Perdana Menteri Malaysia enggan kecam serangan Hamas ke atas Israel
2023.10.16
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia pada Isnin berkata negara majoriti Islam itu tidak akan tunduk kepada gesaan Barat supaya mengecam pejuang Hamas Palestin selepas mereka melancarkan serangan maut ke atas Israel awal bulan ini.
Anwar Ibrahim memberitahu Parlimen bahawa beliau akan ke Arab Saudi pada Khamis untuk menghadiri Sidang Kemuncak pemimpin negara Teluk dan ASEAN bagi membincangkan krisis terbaharu di Timur Tengah itu serta usaha untuk membantu orang awam Palestin yang tidak berdaya menghadapi perang Israel-Hamas .
Beliau juga merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Putera Arab Saudi Mohammed bin Salman.
"Dalam setiap isu, mesyuarat dan perbincangan, apa yang mereka [negara Barat] mahukan daripada kita ialah Malaysia mesti kecam Hamas," kata Anwar pada sidang Parlimen itu.
"Saya jelaskan bahawa dari segi dasar, kita mempunyai hubungan yang lama dengan Hamas dan hubungan ini akan berterusan," katanya. “Oleh itu, kita tidak bersetuju dengan tekanan mereka kerana Hamas juga menang di Gaza melalui pilihan raya bebas dan rakyat Gaza memilih mereka untuk memimpin.”
Hamas melancarkan serangan terhadap Israel semasa hari cuti Yahudi pada 7 Oktober dan Israel bertindak dengan membalas serangan, yang menyebabkan ribuan kematian dan kecederaan di kedua-dua belah pihak.
Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain mengutuk serangan pejuang Hamas yang mengorbankan ratusan rakyat Israel termasuk orang awam, menurut laporan, dan turut melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Sehingga lewat Isnin, perang dijangka meningkat menerusi pencerobohan darat yang akan dilakukan tentera Israel ke Semenanjung Gaza, iaitu wilayah Palestin padat dengan penduduk yang diketuai Hamas.
Wanita menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin ketika mereka mendengar ucapan di hadapan Masjid Negara di Kuala Lumpur, 13 Okt. 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Di Kuala Lumpur, Anwar berkata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dijadual menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, pada Rabu untuk membincangkan krisis itu.
"Saya telah memberi mandat penuh kepada menteri luar untuk berbincang dan mengambil apa jua keputusan untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan dan sebarang tindakan yang dipersetujui bersama dengan negara jiran supaya keputusan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan," kata perdana menteri kepada Parlimen.
“Negara-negara Barat dan Eropah bersikap hipokrit. Mereka mengkritik sekeras-kerasnya Rusia dalam peperangannya menentang Ukraine, tetapi kini mereka membenarkan kekejaman ini berterusan di Gaza,” katanya, merujuk kepada serangan balas Israel.
Anwar tidak mengulas mengenai dakwaan kekejaman yang dilakukan oleh pejuang Hamas terhadap orang awam Israel semasa serangan 7 Okt.
Malaysia lantang menyokong perjuangan Palestin dan secara konsisten menggesa supaya diusahakan penyelesaian bagi konflik Palestin-Israel.
Minggu lalu, ribuan rakyat Malaysia termasuk bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berhimpun di Kuala Lumpur untuk mengutuk serangan udara Israel ke atas Gaza.
Anwar juga memberitahu Parlimen bahawa kerajaan Israel telah menyekat bantuan kemanusiaan menyebabkan rakyat Palestin terperangkap di Semenanjung Gaza tanpa akses kepada makanan, perubatan dan air minuman bersih.
“Walaupun memerlukan bantuan kemanusiaan yang mendesak, keadaan masih teruk kerana pintu masuk tertakluk kepada sekatan dan pengeboman.
“Beberapa negara lain termasuk Arab Saudi, UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan Qatar telah cuba menghantar bantuan perubatan dan makanan ke Gaza tetapi usaha mereka dihalang kerana dasar penindasan kerajaan Israel.
"Ia jelas hipokrasi Amerika Syarikat dan negara-negara Barat, yang kelihatan teragak-agak untuk memberikan kelulusan bagi penghantaran bekalan penting seperti makanan dan air minuman bersih kepada mereka yang cedera parah dan mereka yang kehilangan segala-galanya di Gaza," katanya.
Bagi membantu rakyat Palestin, Malaysia berjanji memberi dana sebanyak RM10 juta (AS $2.12 juta) dengan tambahan RM100 juta ($21.2 juta) lagi yang disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan untuk dana kemanusiaan dan perubatan di Gaza.
Askar Israel bersiap sedia untuk meronda di sepanjang laluan berhampiran sempadan di antara Israel dan Lubnan, 16 Okt. 2023. [Francisco Seco/AP]
Thai atur penerbangan pemindahan
Sementara itu di negara jiran, Thailand, Perdana Menteri Srettha Thavisin mengumumkan rancangan untuk menyewa 32 penerbangan komersial bagi mempercepatkan usaha menghantar pulang beribu-ribu rakyat Thailand dari Israel menjelang akhir Oktober.
“Kami cuba sedaya upaya untuk memindahkan mereka secepat mungkin. Kami memerlukan lebih daripada 32 penerbangan lagi,” kata Srettha pada Isnin.
Jurucakap Chai Watcharong berkata bahawa kerajaan Thailand mengutamakan tindakan pemindahan itu.
“Menjelang akhir bulan, Nok Air, Air Israel, Thai Airways dan Spice Air akan menerbangkan 32 penerbangan untuk membawa 5,700 orang pulang – tetapi itu belum mencukupi,” katanya. “Kami mempunyai 7,000 orang yang mahu pulang dan jumlahnya semakin meningkat.
“Serangan darat Israel boleh memburukkan lagi keadaan. Tidak ada cara untuk memindahkan orang melalui darat atau laut, tetapi melalui udara sahaja."
Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand berkata empat lagi warga Thailand disahkan meninggal dunia pada Ahad, menjadikan jumlah korban seramai 29 orang, manakala 17 orang dijadikan tebusan oleh pejuang Hamas manakala 16 lagi cedera dalam keganasan itu.
Chokechai Yongpoth, 33, tiba di tanah air pada Isnin bersama 136 rakyat Thailand yang lain.
“Saya berada di Moshav Mivtahim, kurang 10 kilometer (6.2 batu) dari Semenanjung Gaza,” kata pekerja ladang itu, sambil memberitahu bahawa pejuang Hamas telah menyerbu kem mereka di selatan Israel. “Mereka menembak. Saya hanya menyorok dengan senyap di dalam bilik saya.
“Saya gembira dapat pulang ke tanah air. Saya memberitahu keluarga, saya mungkin tidak akan kembali ke sana,” kata Chokechai, yang baru sebulan berada di Israel.
Sementara itu, kebanyakan rakyat Indonesia di Israel telah berlepas ke Jordan minggu lalu tetapi lebih 100 orang lagi masih berada di Israel dan Tebing Barat – terutamanya jemaah dan pelajar agama – menurut seorang pegawai kementerian luar Indonesia.
Ribuan umat Islam Filipina berhimpun di Cotabato City bagi menyokong rakyat Palestin, 16 Okt. 2023. [Mark Navales/BenarNews]
Di Filipina, kerajaan berkata ia bersedia untuk memindahkan rakyatnya dari Israel di mana tiga warganegara Filipina dilaporkan terbunuh. Presiden Ferdinand Marcos Jr sebelum ini telah menjanjikan pengebumian yang sewajarnya untuk rakyat negaranya yang terbunuh.
Jabatan Hal Ehwal Luar berkata bahawa 131 warga Filipina di Kota Gaza telah meninggalkan wilayah itu manakala hampir 40 rakyat Filipina telah meminta untuk dihantar pulang dari Israel, di mana terdapat kira-kira 30,000 pekerja asing Filipina.
Di Cotabato, sebuah bandar selatan dengan majoriti penduduk Islam, beribu-ribu orang mengadakan bantahan kerana bimbang dengan jangkaan pencerobohan Israel ke atas Gaza.
Penunjuk perasaan menggesa negara-negara berhampiran kawasan pertempuran itu supaya menerima pelarian yang tidak mempunyai makanan, air atau tempat tinggal sejak lebih seminggu lalu, menurut laporan.
"Jika kita tidak dapat membantu atau menyokong mereka dengan menggunakan senjata, kita akan membantu melalui doa," kata Nesreen Ibrahim, seorang pemimpin Wanita Bangsamoro Maguindanao, kepada 13,000 pro-Palestin yang menyahut dengan laungan Allahu Akbar (Tuhan Maha Besar).
Nontarat Phaicharoen di Bangkok, Jeoffrey Maitem dan Mark Navales di Cotabato City, Filipina, menyumbang kepada laporan ini.