadi, kenaikan gaji penjawat awam merupakan sebahagian daripada janji kerajaan untuk membantu rakyat terutamanya penjawat awam. Saya percaya sokongan terhadap perdana menteri akan meningkat susulan keputusan ini," kata Mazlan kepada BenarNews.
Kata beliau, kerajaan juga akan mendapat faedah dalam bentuk dedikasi lebih tinggi daripada penjawat awam, sekali gus memberikan produktiviti lebih tinggi serta operasi yang lebih lancar.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.