PM Anwar lawat India, keahlian BRICS agenda utama
2024.08.19
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin berlepas untuk lawatan rasmi tiga hari ke India buat kali pertama sejak memegang jawatan, dengan penganalisis berkata bahawa usaha mendapatkan sokongan untuk keahlian negara itu dalam kumpulan ekonomi BRICS menjadi antara agenda utamanya.
Pertama kali Anwar menyebut tentang BRICS pada Jun lalu dengan menyatakan beliau mahu mempelbagaikan pakatan ekonomi Malaysia melalui penyertaan dalam kumpulan yang disertai Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan dan ia dilihat banyak pihak sebagai pengimbang kumpulan G7 negara-negara Barat.
“Dengan melawat India, Anwar akan menunjukkan betapa seriusnya Malaysia mahu menyertai BRICS dan menunjukkan komitmen kuat India Malaysia untuk menjadi ahli,” kata Tunku Mohar Mokhtar, penolong professor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
“Malaysia mahu dilihat sebagai 'neutral', tetapi akibat yang tidak diingini ialah ia mengambil bahagian dalam persaingan antara G7 [dan Amerika Syarikat] dan BRICS,” tambahnya.
Semasa lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India Narendra Modi, menyertai meja bulat bersama pemimpin industri India dan membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, menurut Kementerian Luar Malaysia atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Delegasi Malaysia itu turut disertaikan oleh beberapa menteri kanan.
Setakat ini, Kementerian Luar belum mengesahkan secara rasmi sama ada BRICS menjadi sebahagian daripada agenda lawatan itu atau sebaliknya.
Giatkan usaha
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang pula melaporkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Muzafar Shah Mustafa sebagai berkata perbincangan Anwar dengan Modi akan merangkumi penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi itu.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Anwar telah mempergiatkan usaha untuk mendapatkan keahlian Malaysia dalam BRICS dan kebetulan pula pegawai Rusia melawat Kuala Lumpur.
Pakar dasar luar negara, Julia Roknifard berkata perbincangan perniagaan akan memainkan peranan penting semasa lawatan itu tetapi BRICS akan menjadi agenda tambahan.
“Sememangnya, kita boleh mengandaikan bahawa keahlian BRICS juga dalam agenda, dengan Anwar telah memperoleh sokongan China dan Rusia,” kata Roknifard dari Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa Universiti Nottingham kepada BenarNews.
“India sebagai pengasas BRICS dan rakan perdagangan utama Malaysia akan sangat membantu dalam memberikan sokongan kepada bidaan Malaysia itu, mungkin tujuan utama lawatan ini untuk mendapatkan sokongan India.”
Lawatan itu dijangka termasuk menandatangani “agenda kerjasama pelbagai sektor” untuk meningkatkan perdagangan yang tahun lepas berjumlah AS$20 bilion.
Import utama Malaysia dari India termasuk petroleum dan produk pertanian manakala India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berkaitan Malaysia pada 2023.
Malaysia juga bergantung kepada India untuk bekalan makanannya, dengan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu berkata pada Mac lalu bahawa negara itu telah meminta tambahan 500,000 tan beras putih akibat kemarau berpanjangan.
Ini adalah tambahan kepada 170,000 tan metrik yang telah sedia diperuntukkan kepada Malaysia untuk tahun ini.
Penganalisis juga percaya bahawa pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara boleh membantu Malaysia meningkatkan perdagangannya dan pelaburan dengan India di mana Malaysia kini merupakan pelabur ke-19 terbesar.
“India antara ekonomi sedang pesat membangun yang berpotensi menjadi kuasa besar ekonomi. Saya fikir Anwar juga akan meneroka kemungkinan melibatkan India dalam membantu Malaysia dengan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi maklumat,” kata Tunku Mohar lagi.
Lawatan atas jemputan Perdana Menteri India Narendra Modi itu merupakan pertama kali dilakukan oleh ketua kerajaan Malaysia sejak lawatan bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2018.
Hubungan antara Malaysia dan India telah terjejas apabila bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada 2019 menuduh India “menceroboh dan menduduki” Kashmir, mencetuskan boikot terhad minyak sawit Malaysia oleh peniaga India.
Di sebalik tekanan ekonomi, Mahathir masih tetap dengan kenyataannya.
Sementara itu, Shahriman Lockman, Pengarah Projek Khas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, menyatakan keseimbangan yang perlu dikekalkan oleh Anwar.
“Hubungan Malaysia-India dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak semestinya rapat dan mendalam. Kebangkitan nasionalisme Hindu di India ketika pentadbiran Modi telah menyukarkan pemimpin Malaysia untuk menerima sepenuhnya hubungan itu,” katanya.
“Namun, ia adalah penting kerana pertumbuhan geopolitik India yang semakin meningkat dan kepentingannya sebagai pasaran eksport minyak sawit Malaysia.”
Sementara itu, Nabiela Ismail, penganalisis penyelidikan dan advokasi hal ehwal luar negara di Bait Al Amanah, Malaysia berkata India cuba untuk melonjakkan pengaruhnya sebagai mediator yang memahami keperluan rantau ini.
“India juga berdepan persaingan dengan China yang bermatlamat untuk mengusai kepimpinan Global Selatan,” katanya kepada BenarNews.
“Walaupun India berpotensi menawarkan keseimbangan kuasa serantau, ia masih belum menunjukkan kapasiti atau kemahuan politik untuk mengambil peranan kepimpinan global sebaliknya lebih menumpukan isu domestik dan serantaunya.”
Jumlah dagangan antara Malaysia dan India pada 2023 mencecah RM76.62 bilion [AS$16.53 bilion] dengan lebihan dagangan sebanyak RM15.89 bilion [AS$3.43 bilion], kata kenyataan Wisma Putra.